Komuniti Muslim dan wakaf sumber alam

- Advertisement -

WAKAF merupakan satu instrumen yang boleh dimanfaatkan untuk menjaga alam sekitar. Ketika ini, telah wujud pelbagai bentuk wakaf sumber alam misalnya wakaf hutan, wakaf air, wakaf tenaga suria dan sebagainya. Mewakafkan sumber alam untuk manfaat bersama bukanlah satu perkara baharu. Sejak zaman Rasulullah S.A.W, Baginda telah mewakafkan tanah untuk dibina masjid dan juga mewakafkan tujuh kebun kurma di Madinah. ‘Umar al-Khattab pula ketika memperoleh tanah di Khaibar, telah mewakafkan tanah tersebut bagi tujuan pertanian dan hasilnya disedekahkan kepada orang miskin. ‘Uthman bin Affan pula mewakafkan telaga air. ‘Uthman membeli telaga milik seorang Yahudi dan kemudiannya orang awam boleh menikmati air tersebut secara percuma.

- Advertisement -

Di Turki pula, projek wakaf telah menyebabkan negara itu dipenuhi berbagai masjid, madrasah, sekolah, dapur awam dan rumah sakit. Bukan itu sahaja, telah dibangunkan juga rumah penginapan, terusan, jalan, jambatan dan bangunan yang dijadikan pasar dan hamam. Dengan adanya wakaf, masyarakat di Turki boleh mengakses segala kemudahan atau perkhidmatan sosial dengan mudah pada bila-bila masa. Ketika itu juga telah wujud wakaf hutan (Evkaf Forest) yang meliputi kawasan lebih daripada 107,000 hektar.

Manakala di Indonesia, hutan wakaf pertama telah dibangunkan di Aceh dan dikenali sebagai Hutan Wakaf Jantho. Hutan tersebut dibangunkan daripada wakaf tunai masyarakat setempat. Dana wakaf yang dikumpulkan itu digunakan untuk membeli tanah-tanah kritikal. Di Bandung, pemerintah telah membuka hutan wakaf yang dikenali sebagai Wakaf Leuweung. Hutan wakaf di Bogor pula telah dibuka oleh beberapa ulamak daripada Universiti IPB (Institut Pertanian Bogor).

Wakaf sumber alam juga menjadi keutamaan di Kuwait. Pada 1995, Kuwait Awqaf Public Foundation (KAPF) telah ditubuhkan dengan keutamaan untuk mengumpul dana bagi melindungi alam sekitar. Selain mengutip dana wakaf, KAPF ini turut mengelola dan mengagihkan dana dalam pelbagai bentuk misalnya projek yang melibatkan penghijauan taman di masjid dan sekolah, projek menanam pohon, serta menyokong pelbagai organisasi perlindungan alam sekitar.

Di Malaysia pula, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah memperkenalkan Wakaf Air untuk membiayai projek perkhidmatan air berskala kecil. KASA juga telah membangunkan Wakaf Masjid Hijau untuk membiayai projek-projek pembangunan masjid berasaskan teknologi hijau di Malaysia. Selain itu, pelbagai badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat-syarikat swasta juga terlibat dalam projek wakaf tenaga solar di masjid mahupun institusi pendidikan.

Berdasarkan contoh-contoh yang diberikan, jelas menunjukkan bahawa wakaf sumber alam bukanlah sesuatu yang asing bagi komuniti Muslim di seluruh dunia. Usaha-usaha ini dilakukan bukan sahaja untuk memelihara dan memulihara sumber alam tetapi juga satu usaha untuk menangani masalah perubahan iklim demi manfaat masyarakat keseluruhannya.

AZRINA SOBIAN 
Felow, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM – HARAKAHDAILY 25/10/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100064392321114/posts/pfbid02CqXmpAPYWWRhAupRcS3kHJhRm4rQhNKKmJmgjVJi4nhRNM9wajyVQJmkceEmuSocl/?sfnsn=mo 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -