Kes baharu Covid-19 turun sedikit minggu lepas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13,627 kes baharu Covid-19 direkodkan bagi Minggu Epidemiologi ke-37 (ME 37/2022) iaitu dari 11 hingga 17 Sept lepas berbanding 14,072 kes pada ME36/2022, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Angka kes baharu berkenaan menunjukkan penurunan sebanyak 3.2 peratus.

“Purata kes aktif setiap hari bagi ME 37/2022 adalah 26,378 iaitu terdapat penurunan sebanyak 4.1 peratus berbanding minggu sebelumnya,” kata beliau dalam kenyataan mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata 31 kes kematian yang direkodkan pada ME 37/2022 juga menunjukkan penurunan sebanyak 8.8 peratus berbanding 34 kes pada minggu sebelumnya.

- Advertisement -

Mengenai bilangan kes sembuh pula, beliau berkata ia juga turun sebanyak 16 peratus dengan 14,513 kes itu direkodkan bagi ME 37/2022 berbanding 17,286 kes pada minggu sebelumnya.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pada ME 37/2022 menunjukkan penurunan 6.7 peratus bagi pesakit kategori 1 dan 2, manakala tiada perubahan untuk pesakit kategori 3, 4, dan 5.

“Bagi peratusan pengisian katil fasiliti Covid-19, menunjukkan penurunan satu peratus bagi katil bukan kritikal manakala katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan katil Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), masing-masing turun dua peratus.

“Peratusan pesakit Covid-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) pula menunjukkan tiada perubahan,” kata beliau.

Jumlah kes positif yang dipantau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara juga turun.

Mengenai Nilai RT atau kadar kebolehjangkitan, Dr Noor Hisham berkata ia meningkat kepada 0.96 pada ME 37/2022 berbanding 0.92 pada minggu sebelumnya. – BERNAMA

- Advertisement -