GEG penting demi masa depan generasi kita

- Advertisement -

AKTA Penamat Generasi (Generational End Game (GEG)) yang akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat ini bukannya timbul sehari dua ini. Beberapa kajian tempatan dan luar negara telah diambil kira sejak dari 2015 lagi. Sehinggalah KKM mendapat satu konklusi bahawa ianya sudah jadi satu PANDEMIK penyakit tidak berjangkit – Merokok! Wajib ditangani dengan segera.

Saya bawa satu kajian ke atas perokok remaja mengikut kaji selidik Tobacco and E-Cigarette Survey Among Malaysian Adolescents (TECMA) 2016 untuk generasi yang lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya.

Beberapa dapatan kajian yang mengejutkan dan sudah tiba masanya sekarang diwujudkan akta Generasi Penamat ini. Antaranya:

1. Sebanyak 14.2 peratus remaja merokok secara aktif. Manakala 27.2 peratus remaja mengaku mereka pernah merokok. Maknanya 1 dalam 4 remaja terlibat!

2. Tengok julat umur ini, remaja berumur 13 – 15 tahun dalam kajian tersebut adalah sebanyak 14.8 peratus merokok secara aktif (mengaku sekarang mereka masih merokok). Adakah kita tidak terkejut? Maknanya 1 dari 7 remaja berumur tingkatan 1 hingga 3 terjebak dalam merokok secara aktif. Anda boleh fikir sendiri apa puncanya dan kenapa mereka begitu mudah dapatkan bekalan rokok.

3. Lagi membimbangkan kami sebagai orang kesihatan, 78.7 peratus mengaku mereka pernah mencuba memulakan hisap rokok pada usia 14 tahun. Mereka masih lagi di bangku sekolah! Adakah ini masih dikira sebagai tidak pandemik?

4. Sesuatu perlu dilakukan demi menyelamatkan anak bangsa, kajian berkenaan juga mendapati 37.8 peratus remaja terdedah dengan Asap Sisi Rokok (Second Hand Smoke (SHS)) di rumah! Dan menyedihkan lagi, lebih separuh (51.2 peratus) dari remaja terdedah di tempat-tempat awam terhadap Asap Sisi Rokok tersebut. 

Sememangnya inilah masanya kita mengubah nasib bangsa Malaysia. Jika kita masih lagi lembik tengkuk dan lembut lidah dengan pemain industri rokok atau hasilan tembakau seperti vape dan sebagainya, sampai bila?

Adakah kita sanggup melihat anak remaja kita semakin punah dek bahana tembakau? Berfikirlah dengan fikiran yang waras.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 27/7/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -