Lazimi harimu dengan zikrullah

- Advertisement -

HAKIKAT zikir adalah memuji Allah S.W.T dengan pujian yang layak bagi-Nya. Berzikir itu bukanlah susah, malah ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan bila-bila masa, selagi bersesuaian dengan tempat dan keadaannya. 

- Advertisement -

Antara zikir yang diajar oleh Rasulullah S.A.W:

أَفْضَلُ الذِّكْرِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَفْضَلُ الدُّعَاءِ الْحَمْدُ للهِ

“Sebaik-baik zikir adalah (membaca) Laa ilaha illallah. Dan sebaik-baik doa iaitu Alhamdulillah.”

[Riwayat al-Tirmizi (99)]

Daripada Samurah bin Jundab R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

أَحَبُّ الْكَلاَمِ إِلَى اللَّهِ أَرْبَعٌ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ لاَ يَضُرُّكَ بَأَيِّهِنَّ بَدَأْتَ

“Ada empat ucapan yang paling disukai Allah S.W.T; “سُبْحَانَ اللّهُ” (Maha Suci Allah), “اَلْحَمْدُلِلّهِ” (Segala puji bagi Allah), “لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللّهُ” (Tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah) dan “اَللّهُ اَكْبَرُ” (Allah Maha Besar). Tidak berdosa bagimu dengan mana saja kamu mula.”

[Riwayat Muslim (2137)]

Marilah kita melazimi zikir dalam setiap hari-hari kita. Zikir yang paling afdal, sudah pasti adalah zikir yang thabit dari Nabi S.A.W. Bukankah mencontohi Baginda itu adalah salah satu cara kita menzahirkan rasa kasih kita kepada Allah S.W.T? 

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu semua mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.”

[Ali Imran: 31]

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 27/4/2022

- Advertisement -