Syukur dapat tunai haji pada fasa endemik

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

SEPANG:
Situasi di tempat pelepasan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia musim 1443H tahun ini tidak ramai seperti kebiasaan yang meriah dengan kehadiran sanak saudara menghantar jemaah.

Hanya bakal jemaah haji yang memenuhi Dewan Mentari, Pusat Konvensyen Movenpick KLIA, tempat pelepasan jemaah haji sebelum bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tiada waris dilihat bersama dalam pusat konvensyen itu, kemungkinan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan Covid-19 pada fasa endemik ini.

- Advertisement -

Bagaimanapun, waris dilihat masih dibenarkan untuk menghantar jemaah dan melambai kepada jemaah dari luar dewan pusat konvensyen.

Kesemua jemaah haji terlihat sangat sihat dan bertenaga berikutan syarat utama yang dikenakan kepada Arab Saudi, iaitu berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas.

Antara jemaah haji termuda yang ditemui Harakahdaily, di sini, ialah Mohamad Haziq Azri, 17, yang masih belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa.

Menurut Haziq, dia tidak pernah menyangka dapat menunaikan rukun Islam kelima itu bersama ibu, bapa dan kakaknya pada usia sebegitu.

Katanya, walaupun tidak berpeluang menyertai kursus haji secara fizikal, tetapi dia bernasib baik kerana dapat mempelajari mengenai haji di sekolah dan menyertai kursus secara online.

Sementara itu, kakaknya, Nur Tasneem Azri, 20, baru sahaja menamatkan pengajian di Kolej Matrikulasi Londang, Melaka.

Azri Abu (kiri) bersama isteri, Asrilawati Asari dan anaknya Mohamad Haziq dan Nur Tasneem.

Ibu Mohamad Haziq, Asrilahwati Asari, 48, berkata mereka empat beranak yang menetap di Melaka sebenarnya mendapat giliran menunaikan haji bersama pada 2020.

Katanya lagi, masih terdapat seorang anaknya yang tidak dapat pergi bersama kerana tidak mendaftar bersama disebabkan semasa mendaftar haji, anak bongsunya masih belum dilahirkan.

Bapa Mohamad Haziq, Azri Abu, 52, melahirkan rasa syukur di atas peluang untuk menjadi tetamu Allah pada musim haji tahun ini.

Katanya, walaupun melakukan persiapan dalam tergesa-gesa, tetapi mereka selesai melakukan persiapan dengan baik sebelum berangkat ke Tanah Suci, hari ini.

“Saya bersyukur, terima kasih ya Allah kerana menjemput kami. Kalau ikutkan giliran 2020, tapi sebab pandemik tak dapat nak pergi.

“Waktu tu sedih, sudah tiga kali kursus, kira tertunggu-tunggu,” kongsinya dengan rasa sebak disebabkan terlalu gembira.

Sementara itu, Rosmaizah Abdul Rahman, 49, yang merupakan seorang guru, turut melahirkan rasa gembiranya apabila terpilih untuk menjadi tetamu Allah tahun ini.

Katanya, dia menerima maklumat terpilih menjadi jemaah haji tahun ini di penghujung bulan Ramadan.

“Dua tahun saya menunggu, saya memang berharap dapat pergi haji tahun ini, sejak sebelum ini lagi saya pergi kursus haji di masjid, kemudian saya sertai pula kursus haji online.

“Alhamdulillah, akhirnya seminggu sebelum hari raya saya dapat maklumat mengenai pemilihan ini,” katanya yang berasal dari Terengganu.

Dr Mohammad Farid dan isteri.

Sementara itu, Dr Mohammad Farid Mohd Arshad, 29, menggambarkan perasaannya bercampur baur apabila dapat menunaikan ibadah itu ketika masih muda dan sihat.

Dia sempat menunaikan umrah sebelum ini bersama keluarga, kemudian terus membuat keputusan untuk mendaftar haji pada usia 13 tahun.

“Perasaan saya bercampur baur juga, rasa takut pun ada, tapi syukur Alhamdulillah sebab masih muda dan sihat, jadi kurang risau,” katanya.

Hari ini, Dr Mohamad Farid berpeluang menunaikan fardu haji bersama isteri, Dr Noraini Abdul Rahman, 30, yang juga seorang pengamal perubatan.

Hari ini, kumpulan pertama jemaah haji, seramai 295 jemaah dijadualkan berlepas ke Tanah Suci pada jam 1.35 petang dari KLIA.

Mereka dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di Kota Suci Madinah pada pukul 4.55 petang waktu Arab Saudi.

Kumpulan pertama jemaah haji musim 1443H/2022 turut diraikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Konvensyen Movenpick.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Zafrul Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin, dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Dato’ Dr. Mahmoud Hussien Saeed Qattan. – HARAKAHDAILY 4/6/2022

- Advertisement -