Teong Kim ketua jurulatih baharu Perak FC musim 2023

- Advertisement -

IPOH: Perak FC hari ini mengumumkan pelantikan bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih baharu pasukan itu bagi saingan Liga Malaysia musim 2023.

Pengerusi Perak FC Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata pelantikan bekas jurulatih pasukan Bayern Munich Bawah 19 tahun itu dibuat selama dua tahun selain pilihan memperbaharui kontrak selama setahun lagi.

- Advertisement -

Beliau berkata sudah tiba masanya untuk kelab berkenaan menyusun semula pasukan selepas kekalahan berterusan dalam tiga perlawanan terakhir Liga Perdana.

“Perak FC terpaksa menjalani tempoh peralihan, dan kami kini telah menyelesaikan semua masalah yang timbul, jadi tidak ada lagi alasan untuk musim depan kerana kami ada masa cukup ditambah kehadiran jurulatih terkemuka dalam senarai.

“Fokus kita ingin stabilkan kelab selain kekalkan status kompetitif kami dengan pengambilan skuad baharu dan kehadiran Teong Kim penting dalam proses membina semula pasukan mampan selain bersaing untuk merebut kejuaraan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Perak FC hari ini.

Menurut kenyataan itu, bekas pemain kebangsaan berkenaan ingin membantu membawa perubahan struktur kepada cara kelab bola sepak dikendalikan di negara ini.

Teong Kim sebelum ini antara nama yang berada dalam pertimbangan Kelantan FC bagi dilantik sebagai Ketua Jurulatih pasukan itu oleh pemiliknya, Norizam Tukiman.

Sebagai rekod, Teong Kim dilantik sebagai Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) pada 2013 sebelum memegang jawatan sebagai Pengarah AMD pada 2016.

Namun, tugasnya sebagai Pengarah Teknikal NFDP ditamatkan susulan kegagalan skuad Bawah 16 Tahun (B-16) kebangsaan layak ke Piala Dunia B-17 2019 sebelum kontraknya selaku Pengarah AMD tidak dilanjutkan.

Sementara itu, Perak FC turut menyatakan Yusri Che Lah akan diberi peranan baharu untuk membangunkan skuad B-23 musim depan, dan Teong Kim akan mengambil alih peranan selaku pengendali ketika ini selepas perlawanan dengan Kuching City FC di Stadium Perak pada 17 Sept. – BERNAMA

- Advertisement -