CAP gesa henti projek kereta kabel Bukit Bendera

Mohideen Abdul Kader
- Advertisement -

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri supaya membatalkan projek kereta kabel Bukit Bendera dan sebaliknya menambah baik kemudahan pengangkutan awam di negeri itu.

- Advertisement -

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata kerajaan Pulau Pinang seharusnya tidak meneruskan projek berkenaan kerana ia akan membawa kesan serius kepada alam sekitar serta kesihatan masyarakat.

“Kesejahteraan rakyat dan alam sekitar tidak boleh dikorbankan hanya kerana untuk meraih keuntungan. Penyediaan kereta kebal akan membawa kepada pembinaan hotel, restoran, taman tema, rumah dan jalan raya bagi menampung peningkatan bilangan pelancong dan penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pembangunan seumpama itu akan memberi impak besar kepada persekitaran bukit dan keseimbangan ekologi yang akan menyebabkan hakisan tanah, kemerosotan pada cerun dan peningkatan tanah runtuh.

Katanya projek kereta kabel yang akan dibina berhampiran Taman Belia dan Taman Botani itu akan meningkatkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar manakala pencemaran udara serta bunyi juga akan menjejaskan keseronokan mereka yang mengunjungi kedua-dua taman itu.

Mohideen berkata pembinaan projek itu yang disertai aktiviti di atas bukit dan stesen akan menjana sejumlah besar karbon dioksida sekali gus meningkatkan jejak karbon.

“Pihak berkuasa tidak mengambil pengajaran daripada kejadian ribut dan banjir yang berlaku beberapa tahun lepas yang menyebabkan tanah runtuh secara besar-besaran, menumbangkan banyak pokok dan memutuskan perhubungan di atas bukit itu,” katanya.

Rabu lepas, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan bahawa projek kereta kabel Bukit Bendera telah dianugerahkan kepada Hartasuma Sdn Bhd melibatkan anggaran pelaburan berjumlah RM245 juta.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang dilaporkan berkata projek itu dijangka mengambil masa tiga tahun untuk siap sepenuhnya. – BERNAMA

- Advertisement -