Penilaian prospektif program pendidikan pengundi muda oleh KPT

- Advertisement -

USAHA Undi18 yang membenarkan anak muda berusia 18 tahun ke atas merupakan antara kejayaan terbesar negara dalam 2 tahun kebelakangan ini.

Hal ini telah memberikan peluang kepada anak muda Malaysia agar lebih berperanan besar dalam menentukan hala tuju negara.

Pemuda PAS Malaysia pernah membangkitkan soal keperluan pelan yang lebih strategik bagi Undi18. Ini melihatkan langkah pendidikan pengundi sebagai susulan pelaksanaan Undi18 itu adalah langkah yang lebih utama lantaran sistem pendidikan kita selama ini kurang menekankan soal kebertanggungjawaban sebagai warganegara dan terlalu berorientasikan pendidikan.

Pada 16 Ogos, Kementerian Pengajian Tinggi sebagai salah satu pemegang taruh bagi Undi18 telah melancarkan program pendidikan pengundi muda sebagai langkah persediaan untuk Undi18.

Penubuhan Jawatankuasa Program Memperkasakan Pendidikan Pengundi Pelajar (Undi18) ini adalah satu platform yang menyelaras pergerakan pendidikan pengundi antara KPT, Universiti Awam , Akademi Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Selain daripada merangka program pendidikan, Jawatankuasa ini juga akan menilai keberkesanan program yang telah dilaksanakan seterusnya akan mencadangkan langkah penambahbaikan.

Meskipun sudah agak terlewat, namun pujian harus diberikan kepada KPT kerana masih boleh mengusulkan sebuah perancangan khusus pasca kelulusan Undi18. Tidak dapat rotan, akar pun berguna.

Masih awal untuk kita menilai sejauh mana jawatankuasa ini mampu mengorak langkah dengan berkesan. Namun antara titik -titik yang perlu diawasi dan dijaga dengan cermat adalah dari sudut pelaksanaan program ini.

Kementerian Pengajian Tinggi yang sememangnya terkenal sebagai lubuk yang dikuasai individu-individu pro kepada sebuah parti itu perlu memastikan program pendidikan yang dirancang itu benar-benar berkualiti dan dapat mencapai objektif mencerdikkan pelajar universiti sebagai bakal pengundi. 

Bahkan melihatkan Jawatankuasa ini yang akan turut diwakili 20 TNC HEPA dari kesemua universiti awam yang ada, adalah diharapkan program pendidikan itu mengambil kira pelbagai latar belakang bidang pengajian dan demografi yang berbeza agar satu pelan efisien dapat dihasilkan.

Jangan jadikan platform pendidikan ini sebagai bahan dagangan demi kepentingan politik atau material. Kerisauan ini adalah berasas melihatkan track rekod program IPT yang sekian lama berjalan pada tahun-tahun sebelum ini.

“Moving Forward”

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 17/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -