Kalau masih minda pembangkang, tak pergi negara maju

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

IZINKAN saya memulakan perbahasan saya dengan sedikit reality check, dengan izin, yang bakal melanda kita pada tahun 2023 dan tahun-tahun yang mendatang ini. Berdasarkan trend pertumbuhan ekonomi global, unjuran pertumbuhan ekonomi bagi rantau ASEAN adalah pada kadar 4.7 peratus untuk tahun 2023, iaitu lebih rendah berbanding dengan zaman pra-Covid tahun 2018, iaitu pada kadar 5.4 peratus.

- Advertisement -

Unjuran ini sudah pun lebih tinggi daripada unjuran global yang dikeluarkan oleh World Economic Outlook (WEO) dengan izin, iaitu 2.9 peratus pada tahun 2023. Namun, terlalu banyak variabel luaran ataupun external, dengan izin, yang berlaku di luar negara seperti konflik geopolitik Rusia-Ukraine, pertumbuhan ekonomi yang masih mencabar di blok-blok besar seperti di US, Eropah dan China yang akan memberikan kesan berbentuk dominoes kepada negara-negara yang sedang membangun seperti Malaysia.

Malahan banyak syarikat gergasi bertaraf antarabangsa seperti Google, Philips, Amazon dan Tesla yang sudah melakukan tindakan drastik dan bersifat survival, dengan izin, seperti pemberhentian pekerja secara besar-besaran dan tidak mengambil pekerja baharu agar mereka mampu bertahan pada tahun 2023.

Tuan Yang di-Pertua, indicators ini sangat kuat dan jelas menyatakan pada tahun 2023 ini merupakan tahun yang amat sukar untuk kita. Jadi dengan rendah diri, saya menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini untuk kita bersama-sama menyatukan pemikiran, tenaga dan tindakan untuk bergerak sebagai satu team dan pasukan.

Dewan Rakyat ini perlu terdiri dari blok pembangkang yang credible dan kerajaan yang prihatin sebagai satu simbiotik antara satu sama lain supaya kita lebih matang, baik, profesional demi rakyat.

Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih khususnya kepada rakyat Jerantut atas kepercayaan yang diberikan kepada Perikatan Nasional dengan kemenangan bergaya 4-0 di kubu kuat Barisan Nasional sebelum ini. Satu Parlimen Jerantut dan tiga DUN yakni Pulau Tawar, Damak dan juga Tahan. Ia perlu disyukuri dengan penuh keinsafan dan puji-pujian kepada Allah SWT. Jadi, marilah kita melaksanakan amanah dan takrifan daripada rakyat ini secara madani, iaitu berteraskan kepada al-Quran dan sunah, menggenggam erat iman dan takwa.

Tuan Yang di-Pertua, sekiranya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ingin merealisasikan impiannya dalam memimpin negara ke arah transformasi kecemerlangan, maka perkara pertama yang seharusnya dilakukan oleh kerajaan adalah melaksanakan reformasi Parlimen. Setiap wakil rakyat di Dewan yang mulia ini merupakan wakil rakyat yang dipertanggungjawabkan untuk membawa suara rakyat.

Namun, job scope Ahli Dewan Rakyat ini bukanlah hanya berpaksikan dalam hal membincangkan usul ataupun rang undang-undang untuk kebaikan rakyat di dalam Dewan ini sahaja. Ia lebih daripada itu. Wakil rakyat harus berinteraksi dan berkolaboratif dengan pegawai-pegawai kerajaan di peringkat di kawasan Parlimennya serta di peringkat negeri untuk membantu rakan-rakan legislatif di peringkat DUN. Maka, kerajaan sepatutnya tidak perlu meletakkan sebarang red tape, dengan izin, dan penghadang antara wakil rakyat pembangkang dengan pegawai kerajaan setempat hanya sebab perbezaan ideologi politik.

Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki [Parit Buntar]: Terima kasih Yang Berhormat Jerantut, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Persoalan saya dalam prinsip Kerajaan Madani disebut tentang keadilan. Adakah adil namanya kalau Ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak dibenarkan untuk menganjurkan sebarang program di sekolah-sekolah ataupun di masjid-masjid sedangkan dalam al-Quran Allah berfirman (maksudnya): “Jangan kerana kebencian kamu kepada sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil”.

Benci sekalipun kepada pembangkang, janganlah tidak berlaku adil. Jadi, adakah wajar kerajaan bersikap sedemikian kepada Ahli Parlimen pembangkang yang tidak dibenarkan masuk sekolah, mengadakan program dan sebagainya?

Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut]: Terima kasih kepada Yang Berhormat Parit Buntar. Saya mencadangkan kita kena keluar daripada stail politik sebegini.

Pengalaman di Jerantut juga membuktikan yang banyak juga program-program yang ingin kita lakukan, kunjungan hormat kepada jabatan-jabatan kerajaan yang secara tidak bertulis. Ada arahan-arahan tidak bertulis untuk tidak membenarkannya sedangkan kita sudah habis tempoh berkempen, sudah habis tempoh pilihan raya. Sekarang ini rakyat kita bukanlah Umno, bukannya PAS, bukannya Bersatu, bukannya DAP. Akan tetapi semuanya adalah rakyat Malaysia. Jadi, saya harapkan perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.

Tuan Tan Hong Pin [Bakri]: Yang Berhormat Jerantut, saya mohon penjelasan sedikit. Apakah matlamat ahli-ahli politik daripada pihak pembangkang ingin masuk ke sekolah, masjid dan juga surau? Apakah jenis program adakah program-program yang dianjurkan itu ada unsur-unsur politik? Itu perlu diperjelaskan sebelum perkara ini dibahaskan atau dibincangkan di dalam Dewan yang mulia ini.

Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut]: Terima kasih kepada sahabat saya Yang Berhormat Bakri.

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [Beluran]: Yang Berhormat bercakap tentang reformasi Parlimen. Ada beberapa perkara yang perlu dilihat dan boleh diajukan kepada kerajaan. Umpamanya mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang– yang itu mesti ditauliahkan, ditulis di dalam Peraturan Mesyuarat Parlimen dan bukan at the mercy of Perdana Menteri melalui MoU dan sebagainya. Akan tetapi kita nyatakan sebagai satu syarat dalam reformasi Parlimen.

Begitu juga peruntukan untuk Ahli Parlimen kepada semua. Tidak perlu sign MoU untuk dapat peruntukan.

Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut]: Kalau kita pinda Perlembagaan Persekutuan, letakkan syarat peruntukan yang sama kepada semua Ahli Parlimen. Kalau Yang Berhormat dan team Yang Berhormat esok duduk di sebelah sini ada peruntukan, tak payah minta sign MoU. Boleh dapat peruntukan. Itu antara perkara yang boleh dijadikan perkara di dalam reformasi Parlimen. Terima kasih.

Jawapan daripada rakan saya tadi, kita dijemput. Kita dijemput oleh pihak sekolah untuk memberikan sumbangan. Mereka hantar surat minta sumbangan dan mereka jemput untuk kita hadir. Bukannya kita masuk sebarang, semberono. Masuk rumah orang ini kena ada keizinan. Sekolah beri izin untuk masuk tetapi tidak dibenarkan akhirnya, dibatalkan pada saat akhir. Begitu juga dengan masjid dan surau. Kebetulan kami boleh berbahas, kami boleh berbincang dengan baik dengan bahasa agama sebab itu kami dijemput. Tidak tuan.

Adapun di peringkat, Yang Berhormat Beluran cakap tadi itulah yang saya maksudkan, keadilan yang diberikan kepada semua, meletakkan sesuatu di tempatnya.

Kalau kita masih lagi mempunyai minda pembangkang, kita hendak membalas dendam dan sebagainya kita tak akan pergi kepada negara maju. Seperti yang saya nyatakan di iftitah tadi, di pembukaan tadi kita akan berdepan dengan suasana ekonomi yang kronik pada tahun ini dan tahun depan. Jadi kalau kita tidak bekerjasama bersama-sama, kita akan gagal sekali lagi.

Secara amnya, transformasi sektor air bertujuan untuk mentransformasikan sektor air pada pemboleh daya ekonomi menjadi dua sektor ekonomi yang dinamik menjelang tahun 2040 dengan berteraskan dua objektif iaitu:

(i) keselamatan dan kemampanan air; dan

(ii) air sebagai peluang ekonomi.

Berdasarkan laporan akhir WST 2040 Jilid 1, lima bidang tumpuan sudah dikategorikan sebagai cabaran yang dihadapi oleh sektor air Malaysia. Di antaranya kualiti air di negara semakin merosot dan berlakunya pembaziran kerana kurangnya rasa pemilikan ataupun rasa penghargaan terhadap sumber air negara. Ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada sumber semula jadi kita yang sering menjadi perdebatan yang hangat di Dewan yang mulia ini iaitu hutan.

Hutan merupakan makhluk Allah yang hidup, yang diamanahkan oleh-Nya sebagai anugerah bukan sahaja kepada manusia namun juga kepada hidupan-hidupan lain di muka bumi ini. Berdasarkan data yang diperoleh dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, lima buah negeri Semenanjung Malaysia yang masih mempunyai keluasan hutan simpan kekal yang tertinggi setakat tahun 2020 adalah Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Tambahan pula, di Jerantut khususnya hutan juga telah menjadi salah satu sumber pendapatan rakyat sejak turun temurun contohnya di Kampung Kuala Tahan, Kampung Pagi, Kampung Ulu Tembeling, Kampung Batu Balai, Kampung Perlok, Kampung Baharu, Kampung Som yang anak mudanya sering masuk ke hutan untuk menuai madu tualang, mengambil pokok petai, herba-herba dan sebagainya. Saya menjemput semua Ahli Parlimen yang sudi datang ke Jerantut, saya akan tunjukkan industri perhutanan yang ada di dalam Jerantut.

Oleh yang demikian, saya bagi mewakili warga rakyat Jerantut menyeru kepada kementerian yang bertanggungjawab untuk serius dalam memastikan pembalakan berlaku dalam keadaan yang terkawal terutamanya aspek penanaman semula. Pembalakan yang dilakukan secara haram wajib dihentikan serta-merta dan dihukum setimpal dengan kemusnahan yang dilakukan oleh pihak tersebut.

Yang Berhormat sekalian, saya di Jerantut menghadapi gangguan. Rakyat di Jerantut mengalami gangguan bukan kera, bukan pencuri semata-mata tetapi yang ada gangguan gajah, beruang matahari, babi hutan, harimau kumbang dan terkadang harimau belang. Jadi ini dilema yang dihadapi apabila kita tidak mengawal selia pembalakan dengan baik.

Tentang penoreh getah sebab ia penting kepada sumber ekonomi di Jerantut.

Tuan Yang di-Pertua, saya melihat kepada perlunya kita untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan kepada inflasi global yang kian hangat dirasai terutamanya kepada pekebun kecil dan penoreh getah yang tiada sumber pendapatan lain kecuali yang sudah lama diusahakan selama ini. Saya amat bersetuju dengan Ahli Parlimen sebelum ini yang mencadangkan dinaikkan harga lantai tetapi ke RM4 itu saya minta kerajaan kaji lah, tinggi sangat itu tetapi untuk dikaji oleh pihak kerajaan.

Cuma saya ada beberapa cadangan yang saya minta supaya pihak Yang Berhormat Menteri boleh ulas dalam penggulungan nanti.

(i) menyalurkan bantuan bulanan kepada semua pekebun kecil dan penoreh getah dengan kadar segera sehingga harga getah kembali stabil di pasaran;

(ii) menaikkan kadar bantuan tanam semula pokok getah, menggantikan pokok getah yang tua dan tidak ekonomik serta menggalakkan pekebun kecil menanam semula getah dari klon yang berkualiti tinggi;

(iii) mempertimbangkan untuk memberikan subsidi dan penetapan harga lantai getah bagi mengimbangi kejatuhan harga pasaran getah global;

(iv) memperkenalkan pelaksanaan tanaman lain yang bersesuaian atau menceburi bidang penternakan secara integrasi dalam kebun getah; dan

(v) memperkenalkan teknologi terkini kepada pekebun kecil yang menarik minat golongan belia untuk menjadi usahawan yang berasaskan industri getah.

Tuan Yang di-Pertua, akhirnya semoga apa yang dibahaskan dan disampaikan oleh saya pada hari ini dapat diambil serius dan dinatijahkan dengan perbuatan oleh pihak kerajaan demi kemaslahatan rakyat dan negara. Kepada semua Ahli Dewan Rakyat, kita semua berada di sini kerana amanah dan kepercayaan yang diberikan rakyat kepada kita pada PRU ke-15. Jadi marilah sama-sama kita melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin bersama-sama sebagai satu pasukan. – HARAKAHDAILY 21/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Jerantut, Ir. Ts. Khairil Nizam bin Khirudin semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 20 Februari 2023.

- Advertisement -