LTdL 2022: Jersi kuning milik siapa kali ini?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perebutan dalam kalangan pelumba basikal mana layak menyarung jersi kuning selaku juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 bakal terjawab apabila acara kayuhan bermula esok hingga 18 Okt ini.

- Advertisement -

Perlumbaan jelajah berbasikal tertua Asia dengan jarak sejauh 1,096.9 kilometer (km) meliputi lapan peringkat itu bukan sahaja mengujakan peminat sukan tanah air bahkan sejumlah pelumba, baik dari dalam mahupun luar negara selepas LTdL edisi terdahulu ditunda.

Kali terakhir LTdL diadakan adalah pada edisi 2020 sebelum ia sepi berikutan seluruh negara dilanda Covid-19 sekali gus menyaksikan perlumbaan jalan raya UCI ProSeries berstatus 2.HC itu, acara yang paling dinanti-nantikan dalam kalendar sukan berbasikal Malaysia.

LTdL 2022 bermula dengan Peringkat 1 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur, diikuti Peringkat 2 (Kuala Klawang-Raub), Peringkat 3 (Putrajaya-Genting Highlands), Peringkat 4 (Sabak Bernam-Meru Raya), Peringkat 5 (Kuala Kangsar-Kulim), Peringkat 6 (Georgetown-Alor Setar), Peringkat 7 (Kuah-Gunung Raya) dan berakhir dengan Peringkat 8 (Kuah-Loop Langkawi).

Di sebalik ketiadaan penganjuran itu sebelum ini, LTdL kali ini kekal ‘menyengat’ tampil dengan 23 zon pecutan dan 19 zon pendakian secara keseluruhan yang sudah semestinya menjanjikan kayuhan memeritkan buat pelumba.

Penyertaan enam pasukan Jelajah Dunia iaitu UAE Team Emirates (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan) menghangatkan lagi suasana perlumbaan LTdL kali ini.

Ketua jurulatih skuad berbasikal kebangsaan Mohd Yusof Nasir berkata kehadiran sejumlah besar pasukan Jelajah Dunia dan Pro Benua merupakan peluang terbaik untuk mereka merasai aksi saingan peringkat tertinggi.

Beliau berkata ia juga kesempatan bagi pelumba Malaysia membuktikan kebolehan dan keupayaan mereka bersaing dengan pelumba profesional sekali gus meletakkan sasaran untuk berada di podium dalam mana-mana peringkat saingan.

Menerusi pemerhatian tiga peringkat perlumbaan awal adalah paling mengujakan apabila bakal menyaksikan pertukaran jersi kuning dan Raja Pecut (jersi hijau) yang menyediakan 12 zon pendakian termasuk penamat Peringkat 3 Kategori Hors ke puncak Genting Highlands.

Perlumbaan Peringkat 4, 5 dan 6 pula dijangka berakhir dengan pecutan beramai-ramai pasukan yang mengandungi pakar pecut manakala penyarung jersi kuning dan Raja Bukit (jersi polka dot) hanya sekadar mengenakan kayuhan secara selamat.

Memasuki Peringkat 7 Kuah-Gunung Raya dijangka memberikan peluang cerah kepada pencabar jersi kuning dan jersi Raja Bukit mempamerkan sesuatu kerana tiga zon pecutan dan tiga zon pendakian termasuk pendakian curam menuju ke puncak Gunung Raya telah tersedia.

Peringkat 8 Kuah-Loop Langkawi pula bakal menjadi peluang terakhir pencabar terdekat merealisasikan impian juara LTdL 2022 dengan jangkaan detik-detik terakhir lebih sengit berlaku sebelum tiba di garisan penamat.

Selain enam pasukan Jelajah Dunia yang menyertai LTdL kali ini, Drone Harper-Androni Giocattoli (Itali), Uno X-Pro Cycling (Norway), Alpecin-Deceuninck (Belgium) dan Burgos-BH (Sepanyol) membentuk empat pasukan daripada bahagian Pro Benua.

Pasukan profesional benua tempatan, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC) mengetuai cabaran tempatan manakala Indonesia diwakili oleh Mula Cycling Team dan Roojau Cycling Team.

ARA Pro Racing Sunshine Coast (Australia), China Glory Continental Cycling Team (China), ProTouch (Afrika Selatan) dan Kuwait Pro Cycling (Kuwait) membentuk baki cabaran benua itu.

Pasukan Asia lain yang disahkan termasuk Thailand Continental Team (Thailand), Team UKYO (Jepun), 7-Eleven Cliqq Air (Filipina) dan pasukan berbasikal kebangsaan (Malaysia). – BERNAMA

- Advertisement -