Berbuka: JK sudah bincang dengan MAEPS, katering 23 Mac

Mohamad Hilmi Abdul Wahab
- Advertisement -

ALOR SETAR: Dakwaan kononnya majlis berbuka puasa anak-anak Kedah di perantauan bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dijadualkan berlangsung di Dewan MAEPS, Serdang belum mendapat persetujuan daripada pihak terbabit adalah tidak benar.

- Advertisement -

Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Mohamad Hilmi Abdul Wahab berkata, beliau dan beberapa ahli jawatankuasa telahpun mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan MAEPS dan katering pada 23 Mac lalu.

“Dakwaan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bahawa majlis itu belum mendapat persetujuan dari pengurusan MAEPS dan tiada sebarang surat sebut harga dikeluarkan, adalah tidak benar.

“Saya sendiri hadir berbincang bersama pihak MAEPS dan katering dan kami bersetuju dengan kadar bayaran yang ditetapkan iaitu RM70,000,” jelasnya di sini.

Terdahulu, Mohamad Sabu melalui hantaran di media sosialnya mendakwa majlis Kerajaan Negeri Kedah itu belum mendapat persetujuan dari MAEPS dan tiada sebarang sebutan harga dibincangkan lagi.

Malah Ahli Parlimen Kota Raja itu turut mempersendakan Muhammad Sanusi kononnya mengeluarkan poster terlebih dahulu sebelum lokasi disahkan.

Justeru kata Hilmi, seminggu selepas pertemuannya bersama wakil MAEPS, pihaknya menerima hantaran WhatsApp daripada pihak katering, kelulusan itu dibatalkan atas arahan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Saya terima WhatsApp pemakluman itu dari pihak katering pada 29 Mac seminggu selepas persetujuan diperolehi.

“Malah alasan yang diberikan kerana di poster program terdapat gambar Menteri Besar,” tambah beliau lagi.

Sementara Sanusi dalam kenyataannya semalam, menegaskan majlis yang dijadualkan 9 April ini akan diteruskan di lokasi lain.

Pihaknya akan membuat pemakluman dalam tempoh terdekat perubahan lokasi berkenaan. – HARAKAHDAILY 31/3/2023

- Advertisement -