KeTSA sokong Pahang pulihara Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sebagai national focal point bagi Program Man and the Biosphere (MAB) sentiasa menyokong segala usaha Kerajaan Negeri Pahang dalam memelihara dan mempertahankan status kawasan Tasik Chini sebagai Tapak Rizab Biosfera yang pertama di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, program MAB merupakan suatu program saintifik antara kerajaan (inter-governmental) yang menetapkan asas saintifik bagi memperbaiki pertalian antara manusia dan alam sekitar dengan mengimbangkan keperluan pembangunan dan penjagaan alam sekitar.

Menurutnya, KeTSA sentiasa menyokong komitmen dan usaha berterusan Kerajaan Pahang dalam memelihara dan memulihara kawasan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini.

- Advertisement -

Katanya, pelbagai inisiatif sedang diambil oleh kerajaan negeri itu untuk menambah baik dan mengukuhkan pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini,

Ini, ujarnya termasuk mengemas kini pengezonan bagi mengekalkan fungsi Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini, mewartakan Hutan Simpanan Kekal Chini, melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu, menghentikan aktiviti melombong dan mengukuhkan tadbir urus Tapak Rizab itu.

KeTSA juga, ujarnya telah menyediakan peruntukan sebanyak lebih RM1.5 juta sejak tahun 2016 bagi melaksanakan pelbagai kajian di Tasik Chini termasuk kajian kualiti air.

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah membelanjakan RM4.018 juta menggunakan peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi tempoh 2019 hingga 2021 untuk tujuan menambah baik pengurusan Tasik Chini.

“Selain itu, KeTSA melalui JPSM telah mempergiatkan program penanaman pokok sejak tahun 2015 bagi memulihkan kawasan terosot yang turut melibatkan pihak berkepentingan seperti komuniti Orang Asli,” ujarnya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, pada 2022, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sedang melaksanakan program pemulihan dan penghutanan semula sekitar kawasan Tasik Chini termasuk dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal Chini dengan peruntukan sebanyak RM800,000 di bawah inisiatif bajet Kumpulan Wang Covid-19 (KWC), Kementerian Kewangan Tahun 2022 iaitu Projek Pemerkasaan Komuniti dan Pemuliharaan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini.

Tambahnya, KeTSA melalui JPSM dan JPNP telah melaksanakan Program Penanaman Pokok dan Pengayaan di Tasik Chini, Pahang di bawah Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, hari ini.

Sehubungan itu, ujarnya KeTSA menjunjung kasih atas perkenan Pemangku Raja Pahang berangkat ke program itu dan turut berkenan menanam pokok Merawan Siput Jantan. Menteri Besar, Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut hadir.

Beliau berkata, sebanyak 1,000 pokok daripada pelbagai spesies hutan telah ditanam.

“Saya turut berkesempatan meninjau keadaan dan usaha-usaha pemulihan yang sedang giat dilaksanakan di sekitar kawasan Tasik Chini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Katanya lagi, Tasik Chini yang berkeluasan 6,922.97 hektar merupakan Tapak Rizab Biosfera yang pertama di Malaysia yang diiktiraf The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) di bawah Program Man and the Biosphere (MAB) pada 26 Mei 2009.

Selain Tasik Chini, jelasnya Malaysia turut mendapat pengiktirafan UNESCO bagi Banjaran Crocker, Sabah pada 12 Jun 2014 dan Bukit Bendera, Pulau Pinang pada 15 September 2021.

Pada masa ini terdapat 738 Tapak Rizab Biosfera di 134 buah negara di seluruh dunia. – HARAKAHDAILY 10/9/2022

- Advertisement -