Perang nuklear AS-Rusia: 5 bilion manusia bakal maut

- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

WASHINGTON: Kira-kira dua pertiga atau 5 bilion populasi manusia di seluruh dunia bakal mati kelaparan sekiranya berlaku perang nuklear antara Rusia dan Amerika Syarikat.

- Advertisement -

Menurut kajian yang diketuai Universiti Rutgers, di AS, konflik perang nuklear antara kedua-dua negara dijangka akan mencetuskan kepada gangguan malapetaka besar terutama dalam aspek bekalan makanan global, kerana jelaga dan abu impak penggunaan senjata nuklear menghalang matahari sehingga menyebabkan tanaman di seluruh dunia layu, lapor The Washington Post.

“Data kajian telah memberitahu kita satu perkara iaitu kita mesti menghalang perang nuklear (AS- Rusia) daripada berlaku,” kata saintis iklim Alan Robock, yang juga pengarang bersama kajian itu, dalam satu kenyataan.

Penyelidik kajian tersebut sebelum ini telah membuat penelitian tentang bagaimana corak tiupan angin boleh menyebarkan asap dan api, kesan daripada serangan senjata nuklear, ke atas langit dan awan AS dan China yang masing-masing merupakan negara pengeksport makanan utama.

Kekurangan cahaya matahari akan mengurangkan jumlah hasil tuaian tanaman dan boleh menyebabkan penurunan 90 peratus produk haiwan, perikanan dan tanaman di seluruh dunia dalam tempoh hanya empat tahun perang antara dua negara kuasa besar nuklear itu.

Malapetaka besar akan melanda dunia jika perang antara Amerika Syarikat dan Rusia menjadi kenyataan. (FOTO The Washington Post)

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan latihan ketenteraan China yang dipertingkatkan berhampiran Taiwan sebelum ini telah memperbaharui kebimbangan terhadap konflik nuklear antara AS dan Rusia. 

Selepas perang meletus di Ukraine, Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, pasukan yang membangunkan industri senjata nuklear negara itu kini bersedia melancarkannya untuk pertempuran di medan perang, lantas mencetuskan kebimbangan tentang kemungkinan konflik nuklear dengan Barat, 30 tahun selepas berakhirnya Perang Dingin.

Perang nuklear AS_Rusia itu jika berlaku akan menambah ancaman dan gangguan sedia ada terhadap bekalan makanan global, yang sebelum ini dicetuskan oleh perubahan drastik iklim, perang di Ukraine dan pandemik Covid-19.

Menurut agensi Program Makanan Sedunia (WFP), sejumlah 345 juta penduduk di seluruh dunia menghadapi gangguan dalam bekalan makanan mereka, peningkatan hampir 200 juta berbanding era pra-pandemik.

Impak jelaga dan abu dari penggunaan senjata nuklear perang antara Rusia dan Amerika Syarikat akan merubah dunia menjadi lokasi kematian besar-besaran populasi dunia. (FOTO Money Control)

Sementara CBS News melaporkan bahawa perang nuklear akan menyebabkan kebuluran di seluruh dunia, berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Food pada Isnin (18 Ogos).

Senario terpenting yang diteliti hasil kajian itu mendapati, perang selama seminggu yang melibatkan 4,400 senjata nuklear AS dan Rusia akan menghasilkan 150 kilogram jelaga, menyebabkan 360 juta populasi dunia maut secara langsung, manakala lebih daripada 5 bilion menusia bakal mengalami kebuluran.

“Ketumpatan jelaga impak perang nuklear AS-Rusia itu juga akan mengurangkan suhu global lebih daripada 14.4 darjah celcius, walaupun jumlah suntikan jelaga ke dalam stratosfera daripada penggunaan senjata nuklear yang lebih sedikit akan menyebabkan kesan global yang lebih kecil,” kata penyelidik dalam artikel mereka, 

Menggunakan model iklim, tanaman dan perikanan, penyelidik mendapati bahawa kesan jelaga perang nuklear terhadap iklim global akan memuncak dalam beberapa tahun pertama tetapi bertahan selama kira-kira satu dekad.

Berdasarkan kajian itu juga, perubahan itu akan menyebabkan gangguan besar dalam pasaran makanan global malahan penurunan hasil global sebanyak 7 peratus berbanding dengan simulasi kawalan akan melebihi anomali terbesar yang pernah direkodkan sejak permulaan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) rekod pemerhatian pada tahun 1961.

“Saya jamin bahawa masalah masa depan akan semakin meningkat (disebabkan perang nuklear AS-Rusia) dan ia masih sesuatu yang perlu dibimbangkan,” kata pakar sejarah di Institut Teknologi Stevens, Prof Alex Wellerstein. – HARAKAHDAILY 17/8/2022

- Advertisement -