13,500 tan metrik sebulan hasil pertanian masuk ke Malaysia

- Advertisement -

LAWATAN kerja biasa saya, kali ini melihat sendiri aktiviti operasi import dan eksport hasilan pertanian termasuk haiwan hidup di Kompleks KLIA Kargo, Sepang yang merupakan salah satu daripada 57 pintu masuk produk pertanian negara melalui kawalan dan penguatkuasaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS). 

MAFI melalui MAQIS perlu sentiasa berwaspada serta peka terhadap aktiviti import dan eksport ini bagi memastikan biosekuriti negara terus terjamin dan rakyat sentiasa mendapat bekalan produk hasilan pertanian dan makanan yang selamat untuk dimakan, bersih, halal dan bebas dari segala penyakit atau perosak serta melindungi industri pertanian negara.

Sehingga Jun 2022 sahaja, kemasukan di pintu masuk KLIA Kargo adalah sebanyak 14,400 transaksi manakala purata berat kemasukan adalah sebanyak 13,500 tan metrik bagi produk pertanian sahaja bernilai RM392 juta pada setiap bulan.

Beberapa inisiatif semasa bagi memudahcara prosedur pengimportan bahan makanan ke dalam negara juga telah dilaksanakan seperti penangguhan fi import permit ke atas beberapa komoditi makanan seperti jagung, soya, gandum, komoditi asas makanan ternakan dan ayam bulat. 

MAQIS juga telah melaksanakan proses kemasukan pantas 24 jam di pintu-pintu masuk negara bagi komoditi makanan tersebut, dalam usaha melancarkan proses pengimportan dan sekali gus mengurangkan kos logistik yang terlibat dalam aktiviti pengimportan.

Dari segi impak proses kemasukan pantas di pintu-pintu masuk negara, secara keseluruhan inisiatif ini membantu 380 syarikat yang berdaftar sebagai pengimport produk makanan haiwan bagi melancarkan proses pengimportan. 

Sehingga kini, sejumlah 490 konsainan bijirin dan makanan haiwan dengan kuantiti sebanyak 173,000 tan metrik bernilai RM483 juta telah mendapat manfaat dari proses kemasukan pantas di pintu-pintu masuk negara.

Terdapat juga peningkatan kemasukan jumlah ayam bulat yang diimport ke dalam negara sebanyak kira-kira 80 peratus sejak inisiatif pemansuhan AP import dan penangguhan fi permit dilaksanakan. Kemasukan keratan ayam juga telah meningkat sebanyak 30 peratus setelah inisiatif ini diperkenalkan. 

Selain itu, MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) juga telah melaksanakan inisiatif menambah pengiktirafan loji-loji sembelihan baharu di negara pengeksport bagi memastikan sumber bekalan seperti daging lembu, kerbau dan ayam dapat dipelbagaikan.

Loji sedia ada yang diiktiraf iaitu sebanyak 216 dari 26 buah negara telah dipertingkatkan kepada 227 loji melalui pertambahan 11 loji baharu terdiri daripada loji dari negara pengeksport Thailand, India dan Pakistan.

Pertambahan sebanyak 11 loji ini akan dapat membantu memastikan jumlah bekalan yang sentiasa terjamin dan dapat menstabilkan harga pasaran daging terutamanya daging import dari negara India. Pemeriksaan ke atas abattoir dan loji pemprosesan di Brazil, Argentina, Ireland dan Korea juga telah dijalankan dari bulan Mei hingga Julai 2022.

MAFI akan terus berusaha untuk meningkatkan loji-loji luar negara yang layak dan menepati piawaian bagi memastikan tiada sebarang unsur monopoli dan manipulasi pasaran serta dapat menggalakkan persaingan sihat yang dapat menawarkan harga yang murah kepada rakyat sekali gus memastikan kelangsungan bekalan yang berterusan.  

Pada masa yang sama, kerajaan melalui Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negara secara dasar telah bersetuju dengan pewujudan Pusat Sehenti Kuarantin Negara (One Stop Quarantine Centre – OSQC) di pintu masuk utama pengimportan dan pengeksportan hasil pertanian dan agromakanan negara bagi memperkukuhkan kawalan biosekuriti. 

OSQC akan menyediakan fasiliti kuarantin dan keselamatan agromakanan yang bersepadu dengan penggunaan teknologi moden bagi memastikan terus memperkukuh kawalan biosekuriti negara. 

MAFI melalui MAQIS akan terus mempertingkatkan kawalan dan penguatkuasaan di sempadan khususnya di pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan makanan demi jaminan sekuriti makanan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

DATUK SERI DR RONALD KIANDEE
Menteri Pertanian dan Industri Makanan – HARAKAHDAILY 15/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -