Negara sudah tanam 34.275 juta pokok – Takiyuddin

- Advertisement -

KUANTAN: Sebanyak 34.275 juta pokok merangkumi lebih 1,000 spesis ditanam di seluruh negara di bawah ‘Kempen Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’, setakat 13 Jun lepas, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Dato’ Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata jumlah itu bersamaan 34.28 peratus daripada sasaran 100 juta pokok yang perlu dicapai menjelang 2025 menerusi kempen yang dilancarkan secara rasmi pada Januari tahun lepas.

“Saya menyeru supaya lebih banyak persatuan komuniti, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan individu untuk sama-sama terlibat dan memainkan peranan lebih aktif kerana insentif pengecualian cukai telah disediakan untuk sumbangan kepada aktiviti konservasi dan Penghijauan Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-19 di sini hari ini.

Majlis bertemakan ‘Penyesuaian Perhutanan dengan Realiti Baharu’ itu dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Turut hadir Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Datuk Mohd Ridza Awang, Ketua Konservator Hutan, Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Frederick Kugan, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu’ Hamden (repeat: Hamden) Mohammad dan Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin. 

Takiyuddin turut menyarankan kepada semua pihak supaya mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti pengusahasilan hutan sebaliknya terus memperkasakan pelaksanaan Forest Beyond Timber seperti ekopelancongan, industri herba dan farmaseutikal. 

Ini selari dengan tumpuan masyarakat terhadap ekopelancongan selepas pandemik COVID-19 dan kementeriannya juga giat mempromosikan program berasaskan rekreasi sumber asli melalui peruntukan RM9 juta untuk program latihan semula dan peningkatan kemahiran yang diharap menjadikan jabatan perhutanan sebagai pakar bidang rekreasi sumber asli dan tropika dalam serta luar negara. 

Berhubung persidangan tiga hari bermula semalam itu, Takiyuddin berharap ia menjadi platform yang dimanfaatkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Perhutanan Sarawak untuk berkongsi amalan dan pengalaman terbaik dalam bidang seperti pengurusan hutan secara berkekalan, konservasi sumber biodiversiti, perubahan iklim, ekopelancongan dan industri berasaskan kayu.

Sementara itu, Wan Rosdy dalam ucapannya berkata Pahang mempunyai Hutan Simpan Kekal (HSK) berkeluasan 1.6 juta hektar manakala kawasan berhutan pula ialah seluas 2.04 juta hektar yang mewakili 57 peratus keluasan negeri menjadikan Pahang sebagai penyumbang terbesar kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia. 

Wan Rosdy berkata daripada 2.04 juta hektar, sebanyak 32 peratus atau 645,751 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan yang langsung tidak boleh disentuh dan diusik, selain kerajaan negeri komited untuk mewartakan hutan di tebing sungai sebagai HSK melibatkan lebih 2,000 sungai sepanjang 12,000 kilometer. 

“Segala usaha dilakukan Kerajaan Pahang tidak boleh dianggap mudah atau dipandang remeh. Ini adalah satu pengorbanan besar dan harus dipandang serius serta diberikan penghargaan sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan. 

“Kerajaan Pahang amat berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat membangunkan satu formula yang adil dan mudah untuk menyegerakan proses bayaran pampasan secara tunai ke atas setiap jenis hutan sama ada ekologi-hutan perlindungan, hutan tadahan air atau sebagai habitat perlindungan hidupan liar dikekalkan. 

“Kawasan hutan simpanan kekal ini adalah kos lepas kepada kerajaan negeri,” katanya yang menyifatkan permintaan itu sebagai permintaan munasabah. 

Pada majlis itu, Takiyuddin dan Wan Rosdy turut melancarkan buku bertajuk Thriving Our Green Heritagesempena sambutan 120 tahun JPSM yang merekodkan pencapaian pengurusan hutan untuk tatapan generasi akan datang. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -