Uzbekistan dakwa 18 kanak-kanak maut guna sirap buatan India

- Advertisement -

NEW DELHI: Kementerian Kesihatan Uzbekistan menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 18 kanak-kanak maut selepas mengambil sirap ubat keluaran syarikat ubat India, Marion Biotech Pvt Ltd.

- Advertisement -

Mengikut kenyataan kementerian itu, 18 daripada 21 kanak-kanak yang menghidap penyakit pernafasan akut meninggal dunia selepas mengambil sirap Doc-1 Max yang dipasarkan di laman web syarikat itu untuk merawat simptom flu dan selesema.

“Kumpulan sirap itu mengandungi etilena glikol yang dikatakan oleh kementerian itu sebagai bahan toksik. Sirap itu diimport ke Uzbekistan oleh Quramax Medical LLC,” dalam kenyataan kementerian itu, Selasa lalu.

Sirap itu dikatakan diberikan kepada kanak-kanak di rumah tanpa preskripsi doktor, sama ada oleh ibu bapa mereka atau mengikut nasihat ahli farmasi, dengan dos yang melebihi dos standard untuk kanak-kanak.

Ketika ini, tidak jelas sama ada semua atau mana-mana kanak-kanak berkenaan menggunakan kumpulan sirap itu atau mengambil lebih daripada dos standard, atau kedua-duanya.

Marion Biotech, Quramax Medical dan Kementerian Kesihatan India, tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan Reuters yang meminta penjelasan. Sumber kerajaan India berkata kementerian kesihatan sedang meneliti perkembangan yang berlaku.

Selasa lalu, India memeriksa beberapa kilang ubat di seluruh negara itu untuk memastikan standard kualiti yang tinggi.

Insiden di Uzbekistan menyusuli kejadian serupa di Gambia, membabitkan kematian sekurang-kurangnya 70 kanak-kanak yang dipersalahkan terhadap sirap batuk dan selesema yang dibuat oleh Maiden Pharmaceuticals Ltd, syarikat berpangkalan di New Delhi.

Bagaimanapun, kerajaan India dan syarikat itu menafikan ubat berkenaan menjadi punca kejadian itu.

India dikenali sebagai “farmasi dunia” dan eksport farmaseutikalnya meningkat lebih dua kali ganda sepanjang dekad lalu kepada AS$24.5 bilion pada tahun fiskal lalu.

Sementara itu, Kementerian kesihatan Uzbekistan memaklumkan memecat tujuh kakitangan kerana cuai apabila tidak menganalisis kematian tepat pada masanya dan tidak mengambil langkah yang diperlukan.

Selain itu, beberapa tindakan tatatertib diambil terhadap beberapa “pakar” tanpa menyatakan peranan mereka berhubung kejadian itu serta mengeluarkan ubat pil dan sirap Doc-1 Max dari semua farmasi. – REUTERS

- Advertisement -