Piala Dunia: Speedy Tigers mampu kejutkan New Zealand

Foto daripada Fscebook Malaysian Hockey Confederation.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan berpotensi mencipta kejutan menumpaskan New Zealand dalam perhitungan terakhir Kumpulan C aksi Piala Dunia 2023 di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, esok.

- Advertisement -

Walaupun menyedari cabaran getir menanti Speedy Tigers, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal optimis anak buah A. Arul Selvaraj akan turun bermati-matian menentang New Zealand dalam usaha meneruskan rentak kemenangan selepas mengatasi Chile 3-2, Isnin lepas.

“Ia tidak mudah tapi apa pun boleh berlaku. Saya cukup yakin kita akan beri tentangan hebat dan cuba tewaskan New Zealand,” katanya kepada pemberita di sini.

Rekod sepanjang 25 pertemuan antara kedua-dua pasukan sejak kali pertama bertemu pada 1975, jelas memihak kepada New Zealand yang mencatat 13 kemenangan manakala Malaysia pula hanya menang enam kali dan seri enam kali.

Beliau juga telah berhubung dengan Arul Selvaraj dan mengarahkannya mencari jalan bagi menyelesaikan segala isu berbangkit termasuk kegagalan menghasilkan gol menerusi pukulan sudut penalti yang membelenggu skuad kebangsaan ketika ini.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Malaysia hanya berjaya menjaringkan gol sekali daripada 13 pukulan sudut penalti menerusi Norsyafiq Sumantri ketika menumpaskan Chile semalam.

Malaysia juga gagal menterjemah sebarang peluang ke dalam bentuk gol sewaktu diberikan tiga pukulan sudut penalti ketika tumpas 0-4 kepada juara tiga kali, Belanda, pada aksi pembukaan Kumpulan C, Sabtu lepas.

Subahan pada masa sama yakin sekiranya pasukan negara yang kini menghuni ranking ke-10 dunia, berjaya melepasi peringkat kumpulan, ia sudah dianggap kejayaan membanggakan di India.

Belanda kekal memimpin carta Kumpulan C dengan enam mata selepas menang bergaya 4-0 ke atas New Zealand, dalam satu lagi aksi Isnin lepas.

New Zealand yang mengumpul tiga mata kini berada di tempat kedua diikuti Malaysia di tempat ketiga juga dengan tiga mata, manakala Chile di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Mengikut format kejohanan, juara kumpulan akan terus mara ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga akan beraksi menentang pasukan Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) pada pusingan kalah mati, untuk slot ke suku akhir.

Penyertaan di India menjadi penampilan kesembilan skuad hoki negara di Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 1971 dengan pencapaian terbaik adalah meraih tempat keempat pada edisi 1975 ketika Malaysia menjadi tuan rumah. – BERNAMA

- Advertisement -