Sebab-sebab jatuhnya Granada

- Advertisement -

BANYAK faktor yang menyebabkan jatuhnya Granada  yang merupakan kerajaan terakhir Andalusia, antaranya ialah: 

- Advertisement -

1. Perpecahan dalaman.

Perbalahan dan perselisihan yang berbagai dalam kerajaan seperti perbalahan dalaman antara keluarga dalam kerajaan sehingga membuatkan para Menteri dan pemimpinnya sibuk dengan fitnah yang tiada penghujungnya. Demi memenuhi hasrat sang sultan, maka dikorbankanlah segalanya, dikorbankan sebahagian wilayah kerajaan, dan juga dikorbankan rakyat dengan meninggikan cukai. 

2. Sanggup menjilat musuh Islam.

Kerajaan Islam Granada meminta bantuan kepada musuh, iaitu orang Kristian Sepanyol Raja Kastilia. Raja tersebut mempunyai pengaruh besar dalam menyalakan api perpecahan di kalangan pemimpin Islam. Sebagai contoh Ibnu Al Ahmar sanggup menjilat dan bekerjasama dengan Raja Kristian Sepanyol walaupun diperintahkan untuk mengepung dan menyerang Kerajaan Islam Bani Hud di Sevilla sehingga jatuhnya Kerajaan Islam Bani Hud. Akhirnya Ibnu Al Ahmar terpaksa menyerahkan Kerajaan Granada apabila menyedari bahawa Kerajaan Kristian Sepanyol semakin kuat dan berkuasa. 

3. Melantik pemimpin pengkhianat.

Antara hal yang menyebabkan jatuhnya Granada ialah naiknya sebahagian raja pengkhianat yang rela menjual jiwa, sebagai contoh Az Zaghal dan Raja Abu Abdullah As Saghir. Mereka rela menjual negerinya dan mensia-siakan kemaslahatan rakyat demi keinginannya menjalinkan pakatan dengan pihak musuh. 

4. Kejahilan dalam strategi musuh.

Ketika menyerahkan Granada, Raja Abu Abdullah As Saghir menyangka bahawa dengan melakukan kesepakatan bersama pihak musuh akan dapat menjaga hak-hak keistimewaan umat Islam. Beberapa syarat ia nyatakan agar dihormati oleh pihak musuh seperti hak keistimewaan umat Islam, akan tetapi menyetujui syarat tersebut hanyalah helah pengkhianatan untuk mencapai kejayaan yang lebih besar lagi. Sehingga pada tahun 897H terbukti, Raja Ferdinand diarahkan untuk meninggalkan Andalusia dan beberapa peraturan yang menindas umat Islam dilaksanakan. 

Begitulah antara peristiwa kelam yang berlaku ke atas umat Islam. Sayangnya apabila kita tidak menjadikannya sebagai iktibar untuk tidak berulang kembali. 

Semoga Allah berikan kefahaman dan kekuatan untuk kita dapat menjadikan sejarah kelam itu sebagai sempadan untuk tidak berulang kembali.

SYAHRU RAMADHAN – HARAKAHDAILY 13/1/2023

- Advertisement -