Kedah jangka tuai hasil pelaburan 3, 4 tahun lagi

Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengedarkan sampul duit raya kepada kanak-kanak di Majlis Iftar PAS Kedah bersama Anak Kedah di Perantauan Lembah Klang, semalam. Foto Facebook Muhammad Sanusi Md Nor.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

CYBERJAYA: Rakyat Kedah dijangka akan menikmati faedah secara langsung hasil pelaburan luar negeri itu dalam masa tiga ke empat tahun akan datang.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun faedah itu mungkin belum dapat dilihat dalam masa terdekat, namun, mereka akan dapat melihat limpahan ekonomi, terutamanya peluang pekerjaan yang banyak dalam tiga ke empat tahun lagi.

- Advertisement -

“Unjuran Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) mendapati sebanyak 150,000 peluang kerja tersedia melalui pelaburan setakat tahun lalu.

“Dalam tempoh dua tahun lagi, sebanyak 15,000 peluang kerja akan tersedia di Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap dan sebanyak 24,951 peluang kerja tersedia di Sidam Logistic, Aerospace and Manufacturing Hub (SLAM) pada tahun 2040.

“Selain itu, sebanyak 23,244 peluang kerja di Kedah Science & Technology Park (KSTP) di Bukit Kayu Hitam serta 1,000 peluang kerja di Pusat Ekonomi dan Komuniti Bersepadu (iCON) daerah Baling, Sik dan Yan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Iftar PAS Kedah bersama Anak Kedah di Perantauan Lembah Klang, di sini, semalam.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Turut hadir dalam majlis sama, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya; Exco Dato’ Siti Aishah Ghazali; Ahli Parlimen Pendang, Dato’ Awang Hashim; Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit serta Yang Dipertua-Yang Dipertua PAS Kedah.

Muhammad Sanusi menganggap, faedah yang bakal dinikmati rakyat Kedah kemungkinan berkat usaha Kerajaan Negeri Kedah menghentikan pengeluaran lesen premis judi sejak beberapa bulan lalu.

“Kalau tanya, saya sendiri tidak tahu mengapa pelabur-pelabur luar begitu berminat untuk melabur di Kedah sekarang. Adakah kerana depa sokong PAS?

“Saya yakin, ini adalah kurniaan Allah SWT untuk negeri kita, mungkin berkat usaha kita menghentikan pengeluaran lesen premis judi sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Tambah beliau, walaupun berbagai bentuk serangan terpaksa dihadapi, tetapi ia tidak dapat dibandingkan dengan ketakutan untuk menjawab di hadapan Allah SWT kelak kerana membiarkan kemungkaran di depan mata setelah diberi kuasa memerintah.

Sementara itu, beliau turut mengalu-alukan sebarang bentuk pertolongan yang diperlukan dalam usaha membangunkan Kedah termasuk merealisasikan jawatankuasa untuk menubuhkan Persatuan Anak-anak Kedah di Perantauan.

Katanya, dana peringkat awal ke arah usaha itu, iaitu sebanyak RM50,000 dikongsi bersama Pengarah Program Majlis Iftar, Dato’ Awang Hahsim. Dalam majlis sama, Muhammad Sanusi bersama PAS Kedah turut mengedarkan duit raya kepada kanak-kanak. – HARAKAHDAILY 25/4/2022

- Advertisement -