Almarhum Prof Dr Kamal Hassan yang saya kenali

- Advertisement -

SAYA kenal almarhum Dr. Kamal Hassan sejak form 4. Almarhum dijemput mengadap Ilahi malam tadi.

Beberapa hari lepas saya sempat sertai majlis bacaan Yaasin dan doa selamat bagi meringankan ujian kesihatan al-marhum. Majlis secara online dianjurkan oleh anak-anak murid dan kenalan almarhum dari jauh dan dekat, dan diketuai oleh Prof Dr. Ruzman Md Noor (APIUM).

Allah mengizinkan saya mula mengenali tokoh besar ini pada tahun 1984, ketika saya dalam tingkatan empat di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin Kelang.

Ketika itu almarhum dijemput menjadi tetamu sekolah bagi mengisi slot ceramah dan motivasi kepada kami bakal-bakal pelajar yang akan menghadapi SPM.

Dalam pertemuan itu almarhum menerangkan peluang dan laluan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam fakulti berteraskan pengajian Islam yang ditawarkan, khususnya di dalam negeri. Seingat saya UIA dan Akademi Islam Universiti Malaya masih belum wujud ketika itu. Jadi, tawaran yang ada adalah di UKM.

Masa berlalu dan perkembangan dunia pengajian Islam pun rancak, menjadikan banyak tempat diwujudkan bagi fakulti berkaitan. Saya akhirnya menyambung pengajian di UM. Itu perkenalan pertama saya dengan almarhum.

Di Bangi, tempat di mana almarhum tinggal dan menghembuskan nafas terakhirnya, saya ada sekali sekala bertemu dengannya. Yang paling saya ingat ialah di masjid al-Hasanah Bandar Baru Bangi.

Almarhum saya lihat duduk di suatu sudut kecil nun di belakang ruang solat, beriktikaf dan membaca al-Quran di sepuluh akhir Ramadhan. Mungkin beliau sudah beramal sedemikian lebih awal daripada itu. 

Saya percaya dengan ilmu almarhum yang tinggi menjulang dan pengalaman almarhum yang luas melaut, almarhum sudah menyelesaikan tugas yang diamanahkan kepadanya semasa hayatnya.

Mudah-mudahan Allah menerima semua amalan baik almarhum, mengampunkannya dan menempatkannya bersama-sama orang yang beriman. Ameen ya Rabbal ‘alameen.

USTAZ MOHD SHAFIE NGAH
Yang Dipertua PAS
Kawasan Bangi – HARAKAHDAILY 23/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -