Ideologi kebencian Barat terhadap Islam

- Advertisement -

SAYA mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan Rasmus Paludan yang bertindak membakar al-Quran Karim yang menjadi pegangan umat Islam. 

Amalan demokrasi dan kebebasan mengangkat hak perlulah digunakan dengan betul agar tidak mencetuskan ketegangan antara kaum, agama dan negara. 

Rasmus Paludan, pemimpin parti Stram Kurs telah mencetuskan kemarahan umat Islam di dunia dengan membakar senaskah al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm. 

Rasmus Paludin merupakan ketua parti sayap kanan yang mendapat undian 1.8 peratus pada pemilihan Parlimen tahun 2019 telah berkali-kali melakukan perbuatan menghina agama Islam secara terbuka malah pernah membaluti al-Quran dengan darah babi.

Perbuatan Rasmus Paludan ini sama seperti tindakan pemimpin Perancis yang telah mendiskriminasi dan menafikan hak 5.7 juta penduduk Islam di Perancis. 

Kita juga tidak lupa tragedi pembunuhan 50 orang Muslim pada hari Jumaat di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand yang dilakukan oleh lelaki bersenjata api pada 15 Mac 2019. 

Begitu juga siri-siri pembunuhan rakyat Palestin yang dilakukan oleh tentera Zionis secara tidak berperikemanusian dan brutal. Perbuatan ini menunjukkan bahawa benih-benih Islamofobia semakin membarah dalam masyarakat Barat.

Istilah Islamofobia telah menjadi popular selepas tragedi 11 September 2001 sehingga ia menjadi ideologi yang negatif dalam komuniti antarabangsa. 

Ideologi ini telah membenihkan rasa benci terhadap Islam sehingga membawa permusuhan dan ketidakadilan kepada umat Islam. Negara-negara Barat mula meletakkan skeptikal terhadap Islam tidak kira dari sudut politik, ekonomi, sosial dan gaya hidup.

Persepsi Islamofobia juga dicemari dengan gerakan media Barat yang mengamalkan ‘media framing’ dalam menyajikan berita-berita tidak tepat berkaitan masyarakat Islam. 

Sebagai contoh, apabila berlaku isu pembunuhan atau peperangan, ‘terrorist’ dan ‘militant’ dilabelkan bagi orang Islam manakala ‘gunman’ digunakan bagi pembunuh orang Islam. 

Perancangan media yang terancangan ini telah menjadi orang bukan Islam semakin berani menindas komuniti minoriti Islam di negara mereka dan mempersendakan apa sahaja bentuk ajaran Islam secara terang-terangan. Hentikan Islamofobia.

DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY – HARAKAHDAILY 26/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -