Itqaanul Muluk Bita’dilissuluk: Sejarah Terengganu yang ditulis dengan tinta emas

Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

TARIKH 11 Zulkaedah 1329 Hijrah bersamaan 2 November 1911 menjadi tarikh penting dan bersejarah bagi negeri Terengganu secara khususnya.

- Advertisement -

Pada tarikh tersebut, negeri Terengganu telah melakar sejarah kegemilangan Islamnya apabila almarhum Sultan Zainal Abidin III meletakkan Islam sebagai perlembagaan tertinggi bagi negeri Terengganu sekaligus mengisytiharkan Terengganu sebagai Wilayah Islamiyyah Malayuwiyyah.

Tahun 2022 genap 111 tahun sejarah ini terukir, satu titik sejarah yang mesti diingati oleh umat Islam di Terengganu secara khususnya dan di rantau ini secara umumnya.

Apa yang dilaksanakan oleh almarhum Sultan Zainal Abidin III adalah kesinambungan pelaksanaan Islam di negeri Terengganu yang telah terbukti daripada penemuan Batu Bersurat di Kampung Buluh, Kuala Berang.

Ia adalah bukti yang terpahat bahawa Islam telah dijadikan sebagai cara hidup khususnya di dalam urusan pemerintahan di bumi Serambi Madinah yang bersejarah ini.

Seterusnya berikutan campurtangan British yang berusaha untuk menjajah Terengganu, maka almarhum Sultan Zainal Abidin III, para ulama dan pembesar negeri telah melakukan satu langkah yang bijaksana untuk menyelamatkan Terengganu daripada tangan penjajah British dengan mewujudkan undang-undang tubuh bagi negeri Terengganu yang mana antara kandungannya ialah mengisyhtiharkan negeri Terengganu sebagai sebuah negeri Islam Melayu yang merdeka dan berdaulat serta menjadikan agama Islam selama-lamanya sebagai agama rasmi negeri dan kerajaan.

Perlembagaan Itqanulmuluk bi ta’dilissuluk memberi maksud ketelitian raja-raja dengan mengikut tingkah laku yang betul. Roh atau semangat daripada perlembagaan ini ialah meletakkan garis panduan ke atas mana-mana raja yang mahu memerintah negeri Terengganu bahawa mereka mestilah mengikut hukum-hakam Islam dan tidak boleh sama sekali memberikan wala’ dan kepatuhan kepada penjajah-penjajah.

Penguatkuasaan perlembagaan ini bertujuan untuk menyelamatkan negeri Terengganu dari dijajah oleh penjajah-penjajah asing kerana pada zaman tersebut boleh dikatakan hampir kesemua negara-negara umat Islam dijajah oleh penjajah-penjajah asing. Maka tindakan almarhum Sultan Zainal Abidin III adalah satu tindakan politik yang sangat bijaksana demi menjaga dan memelihara bumi Terengganu.

Di zamannya dilaksanakan hukum jenayah Islam, hudud dan qisas walaupun fakta ini tidak didapati secara bertulis kerana rujukan pelaksanaan hukum-hakam ini dirujuk terus daripada kitab-kitab fiqh jawi yang sudah ada pada ketika itu seperti kitab Matla’ulbadrain karangan Syeikh Daud al-Fatani dan lain-lain lagi.

Ditambah lagi almarhum Sultan Zainal Abidin III bukan sahaja terkenal dengan kebijaksanaannya dalam pemerintahan bahkan juga baginda adalah seorang ulama yang mengetahui selok belok hukum hakam syarak dan pernah berguru dengan ulama-ulama daripada Fatani.

Terdapat juga bukti-bukti yang diakui oleh sejarah seperti kewujudan penjara yang dibuat daripada buluh di Kampung Atas Tol dan di tempat-tempat lain.

Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS pernah menceritakannya dalam ucapan beliau ketika merasmikan Perayaan 100 tahun Itqanulmuluk bi ta’dilissuluk yang diadakan di Kuala Berang pada 7 Januari 2012 tentang satu kisah yang diceritakan turun menurun daripada orang-orang tua berkait dengan seorang lelaki di zaman itu yang digelar sebagai Pak Mat Kawah telah dijatuhkan hukuman hudud potong tangan kerana mencuri.

Pada tahun 1919, penjajah British telah membatalkan perlembagaan Itqanulmuluk bi ta’dilissuluk. Rentetan daripada itu ia telah membangkitkan penentangan rakyat Terengganu yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong bagi mengembalikan semula Terengganu kepada landasannya yang asal.

Antara langkah awal ialah tindakan beliau menubuhkan Parti Syarikat Islam di beberapa daerah seperti Kemaman, Kuala Terengganu dan Besut. Tindakan tersebut telah menimbulkan ketegangan dengan penjajah British sehingga tercetusnya peristiwa berdarah di Padang Kachung pada tahun 1928 yang telah mengorbankan 12 orang syuhada dan berakhir dengan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong dibuang negeri ke Mekah oleh penjajah British.

PAS dan Perjuangan Memartabatkan Islam

Pada tahun 1948 telah ditubuhkan Hizbul Muslimin dan ianya dibubarkan pada tahun yang sama oleh pihak British. Berikutnya pada tahun 1951 telah ditubuhkan Parti Islam Semalaysia ( PAS ) yang berjuang melalui pilihanraya bagi menubuhkan sebuah pemerintahan berlandaskan Islam.

Pada pilihanraya umum pertama yang diadakan pada 1959, PAS telah menyertainya dan menang di negeri Terengganu dan Kelantan namun begitu pemerintahan PAS di Terengganu hanya bertahan sehingga 1961. Pada tahun 1999 sekali lagi PAS telah diberikan mandat oleh rakyat untuk memerintah Terengganu.

Di antara langkah yang diambil ialah meluluskan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam ( Terengganu ) (Pindaan) 2003 yang telah dikemukakan oleh ADUN Manir, almarhum Ustaz Dato Haji Harun Taib. Enakmen ini bertujuan untuk mendaulatkan Al-Quran, As-Sunnah, ijma dan qiyas sebagai hukum tertinggi bagi negeri Terengganu Darul Iman.

Di antara intipati yang penting kepada penetapan undang-undang tubuh yang baharu ini ialah meluluskan Kanun Jenayah Syariah termasuk hukum hudud, qisas dan ta’zir. Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk mengembalikan Terengganu ke landasannya yang asal setelah gagal dilakukan oleh UMNO yang memerintah Terengganu selama lebih daripada 40 tahun sebelum itu.

Tindakan kerajaan PAS Terengganu yang kembali memerintah setelah mencapai kemenangan dalam PRU14 lepas untuk menyambut dan memperingati 111 tahun Itqanulmuluk bi ta’dili ssuluk adalah satu tindakan yang terpuji dan sangat tepat pada masanya kerana dengan usaha ini sekurang-kurangnya memberikan peringatan kepada rakyat negeri ini akan kehebatan sejarah Islamnya dan sebagai komitmen kerajaan PAS Terengganu untuk terus memartabatkan Islam di bumi bertuah ini.

Perlu difahami bahawa kehebatan tamadun Islam bukan kerana kehebatan bangsa atau keturunan tetapi adalah kerana kehebatan ruh Islam yang ada di dalam diri umat Islam itu sendiri. Kalau bukan kerana Islam, bangsa Arab tidak mungkin dapat memerintah satu pertiga dunia di zaman Khulafa Rashidin, Kerajaan Umawiyyah dan Abbasiyyah.

Kerana Islam bangsa Monggol dan Tatar yang ganas tunduk dan jinak. Kalau bukan kerana Islam Salahuddin Al-Ayyubi tidak mampu menundukkan bala tentera Salib. Kalau bukan kerana Islam bangsa Turki tidak boleh menawan kota Constantinople atau Istanbul.

Rakyat Terengganu perlu memuhasabah akan hakikat ini dengan mengingatkan diri akan titik peluh perjuangan orang terdahulu untuk mengekalkan pemerintahan Islam di bumi Darul Iman ini dan juga menginsafi bahawa jatidiri rakyat Terengganu adalah dengan Islam yang telah membawa kemakmuran dan keunggulan mereka di Tanah Melayu ini bukannya dasar-dasar perjuangan yang lain.

Semoga bumi dan rakyat Terengganu terus dilimpahi keberkatan, kemakmuran dan kesejahteraan serta berada dibawah lindungan Allah SWT.

Malaysia Sejahtera.

YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.

9 Rabiul Akhir 1444H bersamaan 4 November 2022. – HARAKAHDAILY 5/11/2022

- Advertisement -