PASTI: Pendidikan prasekolah Islam terbaik dalam tiga dekad

dikatakan kini mahal? (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

ENTAH keterujaan apa sedang melibas akal segelintir penyokong PH dengan rasa paranoid yang tak perlu kepada institusi pendidikan prasekolah negara ini, PASTI. Tiba-tiba sahaja alumni PASTI dipersalahkan atas gelombang anak muda milineal yang menolak PH-BN dalam PRU15. Pelbagai cadangan rakus dan arogan mula ditiupkan agar kerajaan baru ini melakukan sesuatu tindakan agar PAS tidak boleh mengupayakan pendidikan mereka sendiri kerana akan melahirkan generasi muda yang taksub kepada ekstremisme agama dan kaum. Saya menepuk dahi membaca komen-komen pembenci PASTI dan sistem pendidikan yang diasaskan oleh PAS.

- Advertisement -

Ramai rakyat negara ini belum tahu keistimewaan PASTI, walaupun ada yang mencebek tanpa maklumat semata-mata perbedaan politik. Institusi ini dengan jumlah ribuan premis di seluruh negara adalah prasekolah yang mengenakan yuran paling rendah, menerima juga pelajar-pelajar bukan Islam, pelajar OKU bahkan semiskin mana pun latar belakang keluarga. Diuruskan dengan matlamat ukhrawi, tak berorientasikan perniagaan bahkan elaun tenaga pengajar juga rendah walaupun ada yang berkelulusan universiti!.

Bangunan PASTI dibina dengan konsep crowd funding, diuruskan oleh Dewan Pemuda pelbagai tahapan malah institusi ini bersaing dengan pelbagai jenama tadika Islam. Sejujurnya, walaupun nama PASTI sangat mengharum namun tak mudah bagi sesiapa pun untuk menguruskan institusi bukan berorientasikan perniagaan ini. Contohnya, saat dunia diserkap pandemik Covid-19, pelbagai  maahad, madrasah, tahfiz, pondok, praselolah Islam, sekolah rendah Islam dan lain-lainnya terjejas kantung mereka sehingga bertarung untuk membayar gaji staf akademik dan non akademik. Pendukung PASTI tak rebah dan tak mengalah dalam usaha pemberdayaan institusi prasekolah Islam ini.

Maka tak pelik, tanpa ada angin menggoyangkan pokok nama PASTI telah dipetik untuk meletakkan kesalahan penolakan rakyat kepada PH-BN, pendidikan prasekolah yang mencuat namanya di tanah air ini ialah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), menjadi fenomenal serta membanggakan para pendukung perjuangan Islam. Pernah dalam perhimpunan agung Umno, nama PASTI disebut kecemerlangan dan Tadika Kemas diminta mencontohi PASTI yang melahirkan pelajar-pelajar berkualiti serta seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Dalam tempoh tiga dekad berjasa, ratusan ribu alumni PASTI kini berkhidmat membangunkan negara ini termasuk ahli legislatif terbaru PRU15, para profesional aras tinggi seperti Syahir Sulaiman, Siti Fatimah Ismail dan lebih sejuta orang alumni PASTI.

Penubuhan PASTI melalui sejarah yang panjang, bermula dengan riak untuk menubuhkan pusat prasekolah yang berorientasikan Islam semakin hebat pada penghujung dekad 70-an, terutama apabila kelompok kelas menengah Melayu semakin membesar terutama yang mempunyai kesedaran Islam. Penubuhan tadika-tadika Islam ini juga mempunyai sejarah yang menarik apabila ianya berlaku persefahaman di antara ABIM dan juga Dewan Pemuda PAS Pusat. ABIM diamanahkan untuk menggerakkan institusi prasekolah ini yang dikenali sebagai TASKI (Taman Asuhan Kanak-kanak Islam). Pendukung ABIM pula sebahagian besarnya adalah aktivis PAS sehinggalah Anwar Ibrahim menyertai Umno pada tahun 1982 yang menyebabkan sebahagian besar ahli ABIM yang juga aktivis PAS telah meninggalkan ABIM.

Di Terengganu pada tahun 1985, TASKI telah dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Terengganu, manakala di Kelantan pula pusat pendidikan prasekolah yang ditaja oleh Lajnah Tarbiah Dewan Pemuda PAS Kelantan dikenali sebagai Putra Islam. Menurut Dr Fauzi Zakaria, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan iaitu Mohamad Hussin telah mengadakan beberapa kali pertemuan dengan siswazah-siswazah Islam, aktivis pelajar Islam dan juga pihak lujnah tarbiah pemuda untuk menggubal sukatan dan skop pengajian prasekolah ini.

Di negeri Kedah pula telah diwujudkan pendidikan prasekolah dibawah kendalian Dewan Pemuda PAS Kedah yang dikenali sebagai Pusat Asuhan Tunas Islam. Dewan Pemuda PAS Kedah yang dipimpin oleh Najib Fahmi Yahaya telah menubuhkan PASTI di setiap kawasan di Kedah yang dikendalikan oleh Pemuda PAS kawasan masing-masing. Menurut Haji Fauzi Husain, kebangkitan pendidikan pra sekolah PASTI ini berpunca daripada Majlis Ihtifal PASTI bertempat di Bangunan Tepian Gelanggang oleh Tuanku Sultanah Bahiyah iaitu Permaisuri Sultan Kedah sendiri pada penghujung tahun 1988. Penubuhan PASTI dengan pantas mendapat sambutan di Kedah termasuk pelajar bukan Islam turut dihantar belajar seperti di kawasan Padang Serai dan juga Kodiang, Kedah.   

Perkembangan pesat pendidikan prasekolah di bawah kendalian Dewan-dewan Pemuda PAS Negeri telah menyebabkan timbulnya usul dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1988 supaya diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS. Keprihatinan pemuda PAS ini juga berkait rapat dengan persaingan agenda kaderisasi dengan pertubuhan Islam lain di negara ini dan juga manifestasi kekecewaan Pemuda PAS dengan sistem pendidikan negara yang dilihat gagal melahirkan pelajar yang memahami Islam dengan baik.

Dewan Pemuda PAS Pusat yang sewaktu itu dipimpin oleh Haji Abu Bakar Chik telah mengambil tindakan susulan daripada usul muktamar Pemuda PAS. Satu tindakan diambil dalam mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama PASTI untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai jabatan pendidikan prasekolah dibentuk di peringkat pusat diketuai oleh Abu Bakar Abdullah untuk menyelaraskan pendidikan prasekolah ini.

Pada 29-30 Mei 1988 telah berlangsung seminar prasekolah di Masjid Rusila, Terengganu yang telah dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Seminar ini adalah rentetan daripada keseriusan Dewan Pemuda PAS untuk merakyatkan pendidikan prasekolah yang berorientasikan Islam di negara ini dengan penglibatan PAS dengan sistematik. Dua orang tokoh pendidikan PAS telah membentangkan kertas kerja iaitu Harun Taib dan Abdul Halim Arshad.

Dalam sejarah penubuhan PASTI dan perkembangannya, Dr Ustaz Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai pengarahnya yang pertama pada 18 Mei 1989, manakala Mohd Najib Fahami Yahaya sebagai Timbalan Pengarah PASTI Pusat. Setiausaha PASTI Pusat yang pertama ialah Ishak Ismail manakala bendaharinya ialah Noh Ahmad. Semua pengarah PASTI negeri telah dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa PASTI peringkat Pusat. (Bersambung)

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 10/12/2022

- Advertisement -