Infrastruktur kunci pembangunan Kelantan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

BANDAR BARU BANGI: Antara faktor yang ramai orang tidak faham mengenai faktor yang menyebabkan pembangunan Kelantan terhalang adalah kerana kemudahan infrastruktur tidak mencukupi.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah, berkata kebanyakan negeri yang maju di negara ini mempunyai kemudahan infrastruktur lengkap, iaitu rangkaian jalan raya dan keretapi yang baik serta pelabuhan dan industri.

“Kita di Kelantan, lebuh raya baru sekarang ada. Itu pun sekerat-kerat. Pembesaran lapangan terbang pun baharu diluluskan peruntukan.

“InsyaAllah jika pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berjalan lancar, perjalanan menjadi dekat, 5-6 jam sudah boleh sampai Kuala Lumpur. Oleh itu, pengangkutan untuk industri akan meningkat,” katanya di majlis penutup Karnival Anak Kelantan di Perantauan di sini, hari ini.

Jika boleh, Mohd Amar berkata, Kelantan memerlukan sebuah lagi pelabuhan, terutama di Tumpat yang boleh menjadi pemangkin paling kuat untuk memajukan bukan sahaja Tumpat, tetapi Kelantan secara keseluruhan.

Menurutnya, lokasi Tumpat strategik kerana berdekatan IndoChina dan Segenting Kra di Thailand yang jika projek terusan di situ menjadi kenyataan, Tumpat akan menjadi tempat paling dekat dengan terusan itu.

“Kerajaan negeri sudah rancang, tetapi kekangannya ialah faktor kewangan. Jadi dengan sokongan semua pihak, kita percaya boleh buat dengan lebih baik pada masa depan,” katanya.

Peserta berpeluang bertanyakan soalan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, kerajaan Kelantan mengharapkan pandangan dan saranan semua pihak yang boleh membantu meningkatkan pencapaian negeri itu.

“Kita tahu, kita tidak sempurna. Sebagai manusia, kita ada kekurangan dan kelemahan serta mungkin ada kesilapan sepanjang 32 tahun memerintah Kelantan.

“Sebab itu pandangan orang ramai, terutama anak Kelantan yang berada di luar Kelantan yang kita percaya mereka bukan orang biasa, tetapi orang hebat-hebat seperti tokoh akademik dan perniagaan boleh membantu kita.

“Kita terbuka menerima kritikan, cuma kritikan mestilah berasas. Ada orang kritik tak tahu kenapa, dia kritik saja. Kalau kata apa yang kerajaan lakukan tidak kena, beritahulah supaya kena. Kalau kata kerajaan buat tak cukup, perlu beritahu supaya jadi cukup,” katanya.

Mohd Amar berkata, ketika ini ada pihak marah kepada kerajaan Kelantan yang dikatakan tidak pandai mencari wang selepas kerajaan memberitahu bahawa antara faktor tidak boleh menyelesaikan masalah air ialah kerana kewangan.

“Banyak orang kata, tak boleh cari sendiri ke pitih (wang)? Kalau cari sendiri, tolong beritahu caranya. Kita pun nak tahu juga,” katanya.

Beliau berkata, kemampuan kerajaan negeri mempunyai had kerana tidak boleh meminjam dengan institusi kewangan.

“Dulu ketika PAS mula memerintah Kelantan, kita nak buat apa pun tak boleh. Akhirnya masa itu, kita pinjam duit bank. Kita buat Jambatan Sultan Yahaya Petra dan kemudian projek di Hulu Kelantan.

Antara peserta yang menghadiri Karnival Anak Kelantan di Perantauan

“Namun selepas itu, Kerajaan Pusat buat peraturan, mana-mana kerajaan negeri tak boleh pinjam duit. Jadi kalau kita nak apa-apa, kena minta dengan Kerajaan Pusat yang bukan hak kita dan ini menimbulkan masalah,” katanya.

Beliau berkata, antara usaha yang kerajaan negeri lakukan ialah membawa pelabur ke Kelantan, tetapi tetap dikritik kerana dikatakan itu adalah usaha syarikat dan bukan kerajaan.

Menurutnya, kebanyakan pembangunan di negara ini sebenarnya dilakukan oleh syarikat atau sektor swasta, manakala kerajaan hanya membuat projek pembangunan awam seperti membina hospital dan sekolah.

“Sebab itu apabila hendak kritik atau berhujah, lakukan secara positif supaya kerajaan negeri boleh melihat ruang untuk meningkatkan pembangunan Kelantan.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengadakan dialog dengan pelbagai pihak untuk memberitahu perancangan dan sasaran yang hendak dicapai, manakala rakyat boleh memberitahu apa yang kerajaan patut lakukan, sekali gus saling membantu antara satu sama lain. – HARAKAHDAILY 29/10/22

- Advertisement -