Kharge tamatkan era dinasti Nehru-Gandhi

Bekas presiden sementara Kongres, Sonia Gandhi bersama Mallikarjun Kharge (kanan).
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

NEW DELHI: Kongres India mengisytiharkan pemimpin veteran, Mallikarjun Kharge, sebagai ketua baharu parti itu, orang pertama dari luar keluarga berpengaruh Nehru-Gandhi, memegang jawatan presiden parti dalam tempoh 24 tahun.

- Advertisement -

Namun, Kharge, 80, dari kasta rendah di India, dilihat sebagai seorang yang setia kepada keluarga Gandhi yang melahirkan tiga Perdana Menteri India sebelum ini dan dijangka mengekalkan pengaruh ke atas parti itu.

Kongres berharap dapat memulihkan nasib parti itu dengan pemimpin baharu selepas tewas dua kali dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan beberapa negeri kepada Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi.

“Isu paling penting yang India hadapi sekarang ialah inflasi, pengangguran, jurang pemisah yang semakin meluas antara golongan kaya dan miskin serta suasana kebencian yang semakin meningkat disebarkan oleh kerajaan yang memerintah,” kata Kharge selepas kemenangannya.

Beliau memenangi pemilihan parti yang diadakan Isnin lalu, mengalahkan bekas diplomat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Shashi Tharoor.

Walaupun pucuk pimpinan Kongres berubah, BJP yang menyokong pendirian golongan kanan dan nasionalis, berada dalam kedudukan yang kukuh untuk memenangi penggal ketiga berturut-turut dalam PRU yang dijangka menjelang 2024.

Parti berusia 137 tahun, Kongres membantu India mencapai kemerdekaan daripada kuasa penjajah Britain dan kemudian menguasai politik selama beberapa dekad, telah lama memperjuangkan politik sekular.

“Perubahan presiden adalah detik yang sangat penting untuk Kongres,” kata felo kanan kumpulan pemikir di Pusat Kajian Dasar, Neelanjan Sircar.

“Keinginan untuk berubah perlu dicerminkan dengan perubahan struktur organisasi dalam parti itu,” katanya.

Anggota kanan parti itu yang tidak berpuas hati sejak beberapa bulan lalu, mencabar kepimpinan parti di bawah presiden sementara, Sonia Gandhi, yang mengambil alih tanggungjawab itu selepas anaknya, Rahul Gandhi, meletakkan jawatan berikutan kekalahan parti itu kepada BJP dalam PRU 2019.

Sonia dan Rahul ialah balu dan anak kepada bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi, yang mati dibunuh, sama seperti nasib ibunya, Indira Gandhi dan datuk, Jawaharlal Nehru.

Kharge berkata, Rahul Gandhi menelefonnya untuk mengucapkan tahniah dan memberitahu akan terus bekerja sebagai ahli biasa Kongres.

- Advertisement -