Speaker DUN sahkan Adun Gurun letak jawatan

Dato' Johari Bulat
- Advertisement -

ALOR SETAR: Pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun disahkan oleh Speaker DUN Kedah, Dato’ Johari Bulat hari ini.

- Advertisement -

Ketika dihubungi Harakahdaily beliau berkata, pihaknya menerima pemakluman itu daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan, Dato’ Johari Abdul (PKR).

“Saya telah menerima makluman berkenaan pengosongan kerusi DUN Gurun dan telah memanjangkan hal itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” kata beliau.

Sementara ADUN terbabit melalui laporan sebuah media tempatan memaklumkan beliau mengutuskan surat kepada Speaker DUN Kedah dan sah diterima pada 13 Disember lalu.

Menurut bekas Ahli Parlimen Sungai Petani itu, pengosongan kerusi DUN Gurun itu dibuat secara serta merta.

Dalam masa yang sama Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut mengesahkan perkara berkenaan.

“Dia (Johari Abdul) mengosongkan kerusi DUN Gurun kerana beliau dikatakan dicalon sebagai Speaker Parlimen,” katanya.

Johari pada Sidang DUN Kedah baru-baru ini dilantik sebagai Ketua Pembangkang menggantikan penyandang sebelumnya, Dato’ Phahrolrazi Zawawi yang hilang kelayakan kerana dipecat daripada Parti Amanah Nasional. – HARAKAHDAILY 18/12/2022

- Advertisement -