Kebajikan untuk anak kecil di zaman Umar al-Khattab

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 63)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

- Advertisement -

DARIPADA Ibn Umar, katanya: Satu rombongan pedagang singgah di musolla. Umar berkata kepada Abdul Rahman bin Auf: Engkau setuju kita berkawal malam ini supaya tiada pencuri?

Mereka berdua berkawal menjaga rombongan itu. Sambil berkawal, kedua-duanya solat. Umar mendengar tangisan seorang kanak-kanak kecil. Beliau menuju kepadanya dan berkata kepada ibunya: ‘Bertakwalah kamu kepada Allah! Buat baiklah kepada anakmu.’

Umar kembali ke tempatnya. Kemudian dia mendengar lagi tangisan bayi itu. Umar pergi sekali lagi kepada ibunya. Dia sebut perkara yang sama. Dia kembali ke tempatnya. Pada akhir malam didengar lagi tangisannya. Umar berkata: ‘Kenapa kamu ini! Aku lihat kamu ini emak yang tidak baik. Kenapa aku lihat anakmu tidak diam sepanjang malam?’

Perempuan itu berkata: ‘Wahai hamba Allah! Dia menyebabkan aku tidak tidur malam ini. Aku tidak lagi menyusukannya. Sebab itu bayi itu menangis.’

Umar bertanya: ‘Kenapa?’
Dia menjawab: ‘Kerana Umar tidak memberikan imbuhan melainkan kepada perempuan yang mencerai susu.’

Umar bertanya: ‘Berapa banyak untuknya?’

Perempuan itu menjawab: ‘Sekian banyak sekian banyak sebulan.’

Umar berkata: ‘Engkau jangan terlalu gopoh.’

Umar sembahyang subuh. Makmum di belakang tidak dapat mendengar bacaan Umar dengan baik kerana mendengar tangisannya. Apabila beliau memberi salam, dia berkata:
يا بؤساً لعمر! كم قتل من أولاد المسلمين!
Maksudnya: ‘Alangkah teruknya umar! Berapa ramai dia membunuh anak-anak orang Islam.’

Kemudian Umar menyuruh seseorang untuk membuat pengumuman supaya diseru: ‘Jangan gopoh segera meninggalkan penyusuan untuk bayi kamu. Kami akan beri imbuhan bagi setiap anak yang lahir dalam Islam.’

Kenyataan tersebut ditulis dan sampaikan ke seluruh pelusuk negara bahawa setiap anak yang lahir dalam Islam akan diberikan imbuhan tertentu.

(Sejarah Umar al-Khattab, Ibn al-Jawzi ms 84-85)

Banyak perkara yang kita boleh jadikan pengajaran dari kisah di atas:
1. Setiap nyawa ada nilainya. Islam mengambilkira kewujudan anak, wanita, hamba sahaya, orang tua dan semua makhluk serta menghormatinya.

2. Khalifah sendiri bersedia menjadi pengawal kepada rombongan asing. Di zaman ini, mungkin ia kurang praktikal. Pegawai keselamatan boleh membantu untuk berkawal. Yang penting, arahan dan sensitiviti pemimpin terhadap rombongan dari jauh itu.

3. Berkawal tidak semestinya hanya berdiri tegak. Sambil berkawal, boleh ditunaikan ibadat solat sunat juga. Pahala solat dapat. Pahala berkawal dikecap.

4. Pemerintah boleh menasihati rakyat agar berbuat baik kepada orang di bawah jagaan dan tanggungannya. Jika semua berperanan, negara akan aman.

5. Pemerintah boleh membuat siasatan, kajian, penyelidikan terhadap sesuatu isu atau kes yang timbul. Apa faktor yang menyebabkan ia berlaku. Ia penting agar keputusan terbaik dapat diambil.

6. Solat sambil menangis tidak batal, dengan syarat tidak keluar perkataan yang ada makna. Isu yang berlaku menyebabkan Umar menjadi sedemikian. Tahap keprihatinan yang sangat tinggi dari seorang pemimpin kepada rakyat bawahan.

7. Kata-kata Umar tidak bermakna beliau sendiri yang membunuh kanak-kanak. Ia sebagai satu simbolik bahawa keputusan Umar mengenai kanak-kanak membawa implikasi tidak baik kepada kanak-kanak pula.

8. Umar membuat perubahan dasar dalam pemerintahannya berkaitan kanak-kanak dengan memberikan imbuhan kepada setiap kanak-kanak yang lahir. Di Terengganu, pihak kerajaan negeri menyediakan peruntukan khusus mulai kelahiran sehingga kematian.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.HARAKAHDAILY 1/2/2023

- Advertisement -