Kawasan bebas berniaga dilanjut hingga akhir 2023

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan melanjutkan tempoh kawasan bebas berniaga di negeri itu sehingga Disember 2023.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kawasan bebas berniaga itu diwujudkan ketika pemulihan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 tahun lalu dan akan tamat pada Disember 2022.

Namun kata beliau, memandangkan perniagaan mereka baharu sahaja mulai dikenali pelanggan, maka tempoh kebenaran berniaga dilanjutkan ke setahun lagi.

“Kebanyakan mereka baharu sahaja memulakan perniagaan. Baharu sahaja dikenali pelanggan dah nak kena tutup dan berpindah pula, jadi kerajaan negeri lanjutkan tempoh hingga Disember 2023 untuk memberi peluang peniaga mengembangkan perniagaan,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Bajet Kedah 2023, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Sanusi juga berkata, kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan menyediakan kemudahan dan keselesaan untuk peniaga serta pelanggan.

Menurutnya PBT akan mengenal pasti kawasan perniagaan yang berpontensi menjadi tumpuan baharu kepada kawasan bebas berniaga terbabit.

“Berniaga tak boleh duduk sendirian, kena berpusat baharu dapat menarik pelanggan untuk membuat pilihan. Sebagai contoh di kawasan berhampiran Bank Islam, Jalan Sultanah akan ditambahbaikan agar tahap keselamatan pelanggan dan penjual,” katanya.

Beliau yakin pelaksanaan dasar sedemikian dapat membantu peniaga untuk mengembangkan lagi perniagaan.

Dalam perkembangan lain, Sanusi yang juga Adun Jeneri, beberapa inisiatif baharu akan dilaksanakan kerajaan negeri melalui Bajet Kedah 2023 yang dibentang hari ini.

Walaupun berlaku sedikit peningkatan defisit namun katanya, ia dijangka dapat diatasi dengan perbelanjaan berhemah dan kutipan hasil baharu.

“Rare Earth Element (REE) dijangka akan menyumbang hasil baharu kepada kerajaan negeri, cuma Kementerian Tenaga dan Sumber (KeTSA) belum mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk dilaksanakan,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 30/10/2022

- Advertisement -