Axelsen sasar ulangi kecemerlangan musim 2023

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas mengecapi musim cemerlang tahun lalu, pemain perseorangan nombor satu dunia, Viktor Axelsen menyasarkan memulakan musim baharu dengan penguasaan rentak permainan sama pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, bermula esok.

- Advertisement -

Pemain Denmark berusia 29 tahun itu dijangka tidak menghadapi masalah apabila membuka kempen memburu gelaran kedua di sini dengan berdepan rakan senegara, Rasmus Gemke.

Juara Olimpik dan dunia  itu merangkul gelaran juara Terbuka Malaysia dengan menjinakkan bintang Jepun, Kento Momota, 21-4, 21-7 pada final, Julai tahun lalu.

“Sama seperti tahun lepas, tumpuan penuh saya adalah terhadap latihan, persiapan, keluarga dan kesejahteraan, semoga tahun 2023 memberi kesihatan dan prestasi yang baik.

“Saya akan cuba sedaya upaya untuk menampilkan presembahan terbaik sepanjang tahun ini dan lihat apa hasilnya nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas latihan rasmi di Arena Axiata, di sini, hari ini.

Alexsen dinobatkan Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tahun lalu, selepas merangkul enam kejuaraan pada Jelajah BWF Dunia termasuk Final Jelajah Dunia di Bangkok, bulan lalu selain gelaran dunia kedua di Tokyo, Ogos tahun lalu.

Ditanya mengenai ancaman kejuaraan, Alexsen berkata beliau tidak terlalu mengambil berat tentang pemain lain, sebaliknya memberi tumpuan kepada latihan dan persiapannya sendiri.

“Semua pemain (adalah ancaman),  terdapat begitu ramai pemain berbakat yang bagus dalam kategori ini…jika anda tidak fokus dan anda boleh menghadapi masalah awal dengan mudah. Tekanan adalah keistimewaan, ia juga bermakna saya berada dalam situasi berdasarkan kedudukan saya.

“Saya akan biarkan orang lain menentukan siapa pemain pilihan, bagi diri saya, hanya fokus pada perlawanan saya. Saya tidak mempunyai kegemaran, saya rasa saya tidak perlu melakukan apa-apa, selain melakukan yang terbaik, dan itulah yang akan saya lakukan esok,” katanya.

Axelsen juga mengakui bahawa, Arena Axiata adalah antara venue paling sukar untuk beraksi kerana aliran angin yang kuat.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berkata walaupun Axelsen merupakan pilihan terbaik untuk merebut gelaran itu namun pemain lain dalam ranking 10 terbaik dunia juga mampu mencipta kejutan.

“Memang Axelsen adalah pilihan, tetapi kita tidak harus ketepikan keupayaan pemain negara, Lee Zii Jia dan Shi Yu Qi (China). Mungkin Kunlavut Vitidsarn (Thailand), Anthony Sinisuka Ginting, Jonatan Christie (Indonesia) juga mampu menyinar,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -