Lambakan rumah tidak terjual berharga RM300,000 ke atas

Dato' Dr Alias Razak
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Berdasarkan data yang diterima daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), bagi data awalan suku ketiga tahun 2022 (Q3P 2023) rumah siap dibina tidak terjual adalah 76 peratus berharga RM300,000 dan ke atas dan 24 peratus RM300,000 dan ke bawah.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) jumlah lambakan rumah tidak terjual (overhang) tertinggi tertumpu kepada kediaman berharga RM300,000 ke atas.

Sehubungan itu, katanya adalah wajar untuk kerajaan meneruskan program penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM) sebanyak 500,000 unit dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

KPKT menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Dr Alias Razak [PN-Kuala Nerus] di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Alias meminta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan sejauh mana kajian yang telah dilaksanakan mengenai unjuran tindak balas pasaran hartanah kesan peningkatan pembinaan rumah mampu milik oleh Kementerian, dalam situasi lambakan rumah tidak terjual pada waktu ini.

Kata KPKT lagi, pihaknya juga sedang melaksanakan beberapa tindakan untuk menangani isu rumah tidak terjual. Antara tindakan yang sedang diambil adalah mengkaji dan melaksanakan analisis data lambakan tidak terjual bagi mengenal pasti penyelesaian yang bersesuaian.

Terkini, KPKT sedang melaksanakan proses verifikasi dan analisis bagi data-data yang dilaporkan, dan dapatan daripada proses itu akan dimasukkan untuk penetapan dasar yang akan dilaksanakan bersekali dengan Kajian Semula Dasar Perumahan Negara.

Di samping itu, ujarnya kerajaan juga menggalakkan pemaju untuk melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan (Feasibility Study) sebelum sesuatu pemajuan dilaksanakan bagi memastikan rumah yang dibina adalah berdasarkan kemampuan rakyat seterusnya mengelakkan rumah tersebut tidak terjual dan membangunkan Pusat Data Perumahan (BDA) sebagai sumber rujukan berpusat bagi data perumahan. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -