Banyak sebab keluar PH, bukan begitu sahaja

Datuk Razali Idris
- Advertisement -

Bersatu dan PAS Terengganu mempunyai hubungan yang sudah lama. Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri Terengganu, SENATOR DATUK RAZALI IDRIS, dalam konteks Terengganu, hubungan kedua-dua parti komponen PERIKATAN NASIONAL itu menjadi semakin akrab apabila PAS memilih Bersatu sebagai rakan sekutu. Wartawan Harakahdaily, NOR HAZWANI NOH berkesempatan mewawancara beliau di kediamannya di Marang, baru-baru ini yang menyentuh senario politik negeri dan gerak kerja parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

Soalan: Datuk sebagai Pengerusi Bersatu Terengganu mewakili PERIKATAN NASIONAL di sini, bagaimana Datuk melihat kerjasama antara PAS dan Bersatu?

Dalam konteks hubungan di antara parti Bersatu dengan PAS sebenarnya sudah lama bila PAS mengatakan memilih Bersatu sebagai rakan sekutu untuk berhadapan dengan pilihan raya. Maka bermula daripada situ kita sudah turun ke bawah lebih akrab daripada biasa. Tapi sebelum daripada itu kita sudah mewujudkan satu jawatankuasa ke peringkat negeri yang mana Pengerusi Perikatan Nasional negeri Terengganu adalah Menteri Besar, dan kita juga telah melantik pengerusi penyelaras di peringkat parlimen yang mana pada hari ini semua pengerusi penyelaras di peringkat parlimen kecuali Kuala Nerus menjadi calon.

Daripada Kemaman, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, termasuk yang menjadi pengerusi penyelaras itu yang menjadi calon. Kita fokus kepada penyelaras parlimen dan merangkap ahli parlimen. Jadi di saat pilihan raya ini sebelum beberapa hari pilihan raya kita sudah wujudkan jawatankuasa di peringkat DUN dan UDM. Saya nampak tidak ada masalah sehingga ke hari ini.

Penamaan calon hari ini kita bersama-sama turun ke pusat-pusat penamaan calon dan saya dapat lihat daripada live semua parlimen kita nampak Bersatu dengan PAS ini ada dalam perarakan penamaan calon. Tapi kita kena tahulah bahawasanya Bersatu di Terengganu ini bukanlah sebesar PAS, kita mempunyai keahlian lebih kurang 30,000 orang. Maknanya kita dapat daripada perarakan itu saya jangka 30 atau 40 peratus setiap perarakan yang saya check tadi dari siaran langsung yang kita buat.

Dari sudut gerak kerja khusus untuk pilihan raya ke 15 (PRU15) ini, bagaimana jentera Bersatu digerakkan dalam usaha untuk menarik sebahagian daripada penyokong Umno untuk memberi sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL?

Ya, fokusnya kita daripada awal yang pertama ahli Umno, yang kedua pengundi baru. Tapi dari segi jentera pilihan raya, oleh kerana pilihan raya ini agak mengejut dan walau apapun kita sudah ada jentera 13 portfolio yang berada dalam struktur pilihan raya itu kita ada jawatankuasanya. Oleh kerana PAS sebagai tuan rumah simbol PAS bertanding di Terengganu, maka kita terlibat juga dengan 40 peratus daripada jentera setiap UDM.

Dalam konteks menarik sokongan memang kita boleh dikatakan kita ada jelajah anak muda. Kita buat jelajah anak muda yang first time voter. First time voter ada dalam kalangan yang first voter betul-betul, maksudnya yang 18 hingga 21 tahun dan ada first time voter dari kalangan orang tua. Ada kumpulan sasar puluh-puluh tahun kita cuba gerakkan sebab kita tahu apabila keluarnya daftar pemilih kita tahu dia ni first time voter.

Jadi kita rasa setakat hari ni yang nampak dari segi keahlian kita yang masuk pada peringkat awal orang Umno, tetapi yang terkini sehingga kita buat pelancaran PERIKATAN NASIONAL Negeri Terengganu di Rusila hari itu, anak muda yang 18 hingga 21 ramai yang menjadi ahli Bersatu. Dan saya rasa hak ini akan membantu calon-calon dalam pilihan raya ke 15 di negeri Terengganu dan memang kita fokus kepada pengundi baru dan sebahagiannya ahli Umno.

Apa pandangan Datuk dari sudut calon-calon yang ditampilkan PAS?

Sekarang ini calon sama, tidak ada perubahan kecuali satu Kuala Nerus, yang lain semua calon sama. Mereka berkhidmat macam biasa. Mungkin saya tidak rapat tetapi yang saya tahulah daripada pengundi wakil rakyat PAS ini tidak terbabit dengan isu-isu salah guna kuasa atau rasuah. Itu yang saya rasa dia (mereka) akan dapat meneruskan sebagai yang berhormat selepas ini daripada pilihan raya ke 15 maksudnya rakyat akan pilih dia lagi.

Yang kedua, rakyat bercakap ahli parlimen PAS tidak membawa balik pembangunan di negeri Terengganu, ini cara cakap daripada orang Umno. Tapi kita sudah counter, kita bagitahu sebab wakil rakyat PAS ini mereka baru jadi kerajaan selama 14 bulan, kadang-kadang mereka tidak sedar kerajaan 14 bulan dan lima tahun ini mereka tidak faham. Jadi apabila kita bagi penjelasan baru 14 bulan jadi kerajaan mungkin ia agak susahlah untuk buat pembangunan dalam masa 14 bulan.

Pembangunan ini sebenarnya ambil masa lama. Sebagai contoh kita menangani Covid-19 semasa Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri lebih kurang dalam RM530 bilion kita belanja, hasilnya masa Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri. Baru kita dapat hasil hari ini. Macam kita tengok bagaimana kita boleh keluar daripada pandemik kepada andemik. Sama juga berbalik kepada wakil rakyat tadi.

Jadi apabila kita bagi ceramah, penjelasan kita nampak ada pergerakan yang mereka memahami bahawasanya iaitu 14 bulan ini hanya tapak sahaja. Jadi dia boleh bagi sekali lagi kalau berbanding dengan calon-calon Umno, Ahmad Said.

Kita tahu Mat Said siapa. Walaupun dia popular, dia bekas Menteri Besar dia tahu calon-calon yang Umno di Terengganu ini beberapa orang sahaja yang baru, yang lain sebagai contoh di Setiu, Mohd Yassin orang lama, di Besut orang lama, yang mana rakyat sudah tahu tetapi kita tidak boleh pandang rendah kepada calon-calon Umno.

Ini kerana saya tengok pengundi sekarang agak berlainan pola dia. Dalam satu keluarga itu Umno, Umno dan PAS, PAS, dia bukan begitu. Satu keluarga itu mungkin ada PAS, ada Umno tetapi dia boleh bersama dan keluarga tidak tahu dia undi apa. Sebab itu sekarang ini kita culaan dan pergi jumpa pengundi. Jentera kita yang sudah ada dilantik bermula dari pembubaran parlimen kita sudah jumpa seramai pengundi yang mungkin.

Jadi berbalik kepada soalan wakil rakyat PAS yang sedia ada di Terengganu ini tidak ada seorang pun yang terbabit dengan isu-isu salah guna kuasa dan rasuah, jadi tidak ada isu.

Calon PAS paling ramai bertanding di Terengganu, bagaimana penerimaan Dato’ dan Bersatu?

Saya sebenarnya minta dua kerusi. Satu mestilah kerusi Hulu Terengganu dan satu lagi kerusi Besut. Jadi kita punya asas agihan kerusi Rosol Wahid itu tidak boleh ganggulah. PAS ada enam kerusi tidak boleh diganggu. Jadi kita berebut lah satu kerusi di Besut dan kita bagilah hujah kita dan PAS pun bagi hujah dia. Habis di negeri Terengganu tidak dapat kata putus, selepas itu pergi ke pusat Timbalan Presiden tidak dapat kata putus, akhirnya Presiden buat keputusan. Jadi Presiden buat keputusan mungkin signifikan yang bagi ke PAS itu, kita tidak ada isu.

Kita sebenarnya, pemimpin Bersatu ini walaupun parti baru tetapi pemimpin lama. Dia memahami sama ada kita bertanding atau tidak bertanding ia bukan satu isu yang besar. Yang penting kita nak menang. Kita bertanding kalau nak kalah buat apa. Jadi dari segi di Besut ini, kita tengok PAS lebih lama dan lebih kukuh dari segi jentera, kita baru. Jadi kita terima hakikat itu walau kerusi itu kerusi Umno. Sepatutnya dia boleh bagi kepada kita tapi kita tidak menjadikan satu perkara yang besarlah dan sekarang ini apabila PAS menjadi calon Ketua Bersatu bahagian Besut menjadi penyokong, jadi tidak ada masalah.

Dato’ sendiri tidak bertanding…

Saya awal-awal lagi tidak bertanding. Saya cakap awal-awal lagi tidak mahu bertanding sebab saya nak habiskan Senator saya masih ada dua tahun lebih lagi. Jadi saya rasa bukan soal bertandinglah. Saya jadi Senator pun saya boleh berkhidmat kepada parti dan rakyat negeri Terengganu. Jadi rakan-rakan kita boleh jadi menteri dan kita nak menang di pusat, itu yang paling mustahak sekali.

Dengan suasana yang ada sekarang, bagaimana Dato’ melihat potensi PERIKATAN NASIONAL di peringkat pusat termasuk di Terengganu secara umum?

Saya melihat bila berlakunya tiga penjuru, sebenarnya empat dan lima penjuru. Tapi saya tengok tiga penjuru kita tidak pandang enteng seperti Pejuang. Saya tengok apabila PERIKATAN NASIONAL, Barisan Nasional, Pakatan Harapan, ketiga-tiga parti ini, apabila berlakunya tiga penjuru pada pandangan saya tidak ada siapa yang mempunyai cukup majoriti. Sebab itu di Terengganu kita kempen secara berhemah. Kita boleh dikatakan sudah berpakat tidak membalun Umno secara total. Kita hanya menceritakan bahawasanya sekiranya kita mengundi Umno maka Putrajaya kebarangkalian dimiliki oleh PH, sebagai contoh PRU14. PRU14 formula satu lawan satu. Tun (Mahathir) kata musuh Barisan Nasional adalah sahabat kita, akhirnya jatuh, semua sekali termasuklah DAP tetapi PAS pada masa itu tidak ikut.

Jadi dalam keadaan sekarang mungkin miss 10 atau 15 kerusi, mungkin. Tetapi dalam masa last leap ni kita berusaha untuk mendapat simple majoriti, nak kata 2/3 majoriti saya kata imposible tapi simple majoriti masing-masing kejar. Kita tidak boleh nak kata sebab data analytic yang kita buat sekarang ini pun beza 5 hingga 10 peratus sahaja di antara PH dan PN. Umno dia turun sikit, seolah-olah BN menjadi ‘pengacau’ dalam konteks tiga penjuru ini. Sebab Umno lagi turun selepas dipecat habis 10 orang (penyandang) baru-baru ini, dalam keadaan sekarang dia turun teruk.

Jadi bacaan saya kita kena berhemahlah, tidak boleh macam dahulu nak berentap habis-habisan. Kita raih undi simpati daripada pengundi terutamanya pengundi Umno yang tidak faham kenapa tidak jadi dua penjuru.

Maksud satu lawan satu ini, bukan BN masuk dalam PN. Kamu ada sekian banyak kamu lawan PH, aku lawan PH. Bukan dalam polution PN. itu perjanjian asalnya yang mana Tuan Guru Haji Hadi pegang dan Tan Sri Muhyiddin Yasin pegang. Zahid berpaling. Jadi kita kena berusaha supaya kena kejar simple majoriti itu. Kalau katakan 33 peratus seorang, kita susah. Pasal Umno tidak akan mari kembali dengan kita.

Kita sebenarnya telah bagi tawaran kepada Umno Terengganu, yang mana kita tidak bertanding tidak mengapa. Janji kita berpakat sebab kita tahu bertanding tidak menang juga kalau semua tidak sokong, makna kita sanggup hak Umno itu, kita bagi tetapi yang PAS jangan kacau. Tetapi Umno ini tidak, mereka nak banyak.

Kalau dia (Umno) maintain Terengganu, Kelantan, Kedah, Pahang, Johor, Utara Perlis, ini semua zero pembangkang. Tinggal Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang kita kena lawan. Jadi kita baca kalau satu lawan satu, 2/3 (majoriti).

Apa pesanan dan seruan khususnya kepada petugas PERIKATAN NASIONAL dan pengundi dalam konteks Negeri Terengganu?

Kepada petugas, portfolio yang telah diwujudkan itu kita jangan miss walaupun satu, kerana kita kena rasakan bahawasanya PRU15 ini agak dinamik. Ia bukan macam pilihan raya dulu. Kita tidak nampak siapa yang mempunyai kemenangan dan kita tidak nampak siapa yang akan kalah. Jadi apabila jentera kita lemah, cuai, tidak jaga portfolio saya rasa kita akan tercicir dengan beberapa pengundi. Jadi satu undi memang sangat-sangat penting kepada kita.

Kepada pengundi-pengundi merbahayanya kalau PH menjadi kerajaan. Walaupun ia tidak menjadi perdana menteri tetapi mereka mempunyai majoriti yang besar. DAP tidak kurang daripada 40 kerusi, yang mana mereka tidak akan kalah.

Kalau PH memengang kuasa, walaupun tidak menjadi perdana menteri tapi menteri memang mereka lebih banyak dari parti lain. Contoh kita sudah melalui pemerintahan 22 bulan, di mana menteri-menteri dia lebih daripada menteri kita dan kita nak buat keputusan susah. Cadangan mereka yang pelik-pelik di mana mereka nak rungkai Perjanjian 130 hak keistimewaan orang Melayu, jadi banyak sebab lah kenapa kita keluar dari PH, bukan keluar begitu sahaja.

Jadi untuk kali ini rakyat kena fikir, saya bersetuju bila PAS kata musuh nombor satu dari segi simboliknya PH. Sebab dia (DAP) tidak berminat menjadi perdana menteri, dia nak jadi kerajaan sahaja. Itu kebijaksanaan dia. Perdana menteri Tun Mahathir boleh jadi tetapi tidak akan sampai penghujung. Kalau perdana menteri, menteri tidak pegang kepada prinsip kekuatan agama, bangsa dan negara ia akan di tengah jalan.

Contoh, Tun Mahathir orang yang paling kuat pun tidak tahan sementalah Anwar Ibrahim. Tapi kalau Anwar ikut dia OK lah, kerana PH nak hak sama rata. Dia kata ‘awak kad pengenalan biru, saya biru, kenapa awak ada diskaun Bumiputera untuk beli rumah, awak ada anugerah tanah saya tidak ada’. Yang last sekali kita tidak tahan dari pelbagai masalah yang ditimbulkan, UiTM khusus untuk orang Melayu juga mereka minta nak masuk dua peratus. Kita tidak bagi, marah mereka.

Jadi rakyat kena sedar dan dalam kempen-kempen kita kena bagi penjelasan bahawasanya ini satu bahaya dalam jangka masa panjang untuk kita, jangka pendek tidak nampak. – HARAKAHDAILY 7/11/2022

- Advertisement -