Pemimpin pembangkang usah selindung di sebalik NGO

Mohamad Kamal Mohamed
- Advertisement -

KOTA BHARU: Seorang pemimpin pembangkang di sini tidak perlu berselindung di sebalik sebuah NGO dengan melempar pelbagai tuduhan terhadap kerajaan Kelantan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, pemimpin terbabit tidak perlu mengaku serba tahu dengan melempar pelbagai tuduhan di Facebook.

Katanya negara ini mempunyai undang-undang untuk mengadili setiap kesalahan, jika mempunyai bukti seperti didakwa terutamanya melibatkan urusan tender kerajaan.

- Advertisement -

“Sila kemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan jangan hanya tahu menuduh di media sosial dengan hujah sekadar menurut sumber yang memperlihatkan sikap prejudis,” katanya di sini.

Semalam, Pengerusi Save Kelantan Dato’ Husam Musa dilapor mendakwa pemilik tunggal Al Dar Resourcess Sdn Bhd yang mendapat kontrak untuk menebang balak milik Daulah Najah, anak syarikat kerajaan negeri, mempunyai hubungan keluarga dengan Exco Kerajaan negeri.

Mohamad Kamal berkata, Malaysia adalah negara berdaulat dan dilindungi undang-undang atas apa sahaja kesalahan atau salah laku yang dilakukan mana-mana individu.

Begitu juga katanya Kelantan tidak berkecuali dalam mengurus harta milik kerajaan.

“Pemuda PAS Kelantan menjemput Husam atau sesiapa sahaja yang mempunyai bukti segala dakwaannya dengan merujuk kepada pihak berkuasa untuk membolekan diambil tindakan lanjut,” katanya.

Kata beliau juga kalau dakwaan dilempar sekadar menggunakan kaedah “menurut sumber” atau “mengikut maklumat”, ia sekadar mahu mencetus persepsi bagi memberi gambaran buruk terhadap kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 5/6/2022

- Advertisement -