KASA iltizam kurangkan guna plastik sekali guna

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) beriltizam untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna bagi memacu agenda pelestarian alam sekitar.

Menterinya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia juga selaras dengan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030.

Katanya, konsep kepenggunaan lestari termasuk penggunaan beg alternatif sangat digalakkan.

Advertisement

“Kita akui pembentukan budaya akan mengambil masa yang lama.

“Justeru, susulan mesyuarat MEXCOE (Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar) semalam, kita setuju untuk terus mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan akan mengenakan caj pencemaran sebagai langkah awal,” katanya menerusi laman sosial beliau, hari ini.

Menurut beliau, sehingga Disember 2021, sebanyak tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Johor telah melaksanakan inisiatif itu.

Katanya, kutipan caj pencemaran itu dibelanjakan bagi tujuan pelestarian alam sekitar dan program kesejahteraan rakyat.

Pada hantaran sebelum itu, Tuan Ibrahim memaklumkan beliau mempengerusikan Mesyuarat MEXCOE di Putrajaya.

Katanya, sebanyak empat kertas pertimbangan dan tiga kertas makluman telah dibentangkan di dalam mesyuarat yang berlangsung selama dua jam itu.

Tambahnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah membentangkan dua kertas pertimbangan iaitu Perancangan Pembangunan Mampan Bagi Pelestarian Alam Sekitar dan Tindakan Pengawalan Pencemaran untuk Meningkatkan Kualiti Alam Sekitar.

Katanya lagi, JAS turut membentangkan dua kertas makluman lagi iaitu mengenai Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) yang akan disambut pada 21 Oktober 2022 di Pahang dan pemerkasaan program Rakan Alam Sekitar (RAS).

Beliau berkata, MEXCOE juga berbincang mengenai status pelaksanaan caj pencemaran plastik oleh kerajaan negeri.

Tambahnya, KASA mendapat mandat daripada mesyuarat Majlis Negara bagi kerajaan tempatan ke-76 untuk mengenakan caj pencemaran minimum 20 sen bagi setiap helaian beg plastik yang dilaksanakan melalui pihak berkuasa tempatan.

“Terima kasih kepada semua yang hadir. Insya-Allah, kita akan terus mengupayakan MEXCOE terutama dalam penyusunan keahlian, penyelarasan dasar dan pengukuhan Kerjasama,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 18/5/2022