Dahulukan kepentingan umat dari kepentingan keluarga sendiri

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 48)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

UMAR membahagikan pakaian kepada para wanita Madinah. Ada berbaki sehelai baju baharu. Sebahagian yang hadir berkata: ‘Berikan baju ini kepada isterimu, Ummi Kalthum.’

Umar menjawab: ‘Si fulanah lebih berhak mendapat baju itu dari Ummi Kalthum, kerana dia telah berbaiah dengan Rasulullah SAW, dan dia membaiki bekas air ketika Perang Uhud.

Kisah ini ringkas dan mudah, tetapi untuk mempraktikkannya bukan mudah. Suami tentu sahaja cenderung kepada isterinya. Ada sesuatu yang baharu dan menarik, isteri yang diberi dahulu. Apatah lagi, ayat supaya dahulukan isteri itu bukan datang dari dirinya. Ada alasan untuk tidak menunjukkan dia hanya mementingkan isteri dan keluarganya.

- Advertisement -

Semua ini tidak berlaku kepada Umar al-Khattab. Taqwa yang berada dalam dirinya mengingatkannya supaya berlaku adil. Beliau menghargai jasa seorang wanita yang berbaiah dengan Nabi dan membantu dalam Perang Uhud.

Di zaman kita, mungkin wanita ini telah diberikan pingat kebesaran. Di zaman Umar, yang ada pada masa itu hanyalah sehelai baju baharu. Walaupun hanya sehelai baju, Umar tetap berlaku adil mengenainya.

Dalam satu kisah yang lain, sejumlah harta dibawa kepada Umar. Anaknya, Hafsah, isteri Rasulullah SAW menemuinya. Beliau berkata: ‘Wahai Amir al-Mukminin! Saya ingatkan kamu mengenai kaum kerabatmu supaya kamu berikan harta ini kepada mereka. Allah sudah mengingatkan kamu berbuat baik kepada kaum kerabat.’

Umar berkata kepadanya: ‘Wahai anakku! Hak kaum kerabatku ada pada hartaku. Ini ialah harta orang Islam. Engkau telah perdayakan bapamu dan hanya pentingkan keluargamu. Bangun!’

Hafsah bangun sambil menarik hujung kainnya dengan rasa malu.

Sekali lagi kita dapat melihat ketegasan Umar mempertahankan integriti, maruah diri, menahan nafsu duniawi dan mendahulukan rakyat dari peribadi.

Apa yang Hafsah sebut itu benar. Allah berpesan supaya berbuat baik kepada kaum keluarga di dalam al-Quran. Namun, Umar al-Khattab melihat dari sudut lain dan lebih halus pandangannya.

Manusia kelabu mata bila melihat RM. R itu ringgit. M itu Malaysia. R itu rabun. M itu mata. R itu rosak. M itu maruah.

Harta boleh menyebabkan manusia leka, buta, ketepikan pahala dan mahu berdusta.

Belajarlah dari kisah ini untuk kebaikan kita bersama.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.HARAKAHDAILY 17/8/2022

- Advertisement -