Sewa penempatan sementara mangsa banjir Baling disambung bayar

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah akan menyambung pembayaran sewa untuk penempatan sementara bagi mangsa banjir dan kepala air yang berlaku di Baling pada Julai tahun lepas sehingga rumah baharu mereka siap sepenuhnya.

- Advertisement -

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pembinaan 17 rumah baharu itu sepatutnya siap pada Disember lepas, namun sehingga kini rumah berkenaan masih belum siap dibina sepenuhnya.

“Saya akan berbincang dengan Pegawai Daerah Baling kerana kita sasarkan rumah-rumah itu siap sepenuhnya pada bulan Disember dan kerajaan negeri juga menanggung bayaran sewa rumah mangsa banjir selama enam bulan.

“Tetapi sekarang sudah masuk Januari dan rumah masih belum siap, jadi kita akan bantu untuk sambung bayaran sewa itu sehingga kesemua rumah berkenaan siap dibina sepenuhnya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan mangsa banjir mengenai pembayaran sewa rumah yang mereka duduki kini.

Pada 6 Julai 2022, Muhammad Sanusi memaklumkan bahawa Kerajaan Kedah akan menanggung sepenuhnya bayaran sewa untuk penempatan sementara selama enam bulan bagi penduduk yang kehilangan rumah akibat banjir dan kepala air yang berlaku di Baling pada 4 Julai 2022.

Kejadian banjir itu mengakibatkan 41 kawasan di daerah Baling terjejas di samping mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang ibu hamil berusia 23 tahun serta mengakibatkan kerugian berjumlah RM28 juta.

Sementara itu, ditanya mengenai jangkaan tarikh rumah baharu itu siap dibina, Muhammad Sanusi berkata beliau akan meminta pihak pemaju untuk memberikan laporan perkembangan berhubung proses pembinaan rumah berkenaan.

“Apa pun, ia tidak boleh lajak hingga bulan Februari sebab sasaran kita bulan Disember… jadi saya akan minta laporan jangkaan rumah itu boleh siap daripada pihak pemaju,” katanya.

Pada Julai tahun lepas, Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan membina rumah baharu kepada 17 keluarga yang hilang tempat tinggal dalam bencana banjir dan kepala air, di atas tanah berkeluasan lebih satu hektar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Desa KEDA Sadek di Kupang, di Baling, dengan anggaran kos RM1.5 juta.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Amanat Menteri Besar Kedah kepada Penjawat Awam Negeri Kedah yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon dekat sini hari ini.

Dalam ucapannya, beliau berharap semua penjawat awam di negeri ini dapat melaksanakan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan dengan bersungguh-sungguh, sepenuh jiwa dan raga untuk membantu kerajaan negeri melaksanakan dasar yang telah diputuskan serta membawa kesejahteraan kepada Kedah. – BERNAMA

- Advertisement -