Tidak lapor kes dera budak boleh dikena tindakan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

PASIR MAS:
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius berkenaan kes seorang pelakon cilik, Puteri Balqis Azizi yang didakwa menjadi mangsa pukul dan gangguan seksual.

Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima informasi daripada polis yang membantu menyelesaikan kes berkenaan.

- Advertisement -

Katanya, pihak polis memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap kes penderaan tersebut.

“Mana-mana individu yang mengambil sikap ‘berpeluk tubuh’ daripada melaporkan kes penderaan kanak-kanak bakal berdepan hukuman selaras dengan pindaan Akta Kanak-Kanak 2001, yang diluluskan pada 2016.

“Tiga pihak iaitu pengamal perubatan, ahli keluarga dan pengasuh, masing-masing wajib melaporkan sebarang kes penderaan berdasar Seksyen 27, 28 dan 29 Akta Kanak-Kanak Pindaan 2016.

“Hukuman penjara dan denda boleh dikena terhadap mereka yang mempunyai sebab munasabah berlakunya kes penderaan membabitkan kanak-kanak dalam apa jua bentuk,” katanya pada sidang media selepas majlis Perasmian Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas di sini, hari ini.

Isu penderaan pelakon cilik terbabit didedahkan melalui media social baru-baru ini.

Oleh itu Siti Zailah yang Ahli Parlimen Rantau Panjang berharap semua pihak menjalankan tanggungjawab untuk menangani kes penderaan kanak-kanak. – HARAKAHDAILY 6/9/2022

- Advertisement -