MB hargai pegawai, petugas Pusat Kawalan Operasi Banjir

Datuk Ahmad Yakob
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai dan petugas Pusat Kawalan Operasi Banjir peringkat negeri dan jajahan yang bertungkus lumus sepanjang bencana melanda.

- Advertisement -

Memteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada anggota keselamatan khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, NADMA, petugas kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan lain-lain yang terlibat dalam misi bantuan dan menyelamat mangsa banjir.

Katanya juga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelantan ditutup sepenuhnya pada Rabu lepas.

“Kelantan merekodkan jumlah mangsa tertinggi pada 21 Disember dengan jumlah 32,089 daripada 9,542 keluarga. Jumlah mangsa banjir tersebut ditempatkan di 135 PPS meliputi 8 jajahan kecuali Jeli dan Gua Musang,” katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau menambah ucapan penghargaan juga dipanjang kepada pasukan sukarelawan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang turut menyumbang sama ada tenaga dan bantuan keperluan asas kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas.

Tambahnya, tidak lupa penghargaan dan terima kasih kepada petugas peringkat Parlimen dan Dun yang diketuai wakil rakyat di atas kerja keras serta inisiatif menyantuni dan membantu rakyat yang terjejas.

“Semoga Allah SWT menganugerah pahala kebajikan di sisi-Nya dan Kelantan diberi keamanan dan keselamatan daripada segala musibah dan bencana,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/12/2022

- Advertisement -