Pemuda Generasi Sejahtera – Ucaptama Ketua Pemuda PAS

Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-63

- Advertisement -

MUQADDIMAH

‘Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum’, selamat datang dan selamat bermuktamar kepada semua perwakilan, pemerhati dan tetamu yang hadir bagi menjayakan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-63 bagi sesi 2021-2023 di Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar Kedah Darul Aman.

Hamba berkuda tuan berlari
Mari ke sana teruslah mara
Ayuh Pemuda Persiap Diri
Mari Membina Generasi Sejahtera.

Pisang tua di atas peti
Dibawa selam bersama telur
Biar nyawa bertukar ganti
Demi Islam tidakkan undur

Hari ini bermadah indah
Besok nanti berhari raya
Hari ini di bumi Kedah
Besok nanti di Putrajaya

Sidang muktamirin, Perwakilan dan Pemerhati sekalian,

Di dalam surah al-Nur, ayat 55, Allah menyatakan bahawa:

- Advertisement -

وَعَدَ اللّٰهُ الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى الْاَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِهِمْۖ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِيْنَهُمُ الَّذِى ارْتَضٰى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِّنْۢ بَعْدِ خَوْفِهِمْ اَمْنًاۗ يَعْبُدُوْنَنِيْ لَا يُشْرِكُوْنَ بِيْ شَيْـًٔاۗ وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذٰلِكَ فَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْفٰسِقُوْنَ

“Allah telah menjanjikan kepada orang di antara kamu yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan, Dia akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka berkuasa. Dan sungguh, Dia akan meneguhkan bagi mereka dengan agama yang telah Dia redhai. Dan Dia benar-benar mengubah (keadaan) mereka, setelah berada dalam ketakutan menjadi aman sejahtera. Mereka (tetap) menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan-Ku dengan sesuatu apa pun. Tetapi barangsiapa (tetap) kafir setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang yang fasik.”

Ibnu Katsir di dalam tafsirnya menghuraikan bahawa ini adalah janji dari Allah S.W.T kepada Rasul-Nya. Allah akan menjadikan umatnya sebagai pemimpin kepada manusia. Dengan kepimpinan mereka, negeri akan menjadi baik dan rakyat akan patuh kepada mereka. Allah akan menukar keadaan mereka dari keresahan kepada keadaan yang aman dan sejahtera. Janji itu telah diberikan oleh Allah S.W.T dan telah dibuktikan dengan penaklukkan kota Makah, Khaibar, Bahrain, dan semua kawasan semenanjung Arab serta negeri Yaman seluruhnya. 

Firman Allah lagi di dalam Surah al-Sajdah, ayat 24:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ اَىِٕمَّةً يَّهْدُوْنَ بِاَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوْاۗ وَكَانُوْا بِاٰيٰتِنَا يُوْقِنُوْنَ

“Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka para pemimpin, yang memberi petunjuk dengan perintah Kami, mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat Kami (24)”.

Allah menyatakan sifat pemimpin yang terus sabar dalam menjalankan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Maka jadilah di antara mereka pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah Allah, menyeru kepada kebaikan, memerintahkan kepada kebajikan, serta mencegah kemungkaran.

Alhamdulillah, muktamar kita pada kali ini, PAS masih terus utuh dan gagah selaku salah sebuah komponen yang penting di dalam Kerajaan Malaysia, Kerajaan Keluarga Malaysia yang dipimpin oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Muktamar kali ini berkemungkinan adalah muktamar yang terakhir, sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15. Justeru, para muktamirin sekalian diharap dapat menghayati ucaptama yang akan disampaikan dan terlibat secara tuntas dalam perbahasan. Perkara ini penting, supaya kita dapat menyatukan kembali pemikiran, berlapang dada pada perbezaan pandangan, memperkemas strategi, dan seterusnya membawa kepada penyatuan amal dan gerak kerja yang signifikan dan berimpak. Demi kesejahteraan agama dan negara.

Tema Muktamar: Pemuda Generasi Sejahtera

Sidang muktamirin, Perwakilan dan Pemerhati sekalian,

Pemuda Generasi Sejahtera merupakan tema Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-63. Tema ini diangkat bagi menggesa pemuda untuk segera mempersiapkan seluruh kekuatan, menyusun langkah kemenangan, memacu perpaduan generasi muda dalam negara, membentuk muafakat yang utuh dalam menuju cita-cita, demi agama Islam, seterusnya melahirkan generasi pemuda sejahtera yang mengisi kemenangan. 

Tema ini adalah tawaran Dewan Pemuda PAS Malaysia kepada anak-anak muda Malaysia, agar sama-sama menyahut misi sejahtera yang telah diperjuangkan oleh parti ini sejak sekian lama. Tema ini juga sekali gus merangkumi maksud tema-tema Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia yang telah diangkat bemula dari 2015 hingga 2021. 

Pemuda yang bekerja (‘Ar-Rojul Al-Fa’al’), bukan hanya dengan berkata-kata. Kata-kata ini dinisbahkan kepada Saidina Uthman bin Affan R.A selepas dibaiahkan sebagai khalifah:

إنكم إلى إمامٍ فعّال أحوجَ منكم إلى إمامٍ قوّال

“Sesungguhnya kalian lebih berhajat kepada seorang pemimpin yang banyak bekerja daripada yang banyak berkata-kata.” (Tafsir al-Qurtubi : 18/115). 

Persediaan pemuda sama ada sebagai amilin, rijal ad-dakwah, rijal as-siasah atau rijal ad-daulah perlu diperkemaskan asas tiang serinya. Pastikan aqidah perjuangan, ibadah yang sahih, fikrah yang jelas dan jernih dipasakkan dengan kuat di semua peringkat Pemuda PAS. 

Pemuda yang kuat asas tarbiahnya dan jelas fikrahnya mampu menggalas segala ujian dan cabaran yang menagih pengorbanan dan kekangan hawa nafsu. Kita dapat melihat kualiti ummat terdahulu, generasi Sahabat ditekankan dengan pembinaan asas sebelum terjadinya peristiwa Hijrah ke Madinah. 

Kita juga dapat melihat sejarah bagaimana kualiti tentera Muhammad Al-Fateh, dari sudut kepatuhan kepada Allah S.W.T dan kepimpinan, menggalas arahan yang diberikan, walaupun di luar kotak pemikiran, hingga dikurniakan kemenangan oleh Allah S.W.T. Sebaik-baik tentera! Itulah yang disabdakan oleh Nabi Muhammad S.A.W ketika menggali parit dalam peristiwa Peperangan Khandaq yang bermaksud: 

“Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera-tentera Islam. Rajanya ada sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” 

(Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Bagi menyediakan generasi pemuda yang diimpikan, marilah kita tekuni kualiti-kualiti yang perlu ada dalam setiap pemuda Islam:

i. Pertama: Memiliki ilmu yang luas mencakupi fardhu ain dan fardhu kifayah. Ini berdasarkan panduan dari ayat Al Quran dari surah Al Baqarah ayat ke-247, yang menceritakan mengenai ciri-ciri kepimpinan yang ada pada Talut pada kelebihan ilmu dan fizikal (بَسْطَةً فِى الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ) menjadi asbab kepada pemilihan beliau. Kemudian, Allah menggambarkan lagi di dalam Surah Yusuf, ayat ke-55; bagaimana sifat kepimpinan yang pandai menjaga amanah (حَفِيْظٌ) dan berpengetahuan luas di dalam bidang (عَلِيْمٌ) adalah keperluan asas yang sangat penting, sebelum ditaklifkan sebagai pemimpin. 

ii. Kedua: Miliki tahap keimanan yang teguh seteguhnya iman para pemuda Ashabul Kahfi seperti yang diceritakan dalam Surah Al Kahfi ayat ke-13 (فِتْيَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمْ).

iii. Ketiga: Pemuda yang tekun menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah, seperti mana yang disebutkan oleh hadis Nabi S.A.W; شاب نشأ في عبادة ربه(Sahih Bukhari, Hadis no.620).  

iv. Keempat: Pemuda yang kompeten dan memiliki pelbagai kemahiran (‘subject-matter expert’) selaras dengan kehendak dan keperluan semasa dalam melaksanakan keperluan gerakan Islam pada hari ini. 

Pemuda generasi sejahtera! Teruslah bergerak kehadapan dengan kekuatan aqidah, ibadah yang sahih serta fikrah yang jelas. Mara dengan kekuatan yang dibina sendiri berpandukan al-Quran dan As-Sunnah. Mematuhi segala arahan kepimpinan, untuk terus menongkah cabaran dalam mencapai matlamat yang ditetapkan. 

PAS dalam kerajaan

Sidang muktamirin, Perwakilan dan Pemerhati sekalian,

Pasca Pilihan Raya ke-14, Malaysia telah melalui beberapa siri fasa pentadbiran kerajaan, bermula dari pemerintahan gabungan Pakatan Harapan yang telah memenangi PRU ke-14. Di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan, rakyat merasai keresahan dan kegusaran, keraguan dan ketidakstabilan, kelemahan urus tadbir dan pergolakan politik yang tidak berkesudahan. Akhirnya membawa kepada pertukaran pentadbiran negara. 

Kemudian, di bawah kepimpinan YB Tan Sri Dato’ Seri Haji Muhyiddin Haji Md Yasin, rakyat merasai keprihatinan negara dalam meringankan beban rakyat untuk menghadapi suasana pandemik COVID-19. Keluarga Malaysia pula adalah gagasan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang kita hormati, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. Konsep Keluarga Malaysia ini membawa rakyat Malaysia untuk bersolidariti dalam memfokuskan kepada pemulihan negara pasca pandemik COVID-19.

Prestasi PAS dalam kerajaan

PAS adalah salah satu komponen terpenting di dalam kedua-dua pentadbiran kerajaan campuran pasca kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan. Hingga kini, jasa PAS dalam menstabilkan kerajaan sedia ada ke arah kestabilan dan kesejahteraan negara, sukar disanggah pihak lawan dan kawan. 

PAS telah menunjukkan rekod prestasi yang sangat membanggakan dalam mengurus tadbir kerajaan serta membawa mesej dakwah dan Islam di dalamnya. Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) mencatatkan Kedah dan Terengganu tersenarai di antara lima (5) negeri yang mencatat pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia pada tahun 2021. Sektor Pembuatan di Kedah contohnya, meningkat sebanyak 6.2 peratus, manakala di Negeri Terengganu, prestasi melebihi aras nasional pada kadar 9.5 peratus.

Negeri Terengganu juga telah berjaya menunaikan 90 peratus manifesto yang dijanjikan pada PRU ke-14. Komitmen yang ditunjukkan ini menghasilkan keyakinan pelabur dan diterjemahkan kepada pelaburan luar sebanyak RM8.5 bilion pada tahun 2021. Terengganu juga telah memperkenalkan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu (2021-2030) untuk memposisikan Negeri Terengganu di masa hadapan melalui inisiatif memperkasakan pendigitalan. Pelan ini adalah salah satu pelan yang digagaskan dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030).

Negeri Kedah Darul Aman pula, mencatatkan pencapaian yang amat memberangsangkan dengan kemasukan pelaburan luar berjumlah RM20 bilion untuk suku tahun kedua 2022 mengatasi Pelan Pembangunan Kedah 2035 (RM10 bilion). Keyakinan komuniti pelabur adalah cerminan kepada nilai integriti yang sentiasa diberikan penekanan dalam setiap peringkat urus tadbir kerajaan negeri. Nilai Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diamalkan di dalam pemerintahan berjaya menterjemahkan slogan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ tanpa mengira kaum dan agama serta apa jua perbezaan termasuk pegangan politik. 

Negeri Kelantan, negeri yang telah diperintah oleh PAS sejak tahun 1990 terus membangun dengan bergaya, walaupun diuji dengan pelbagai cabaran dan halangan daripada Kerajaan Persekutuan sebelum ini. Prestasi Pengurusan Kewangan yang cemerlang saban tahun berdasarkan Indeks Akauntabiliti dalam Laporan Ketua Audit menunjukkan PAS terkehadapan dari sudut amalan tadbir urus yang bersih, cekap dan amanah.

Alhamdulillah, Kementerian Alam Sekitar dan Air telah memasukkan rancangan penyelesaian masalah banjir dan bekalan air di Kelantan secara holistik di dalam Rancangan Malaysia ke-12 dengan peruntukan sebanyak RM7 bilion. Ini meliputi projek tebatan banjir, loji-loji rawatan air, kolam simpanan dan penggantian paip penyaluran yang rosak. Inilah kos yang perlu di lunaskan oleh Kerajaan Persekutuan selepas Kelantan dianaktiri lebih dari 30 tahun.

PAS mengetuai tiga portfolio Kementerian di dalam Kerajaan Malaysia, iaitu KASA, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Hal Ehwal Agama Islam. Antara inisiatif yang dijalankan oleh KASA adalah Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air (Wakaf Air). Inisiatif ini menterjemahkan Konsep Negara Berkebajikan, di mana rakyat bersama-sama menyumbang kepada kebajikan dan kesejahteraan sesama rakyat. Kecemerlangan KASA di bawah kepimpinan Timbalan Presiden PAS, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan pemberian Anugerah Penguatkuasaan Alam Sekitar Asia 2020 daripada United Nations Environment Programme (UNEP) pada 17 Februari 2021.

KeTSA, di bawah kepimpinan Setiausaha Agung PAS, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula, telah melancarkan Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER) 2022-2035 bertujuan meningkatkan kapasiti campuran Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam bekalan elektrik negara. Pendekatan serampang tiga mata itu akan dapat menghasilkan limpahan ekonomi melalui penjanaan nilai pelaburan sebanyak RM20 bilion pada 2025 dan RM33 bilion menjelang 2035. Pelan ini menyediakan hampir 47,000 peluang pekerjaan langsung dalam bidang.

Menteri Hal Ehwal Islam yang di pimpin oleh Naib Presiden PAS, YB Senator Datuk Idris Ahmad memfokuskan kepada dua teras utama; (1) Aspirasi Keluarga Malaysia iaitu menstruktur semula ekonomi dan (2) memperkasa penyampaian perkhidmatan menerusi unit-unit di bawah Kementerian Hal Ehwal Agama dan 14 agensi berkaitan. Sebanyak 208 program telah dirancang diantaranya bantuan terus kepada usahawan asnaf, Program MyHaus YaPEIM, Program Inspirasiprenuer YaPEIM, pemerkasaan industri Pensijilan Halal Malaysia JAKIM menerusi Inisiatif Pemantapan Sistem Pendidikan Islam, Inisiatif Pemantapan Institusi Kekeluargaan, Sosial dan Komuniti Islam, Inisiatif Pemantapan Institusi Masjid dan Surau dan Inisiatif Pemantapan Sosio Ekonomi Ummah.

Tidak kurang pentingnya peranan yang telah dibawa oleh lima lagi Ahli Parlimen PAS yang telah dilantik selaku Timbalan Menteri di kementerian-kementerian strategik untuk sama-sama mentadbir negara ke arah yang lebih makmur dan sejahtera. Syabas dan tahniah!

Isu Syariah

Mengenai isu RUU355 pula, PAS tidak pernah lupa! PAS di dalam kerajaan, mempergiat usaha menyediakan draf Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 bagi meningkatkan Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah. Pelbagai sudut telah dilihat khususnya aspek Perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak agar RUU355 tersebut lebih komprehensif, seterusnya dapat memperkasa bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah.

Kita juga di dalam usaha untuk memperkasa dan memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah setanding dengan Mahkamah Sivil. Aspek pemerkasaan Mahkamah Syariah meliputi pelbagai aspek yang penting seperti meningkatkan tahap kompetensi hakim Syarie, pendakwa Syarie dan pegawai penguatkuasa agama, penambahbaikan aspek tadbir urus dan prasarana Mahkamah Syariah, penggubalan dan pindaan Undang-undang Syariah sedia ada dan penyeragaman dan penyelarasan Undang-undang Syariah. Antara langkah yang telah diambil untuk memperkasa dan menaik taraf Mahkamah Syariah supaya sesuai dengan perkembangan semasa ialah dengan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji dan menggubal Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2022. 

PAS bukan sekadar beretorik mengenai Islam. Apabila diamanahkan dengan kepimpinan, keindahan dan kesyumulan Islam akan diterjemahkan dalam pemerintahan dan urusan negara. Inilah komitmen dan usaha yang ditunjukkan oleh PAS. Alhamdulillah kesannya, rakyat semakin yakin dengan kemampuan PAS di dalam tadbir urus serta kepimpinan berkualiti yang ditonjolkan oleh kepimpinan PAS dan ahlinya. 

Kewibawaan, kemampuan urus tadbir yang cemerlang dan integriti yang tinggi ditunjukkan di negeri-negeri yang ditadbir serta di kementerian-kementerian yang diamanahkan memberikan suatu ‘vibe’ yang sangat positif kepada rakyat Malaysia. Kita telah membuktikan walau hanya separuh penggal PAS di dalam kerajaan, pencapaian urus tadbir yang ditunjukkan adalah ‘commendable’ dan membanggakan. Alhamdulillah. PAS mampu memimpin!

Peranan Pemuda PAS

Perlu ditekankan di sini, peranan Pemuda PAS sangat penting dalam menyediakan sumber manusia yang berkualiti bagi mengisi gerak kerja PAS dalam kerajaan. Bertepatan dengan salah satu Halatuju DPPM; Mempersiap Rijal Daulah, kita akan terus mempertingkatkan penyaluran tenaga-tenaga berkepakaran dari kalangan Pemuda PAS untuk membantu pentadbiran negeri dan negara. Justeru, Pemuda di semua peringkat perlu terus mencetak amilin yang berkualiti bagi mengisi kemenangan PAS pada PRU ke-15 nanti, insya-Allah.

Pemuda PAS juga sangat sinonim dengan kebajikan rakyat sama ada di dalam atau di luar kerajaan. Mengambil contoh sumbangan Jabatan Amal Malaysia. Pendekatan jabatan ini sangat selari dengan kehendak anak muda yang mahu terlibat dalam kebajikan dan misi kemanusiaan. Bencana 18 Disember 2021 menyaksikan negara kita diuji dengan satu bencana banjir besar yang melanda Lembah Klang termasuk di Pahang dan sebahagian Negeri Sembilan. Kita juga diuji dengan banjir kepala air di Gunung Jerai, banjir di Hulu Terengganu dan Kelantan, dan sekali lagi bencana kepala air pula berlaku di Kampung Bukit Iboi, Baling Kedah.

Setiap kali berlaku bencana alam maka kita akan lihat anak-anak muda berbaju merah hati dalam ketumbukan kekuatan jentera Jabatan Amal Malaysia telah digerakkan membantu mangsa-mangsa banjir tidak kira agama, bangsa atau ideologi politik. Kita melihat kekuatan yang ada pada Jabatan Amal Malaysia turun membantu agensi kerajaan dalam misi 3R iaitu Rescue, Relief and Rehabilitation. Anggota-anggota Jabatan Amal Malaysia tanpa banyak soal, bergegas terus turun ke lapangan. Bukan calang-calang bantuan yang dihulurkan, malah usaha mereka juga mendapatkan pengiktirafan dari badan-badan penyelamat lain. Syabas diucapkan kepada semua anggota yang telah terlibat dari segenap peringkat. Heroyang tidak didendang. The ‘unsung hero’!

Situasi antarabangsa 

Sidang muktamirin, Perwakilan dan Pemerhati sekalian

Isu antarabangsa

Dewan Pemuda PAS Malaysia tetap mengambil berat mengenai apa yang berlaku di luar negara. Hal ini kerana PAS bukanlah hanya sebagai parti politik semata-mata. Namun, sebagai sebuah gerakan Islam yang mengambil cakna terhadap saudara-saudara se-Islam kita di seluruh dunia. Melalui Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa, DPPM telah mengadakan Program Minggu al-Quds Sedunia yang dianjurkan oleh Aid4Palestine dengan penglibatan agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh-tokoh masyarakat serta pelbagai lapisan rakyat dengan kerjasama Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah yang diketuai oleh Tuan Guru Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang. 

DPPM turut terlibat secara serius dalam siri persidangan antarabangsa yang berfokuskan kepada perbincangan nasib umat Islam di rantau Asia Tengah. Antaranya, Muktamar Antarabangsa Uighur yang berlangsung di Turkiye yang turut dihadiri oleh wakil-wakil pimpinan Umat Islam dari lebih 40 buah negara. Kita juga turut terlibat dalam siri-siri forum yang khusus membincangkan nasib umat Islam di Kashmir, menjalinkan beberapa hubungan strategik dengan sayap-sayap pemuda parti yang berteraskan Islam di Nusantara dalam mendepani isu-isu umat Islam di sana.

Isu umat Islam di Palestin tidak pernah padam dalam ingatan umat. Pelbagai rangka kerja program, diskusi, wacana sentiasa dianjurkan bagi memperingati dan menyemarakkan semangat juang Palestin dalam masyarakat di negara ini. Bantuan kemanusiaan turut digerakkan bagi membantu perjuangan dan kebajikan rakyat di Palestin. Semua aktiviti yang disebutkan di sini antara contoh, bagi menunjukkan Pemuda PAS sentiasa bersolidariti dan mengambil berat terhadap situasi semasa umat Islam di peringkat global. 

Pergelutan tuntutan Malaysia dan beberapa negara ASEAN terhadap sebahagian wilayah Laut China Selatan perlu diberikan perhatian serius. Pendekatan ‘hedging’ negara-negara ASEAN serta prinsip The ASEAN Way memerlukan kepada kebijaksanaan negara-negara anggota bagi mengekalkan penyelesaian secara aman di rantau Asia Tenggara. Rantau Asia Pasifik sentiasa berhadapan tumpuan kuasa-kuasa besar sejajar dengan kedudukan geografi perairannya iaitu Selat Melaka yang menjadi tumpuan laluan perdagangan global. Negara kita tidak seharusnya terjerumus ke dalam mana-mana pakatan yang tidak memberikan keuntungan kepada kita. Sebarang bentuk rundingan haruslah memastikan kestabilan rantau ini sentiasa terjamin. 

Soal kedaulatan negara perlu sentiasa diberikan keutamaan yang serius. Kita tidak mahu mengulangi tragedi kehilangan Batu Puteh selepas penghakiman daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008. Adalah amat malang sekali langkah Kerajaan Malaysia tidak meneruskan rayuan pada 2018. Penubuhan jawatankuasa berdasarkan undang-undang ‘Tort of Misfeasance’ (kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan rayuan pada tahun 2018) oleh Kerajaan Persekutuan perlu dipantau bagi meneliti syor-syor terbaharu yang dikemukakan. Konflik maritim sebegini memerlukan kepada suatu garisan sempadan maritim yang jelas. Isu ini perlu sentiasa berada dalam radar Kementerian Luar bagi memastikan kedaulatan di perairan negara sentiasa terjamin.

Isu kemasukan 1.2 juta warga negara China ke dalam negara sebagai pelancong dan tidak pulang juga perlu diberikan perhatian serius. Perkara ini telah menimbulkan keresahan di pelbagai peringkat dan telah berlanjutan tahun tahun 2018. Pemuda PAS ingin mencadangkan agar pihak kerajaan menjalinkan kerjasama dengan pihak Kerajaan China dalam usaha mengekang kemasukan warga mereka yang memang berniat untuk menyalah gunakan visa pelancong. Kerajaan juga boleh melaksanakan program-program pengukuhan komuniti bagi memperkasa komuniti tempatan di bandar-bandar utama. Komuniti tempatan adalah akar umbi yang paling ampuh dalam usaha mengesan pelancong yang tidak diundang.

Pejuang kemerdekaan dan Pemuda 

Sidang Perwakilan dan Pemerhati sekalian,

Pejuang kemerdekaan dan peranan pemuda

Betapa sejarah jelas mencatatkan kemerdekaan tanah air kita ditunjangi oleh ulamak. Nama-nama seperti Haji Mat Hassan bin Munas (Tok Janggut), Mat Kilau bin Imam Rasu, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Abdul Hamid (Tok Limbong), Tok Guru Haji Abas Muhammad, Haji Muhammad Yusof Ahmad (Tok Kenali), Sayid Abdul Rahman Muhammad Al-Idrus (Tok Ku Paloh), Haji Mohd Salleh Abdul Karim (Kiyai Haji Salleh) dan ramai lagi tokoh-tokoh ulamak tanah air yang bertanggungjawab meniup semangat jihad rakyat dan turut sama berjihad. Mereka bukan sekadar berceramah di surau dan madrasah, tetapi ‘walk the talk’, bangun dan bangkit menentang penjajahan dan kemungkaran. 

Fenomena Filem Mat Kilau telah membugar semula semangat patriotik di kalangan rakyat Malaysia. Kesedaran pejuang kemerdekaan yang dipelopori oleh ulamak perlu dikembangkan lagi, bukan hanya sekadar mendewakan idola adiwira rekaan dari alam fantasi Marvel dan DC Comics. Anak-anak muda perlu dipupuk mencontohi keperibadian mulia, jati diri dan keperwiraan sebenar yang ditonjolkan oleh ulamak-ulamak terdahulu dan juga pejuang-pejuang kemerdekaan. 

Semangat jihad dan kepimpinan yang dirakamkan di dalam Sirah Nabawiyah juga menunjukkan betapa Nabi Muhammad S.A.W, pada awal kebangkitan Islam dikelilingi dan dibantu sahabat-sahabat dari kalangan Pemuda.

Antaranya, Saád bin Abi Waqqash (17 tahun), Al-Arqam bin Abi Al-Arqam (16 tahun), Zubair bin Awwam (15 tahun), Thalhal bin Ubaidullah (16 tahun) dan Usamah bin Zaid (18 tahun). Usamah bin Zaid R.A., contoh terbaik panglima tentera Islam termuda yang telah diberikan kepercayaan oleh Baginda Nabi untuk mengetuai pasukan perang untuk penaklukan Kerajaan Byzantium yang akhirnya memperolehi kemenangan. Beliau pada waktu itu diberikan amanah oleh Baginda Nabi S.A.W untuk memimpin ketumbukan tentera yang besar, yang terdiri dari kalangan Sahabat-sahabat Nabi yang utama, lebih berusia dan berpengalaman. Nabi Muhammad S.A.W telah meletakkan suatu piawai yang tinggi kepada kita semua, meletakkan kepercayaan kepimpinan kepada anak muda, meletakkan kredibiliti dan kewibawaan sebagai merit yang penting untuk memikul tanggungjawab penting dalam memastikan panji-panji Islam tertegak di seluruh dunia.

Tanggungjawab anak muda 

Sidang Perwakilan dan Pemerhati sekalian,

Kita di ambang Pilihan Raya Umum ke-15. PRU ke-15 kali ini sangat mengujakan kerana pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik (PPSA) telah dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada 15 Disember 2021. Keputusan ini mengakibatkan peningkatan jumlah pengundi baru sebanyak 8.5 juta dari jumlah pengundi yang telah mengundi pada PRU ke-14. 

Pengundi baru yang terdiri dari anak-anak muda semestinya akan memberi keputusan yang signifikan dalam menentukan kepimpinan kerajaan pasca PRU ke-15. Berdasarkan kajian persepsi dan tingkah laku anak muda, majoriti anak muda menyedari tanggungjawab mereka sebagai rakyat untuk memastikan pemilihan kepimpinan baru kerajaan yang terbaik. Lebih dari 85 peratus responden anak muda sangat teruja untuk mengundi dalam pilihan raya akan datang walaupun hampir sebahagian besar dari mereka tidak berminat membincangkan isu-isu politik. Mereka ini adalah ‘silent reader’ dan ‘silent observer’.

Walau bagaimanapun, lebih dari 40 peratus responden anak muda masih belum mahu menetapkan pendirian politik mereka. Justeru, Pemuda PAS disarankan untuk mendekati mereka, rakan-rakan kita di luar sana. Kita perlu giatkan ‘engagement’, dengari pandangan mereka dan pastikan mereka memperolehi informasi yang benar dan tepat. Laporan dari Digital 2022 menyatakan; WhatsApp, Facebook, Instagram, TikTok dan Twitter adalah lima platform media sosial utama rakyat di Malaysia. Justeru, platform-platform ini wajib dikuasai oleh Pemuda-pemuda PAS untuk menyampaikan dakwah dan naratif positif PAS dalam berkerajaan.

Imej calon, imej sosial parti serta isu dan dasar yang dibawa oleh calon atau gabungan parti, adalah tiga perkara utama yang mempengaruhi keputusan anak muda untuk memberikan undi di dalam pilihan raya. Imej calon yang menjadi keutamaan anak muda adalah keikhlasan calon, keberanian menjuarai isu rakyat serta mesra rakyat. Sementara itu, imej sosial parti yang menjadi pilihan mereka adalah yang mengutamakan soal integriti, memelihara hak asasi rakyat serta parti yang mampu memelihara kedaulatan negara. Bagi faktor isu dan dasar, anak muda cenderung memilih parti yang mampu menyelesaikan isu rasuah serta berusaha menambahbaik perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.

DPPM buat sekian kalinya bertegas untuk tidak sesekali berkompromi dengan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku di dalam negara. Negara telah dikejutkan sekali lagi dengan isu projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang menjadi misteri, apa sebenarnya yang telah berlaku kepada ketelusan urus tadbir negara. Projek yang menelan belanja RM6 bilion secara rundingan terus itu sepatutnya menambah kekuatan benteng pertahanan negara. Isu rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku di dalam negara kita ini perlu dihentikan dengan segera dan dicari akar puncanya. Anak muda perlu menggunakan peluang pada PRU ke-15 kali ini untuk memastikan negara kita akan dipimpin oleh mereka yang berwibawa, berintegriti, bebas dari unsur rasuah dan salah laku urus tadbir. 

Selain isu integriti di peringkat awal Projek LCS ini, isu kelewatan siapnya kapal-kapal ini juga perlu diberikan perhatian. Di antara puncanya adalah campur tangan kerajaan terhadap pendirian yang dibuat oleh TLDM selaku ‘end user’ yang menyebabkan projek ini akhirnya terbengkalai. Campur tangan politik yang keterlaluan menyumbang kepada projek ini tidak dapat disiapkan mengikut garis masa yang telah ditetapkan. Selain itu, kerosakan yang dilakukan PH selama 22 bulan mereka berkuasa juga tidak boleh dinafikan, dan kesannya masih dirasai oleh rakyat sehingga sekarang. Kami ingin berpesan kepada Anak muda, pastikan peristiwa hitam Pakatan Harapan memerintah negara yang menyaksikan tunjang negara hampir dirobekkan dengan pendirian negara terhadap ICERD contohnya, tidak akan berulang lagi di masa hadapan. Seruan penyatuan ummah yang sering kita kumandangkan kepada rakyat adalah perisai yang perlu kita jaga sentiasa. Biarlah peristiwa hitam itu kekal sebagai peringatan dan tidak akan lagi diulang kesilapan yang sama.

Di dalam masa yang sama, DPPM ingin kepada satu panduan yang jelas dan segera diturunkan kepada jentera, bersama pengarahan taktikal berstrategi untuk menghadapi pilihan raya. Dengan pilihan raya sudah sangat hampir, PAS sudah tentu perlu memuktamadkan soal pembahagian kerusi dan penentuan calon. Biar jelas siapa yang boleh dihadap, siapa yang boleh dibuat kawan. Jangan nanti tabuh berbunyi, baru keris mahu diasap, baru tanjak mahu dicari. Gelanggang telah lama ditari oleh musuh, rentak dan gendang sudah lama beraksi, anak muda kita sedang menunggu arahan pimpinan, sebarang isyarat dan arahan, akan kami junjung atas batu jemala kami. 

Tawaran anak muda 

Sidang Perwakilan dan Pemerhati sekalian,

Seperti mana yang kita sedia maklum, anak muda mempunyai ekspektasi yang besar kepada kerajaan untuk melaksanakan segala tanggungjawab yang diberikan dengan sebaiknya. Tentu sekali anak muda juga mempunyai sesuatu keinginan yang perlu kita terjemahkan dalam bentuk tawaran. 

DPPM telah merangka satu tawaran yang akan diumumkan dalam masa terdekat. Tawaran ini melibatkan 4 fokus utama kepada Anak Muda; (1) Kos Sara Hidup, (2) Barangan Asas, (3) Rasuah dan (4) Kebolehpasaran. Untuk permulaan ini, DPPM ingin mengumumkan sebahagian cadangan Tawaran Anak Muda untuk dilaksanakan sekiranya kita diberikan peluang untuk menerajui Kerajaan Persekutuan pasca PRU ke-15. Tawaran-tawaran tersebut adalah;

[1] Pemilikan rumah melalui kaedah sewa beli.

Satu insentif khas ditawarkan kepada anak muda yang masih tidak mempunyai rumah dan mempunyai masalah dalam memperolehi pinjaman bagi pembelian rumah. Tawaran yang akan diberikan memberikan fokus kepada menawarkan lebih banyak rumah kepada anak muda dalam bentuk sewa beli. Ini untuk memudahkan pemilikan rumah dari kalangan anak-anak muda yang rata-ratanya amat sukar untuk memperolehi pinjaman untuk membeli rumah.

[2] Insentif pengecualian dan diskaun bayaran balik Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Baru-baru ini Kerajaan telah mengumumkan, bermula tahun 2019, pemberian keistimewaan pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama. DPPM menghargai niat murni Kerajaan dalam membantu pelajar yang cemerlang. Namun, mengambil kira situasi semasa ekonomi negara dan kepentingan untuk memelihara golongan sasar, maka DPPM mencadangkan agak kewajaran insentif ini diberikan fokus kepada pelajar daripada keluarga B40 dan M40 sahaja. Termasuk dengan memperluaskan insentif kepada pelajar yang memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kelas kedua Atas. 

[3] Program Biasiswa Siswazah.

Program Mybrain adalah suatu program pembiayaan pengajian di peringkat pascasiswazah yang sangat bermanfaat kepada negara. Program ini memberikan peluang kepada anak-anak muda untuk menyambung pengajian ke peringkat pengajian yang lebih tinggi. Namun program ini telah dihentikan semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH). DPPM melihat terdapat keperluan untuk dihidupkan semula Program Mybrain ini dengan penjenamaan baharu. Perkara ini amat penting terutamanya dengan mengambil kira keadaan ekonomi negara bagi tahun 2022 dan 2023, maka rakyat terutamanya anak muda perlu diberikan bantuan kewangan dengan membiayai pengajian mereka di peringkat Ijazah Kedoktoran dan Ijazah Sarjana. Dalam jangka masa panjang, sebaik sahaja selepas mereka tamat pengajian maka pada ketika itu diharapkan ekonomi negara akan lebih baik dan lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta untuk diisi oleh pemegang biasiswa siswazah ini. 

[4] Penyewaan tanah milik kerajaan kepada anak muda bagi tujuan pertanian.

Kerajaan yang akan dibentuk selepas PRU15 perlu segera mengurangkan kebergantungan kepada barangan ‘import’ terutamanya berkaitan dengan bekalan makanan. Antara langkah segera yang perlu dilaksanakan adalah dengan melaksanakan penanaman sayuran skala besar dan melibatkan pelbagai jenis sayur yang boleh dihasilkan pengeluaran segera (dalam tempoh kurang dari 6 bulan). Oleh yang demikian antara tawaran yang seterusnya kepada anak muda adalah dengan menyewakan tanah milik Kerajaan yang bersesuaian secara percuma selama dua tahun kepada anak muda dan boleh diperbaharui tempoh penyewaan untuk mengusahakan tanaman berasaskan sayuran yang mampu untuk menampung keperluan makanan rakyat Malaysia sekiranya berlakunya krisis yang luar biasa. 

[5] Data internet percuma 5GB sehari untuk B40 dan M40.

Tawaran seterusnya adalah dengan memberikan data internet percuma 5GB sehari untuk anak-anak muda daripada keluarga B40 dan M40. Data internet ini akan dapat membantu mereka dalam pelbagai keadaan seperti membantu mereka beralih ke ekonomi digital dalam pelaksanaan perniagaan secara e-dagang.

[6] Cadangan pelaksanaan makanan percuma kepada pelajar B40 dan M40 di institusi pengajian awam melalui kaedah e-dompet.

Salah satu tawaran penting dalam meringankan beban pelajar semasa menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi adalah melibatkan kos harian makanan mahasiswa. Oleh yang demikian, DPPM mencadangkan insentif pembelian makanan harian khas dalam bentuk e-dompet yang dikreditkan secara bulanan kepada semua pelajar B40 dan M40 di IPTA sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran di kampus. Penggunaan e-dompet ini akan membolehkan penerima menerima ganjaran yang boleh ditebus dengan nilaian tunai yang akan dikreditkan di dalam e-dompet tersebut.

[7] Peralihan subsidi dengan mengkreditkan RM100 sebulan dalam bentuk e-dompet kepada anak muda dari keluarga B40 dan M40 untuk membeli barang keperluan harian.

DPPM mencadangkan penawaran peralihan subsidi dengan tawaran pemberian subsidi sebanyak RM100 sebulan secara e-tunai atau e-dompet kepada anak muda dari keluarga B40 dan M40 untuk membeli barangan asas. Sebelum ini, Kerajaan telah melaksanakan Projek Perintis iaitu Program Prihatin Kasih melibatkan pembayaran sebanyak RM100 sebulan secara tanpa tunai atau ‘cashless’ selama 3 bulan kepada 300,000 isi rumah miskin di seluruh negara yang melibatkan peruntukan sebanyak RM100 juta. Kaedah bantuan seumpama ini juga perlu melibatkan anak muda dan perlu diteruskan secara bulanan dan dicadangkan sebahagian bantuan tunai contohnya RM100 setiap bulan dikreditkan melalui e-tunai atau melalui e-dompet dan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira keperluan tunai oleh anak muda khususnya di kawasan luar bandar. Inisiatif ini akan dapat membantu anak muda menggunakan wang yang dikreditkan melalui e-tunai atau melalui e-dompet untuk membeli barang keperluan harian sahaja.

[8] Bantuan bayaran kenderaan anak ke sekolah.

Antara tawaran yang tidak kurang pentingnya adalah membantu keluarga muda khususnya daripada kategori B40 dan M40 yang mempunyai anak yang masih belajar di sekolah untuk diberikan bantuan bayaran kenderaan anak ke sekolah. Kos pengangkutan ini sebenarnya amat membebankan keluarga B40 dan M40. 

[9] Makanan percuma untuk pelajar sekolah kategori B40.

Tawaran seterusnya adalah dengan menawarkan makanan percuma di sekolah khususnya kepada pelajar daripada keluarga B40. Umum mengetahui kos makanan pada ketika ini meningkat secara signifikan. Tawaran  untuk memberikan makanan percuma untuk pelajar sekolah daripada keluarga B40 ini akan dapat meringankan beban dan mengurangkan perbelanjaan keluarga B40 yang mempunyai anak-anak ramai yang masih bersekolah.

Pengarahan dan persiapan menghadapi PRU15

Sidang Perwakilan dan Pemerhati sekalian,

Berikut adalah lapan (8) pengarahan kepada membina generasi kemenangan sebagai persediaan menghadapi PRU ke-15.

1. Pentarbiahan. Pemuda perlu memperbanyakkan program pentarbiahan di setiap peringkat bagi memastikan kekuatan teras amilin diperkukuhkan. 

2. Perkaderan. Pemuda perlu melipatgandakan usaha menambah amilin di semua tempat bagi memastikan sasaran 12,000 amilin tercapai.

3. Disiplin Amilin. Pemuda PAS wajib memberikan wala’ dan taat kepada arahan pimpinan dalam perlaksanaan pengarahan jamaah sebagai tunjang kepada kekuatan PAS. 

4. Kompetensi Amilin. Pemuda PAS wajib meningkatkan ilmu, keterampilan, nilai dan profesionalisma dalam bidang dan kerjaya masing-masing bagi mempersiapkan diri dalam mengisi kemenangan PAS pada PRU ke-15.

5. Pemerkasaan Jentera Pilihan Raya. Usaha pemerkasaan organisasi jentera pilihan raya pemuda di semua peringkat melibatkan negeri, kawasan, DUN sehingga ke peringkat unit daerah mengundi. 

6. Dakwah. Pemuda PAS perlu mempergiatkan gerak kerja lapangan mendekati anak muda secara bersasar (anak muda atas pagar, Undi18 dan ‘first time voter’). Pemuda perlu ke hadapan dan wujudkan kolabratif bersama entiti parti komponen yang lain dalam TaskforceUndi18 dan Urusan Generasi Millenial. Pemuda juga perlu mendekati rakan-rakan daripada pelbagai latarbelakang kaum dan agama bagi membawa mesej ’Islam adil untuk semua’.

7. Pemerkasaan Jentera Penerangan. Media sosial harus diberikan tumpuan sebagai platform utama penerangan PRU ke-15 dengan memperkasakan semua medsos pemuda yang berpotensi untuk menarik undi. Pada masa yang sama, aktiviti penerangan melalui media massa dan lapangan juga perlu digerakkan sebagai persediaan ke arah PRU15.

8. Mempertahan Kedaulatan Islam. Pemuda PAS perlu bertegas dalam isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam, terutamanya yang berpotensi menggugat kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan di Malaysia. 

Penutup 

Sidang Perwakilan dan Pemerhati sekalian,

Tema Pemuda Generasi Sejahtera adalah seruan kepada semua Pemuda PAS untuk mempersiapkan diri sebagai pemuda untuk mempunyai kualiti sebagai generasi yang akan mencapai kemenangan. Tanpa jihad dan pengorbanan, kita tidak akan mencapai kemenangan yang diimpikan. Tanpa taat dan tsabat, usaha kita akan menjadi sia-sia.

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada para urusetia Panitia Muktamar DPPM kali ke-63 yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kelancaran muktamar pada hari ini. Terima kasih juga diucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah selaku tuan rumah, Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah, Anggota Jabatan Amal Malaysia serta barisan kepimpinan PAS negeri-negeri dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Muktamar Tahunan DPPM kali ke 63.

Saya akhiri ucaptama dengan firman Allah S.W.T dari surah Ali Ímran (194-195):

رَبَّنَا وَاٰتِنَا مَا وَعَدْتَّنَا عَلٰى رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ الْقِيٰمَةِ ۗ اِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيْعَادَ

“Ya Tuhan kami, berilah kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui rasul-rasul-Mu. Dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari Kiamat. Sungguh, Engkau tidak pernah mengingkari janji.”

فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ اَنِّيْ لَآ اُضِيْعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِّنْكُمْ مِّنْ ذَكَرٍ اَوْ اُنْثٰى ۚ بَعْضُكُمْ مِّنْۢ بَعْضٍ ۚ فَالَّذِيْنَ هَاجَرُوْا وَاُخْرِجُوْا مِنْ دِيَارِهِمْ وَاُوْذُوْا فِيْ سَبِيْلِيْ وَقٰتَلُوْا وَقُتِلُوْا لَاُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّاٰتِهِمْ وَلَاُدْخِلَنَّهُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِيْ مِنْ تَحْتِهَا الْاَنْهٰرُۚ ثَوَابًا مِّنْ عِنْدِ اللّٰهِ ۗ وَاللّٰهُ عِنْدَهٗ حُسْنُ الثَّوَابِ

“Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman), “Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki mahupun perempuan, (kerena) sebahagian kamu adalah (keturunan) dari sebahagian yang lain. Maka orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang terbunuh, pasti akan Aku hapus kesalahan mereka dan pasti Aku masukkan mereka ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, sebagai pahala dari Allah. Dan di sisi Allah ada pahala yang baik.”

Negeri Kedah subur dan berkat,
Membawa pelabur jauh dan dekat,
Bina kekuatan eratkan muafakat,
Teruskan bekerja menabur khidmat

Pantai Cenang Pantai Merdeka,
Lajak teruihh Teluk Chempedak,
Ayuh pemuda berjuang bersama, 
Berdepan musuh jangan duk gentaq.

Wassalamuálaikum.

YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 1/9/2022

- Advertisement -