Bimbang Jambatan P Pinang jadi ‘lokasi pilihan’ bunuh diri

- Advertisement -

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD

GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah menyuarakan kebimbangan peningkatan kes bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, semalam.

“Hari ini (Rabu) kita dikejutkan dengan suatu insiden lagi, iaitu kejadian bunuh diri terjun daripada Jambatan Pulau Pinang sekitar jam 5.30 pagi tadi.

- Advertisement -

“Hari ini mood rasa kurang seronok, sebab perkara ini amat membimbangkan kita semua. Mangsa berusia 22 tahun, yang difahamkan sekarang ini pihak bomba sedang mencari dan menyelamat mangsa lemas.

“Dan ini perlu diberi perhatian oleh kita semua kerana kita melihat statistik kes bunuh diri (di) Jambatan Pulau Pinang meningkat pada setiap tahun,” kata Mohd Yusni.

Mengulas lanjut, pada tahun 2019 direkodkan sejumlah 8 kes kejadian bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang dan tahun berikutnya tiada kes direkodkan disebabkan pandemik Covid-19 yang memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan wabak tersebut.

Pada tahun 2021, kejadian berkenaan kembali direkodkan iaitu sebanyak 12 kes manakala daripada Januari sehingga Mei tahun ini mencatatkan peningkatan iaitu 16 kes.

Mohd Yusni yang memandang serius isu terbabit berkata dia tidak mahu Jambatan Pulau Pinang dianggap mercu tanda negeri itu sebagai potensi tarikan masyur tempat untuk bunuh diri.

“Daripada agensi penguatkuasa Maritim, kita melihat kes terjun diri atau kes bunuh diri dan terjun daripada Jambatan Pulau Pinang setiap tahun meningkat seperti mana saya sebut.

“Dan punca kes ini disebabkan saya melihat, yang pertama disebabkan masalah kesihatan, kedua masalah kekeluargaan dan yang ketiga masalah isu kewangan apatah, kali ini negara kita juga terbeban dengan kos sara hidup sebagaimana yang dibahaskan oleh ahli-ahli Yang Berhormat,” ujar Mohd Yusni.

Beliau menggesa kerajaan negeri supaya mengambil perhatian serius terhadap punca masalah tersebut agar sekurang-kurangnya dapat mengatasi keinginan mereka yang cenderung membunuh diri. – HARAKAHDAILY 2/6/2022

- Advertisement -