Hina Nabi: DHPP Hulu Langat sokong desakan terhadap India

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Penyokong PAS Kawasan Hulu Langat (DHPPKHL) kesal dan dukacita terhadap kenyataan pemimpin parti Hindu Bharatiya Janata (BJP) India, Nupur Sharma dan beberapa pemimpin lain yang secara terang telah menghina Nabi Muhammad SAW.

“Walaupun di antara kami ini juga beragama Hindu, namun kami merasakan bahawa perbuatan mereka ini bercanggah dengan agama dan nilai-nilai hak beragama yang sepatutnya bebas mengamal ajaran masing-masing yang dijamin hak asasi manusia sebagaimana di Malaysia dan nilai yang sama dibawa dalam PAS yang sentiasa menghormati hak agama lain,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Kenyataan beliau sebagaimana di bawah.

MELALUI persetujuan ahli mesyuarat PAS Kawasan Hulu Langat, kami Dewan Himpunan Penyokong PAS Kawasan Hulu Langat (DHPPKHL) ingin membuat kenyataan rasa kesal dan dukacita terhadap kenyataan pemimpin parti nasionalis Hindu Bharatiya Janata (BJP) India, Nupur Sharma dan beberapa pemimpin BJP lain yang secara terang telah membuat kenyataan menghina terhadap Nabi Muhammad SAW serta melakukan provokasi terhadap umat Islam di dalam siaran media massa dan media sosial.

Walaupun di antara kami ini juga beragama Hindu, namun kami merasakan bahawa perbuatan mereka ini bercanggah dengan agama dan nilai-nilai hak beragama yang sepatutnya bebas mengamal ajaran masing-masing yang dijamin hak asasi manusia sebagaimana di Malaysia dan nilai yang sama dibawa dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang sentiasa menghormati hak agama lain.

Kami juga berpendapat penghinaan ini merupakan satu provokasi jahat yang mampu menggugat keharmonian kaum dan juga ketidakstabilan Masyarakat seluruh dunia yang tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara demokrasi seperti di negara India.

Namun semenjak BJP terpilih kembali ke tampuk kekuasaan negara India pada tahun 2019, ketegangan di antara umat Hindu dan Muslim terus meningkat ditambah dengan kontroversi sebelum ini mengenai pelajar perempuan muslim yang mengenakan hijab di sekolah sehingga mencetuskan ketegangan dan protes di India selatan antara umat Hindu dan Muslim.

Sehubungan dengan itu kami mendesak agar Kerajaan India khasnya Parti BJP mengambil sikap berhati-hati dan mengenakan tindakan tegas terhadap semua pemimpin BJP yang secara terang telah mencetuskan permusuhan dan ketegangan kaum sama ada dilucutkan jawatan di dalam parti mahupun kerajaan.

Seterusnya kami menyatakan sokongan kami di atas usaha dan tindakan tegas Kerajaan Malaysia yang memanggil Kedutaan India serta menyatakan bantahan rasmi terhadap Kerajaan India dan mendesak agar pihak Kerajaan India dan Parti BJP memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di serata dunia khasnya di India atas penghinaan ini dan berjanji tidak akan mengulangi pada masa akan datang

Kami menyeru kepada semua pimpinan kaum India di Malaysia sama ada beragama Hindu, Islam, Kristian atau apapun agama anda dan juga semua kaum yang ada di negara ini untuk terus bersama dalam mengukuhkan perpaduan kaum di Malaysia atas sifat toleransi dan kerjasama kita dalam membina negara tercinta ini.

Terima kasih kepada YDP PAS Kawasan Hulu Langat, Mohamad Jan Sulong dan barisan pimpinan PAS Kawasan Hulu Langat yang telah memberi ruang kepada kami bagi menyampaikan kenyataan rasmi ini mewakili pendangan ahli DHPP kawasan kepada seluruh rakyat di Malaysia dan khususnya di Hulu Langat ini. – HARAKAHDAILY 16/6/2022

- Advertisement -