‘Ramadan, bulan kasih sayang’ – Hafez

- Advertisement -

TAMBUN: Ramadan adalah ruang yang paling tepat untuk menumbuhkan jiwa kasih sayang sesama umat manusia meskipun berbeza latar belakang, demikian kata Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri. 

- Advertisement -

Beliau yang juga jelas Penyelia Pusat Khidmat PAS DUN Manjoi berkata, selain menghayati ibrah berpuasa selama 30 hari di bulan Ramadan, umat Islam khususnya hendaklah lebih peka dengan masyarakat sekitar.

Iaitu terangnya, dengan mempertingkatkan kasih sayang kepada semua termasuklah bersimpati dan berempati dalam bentuk berbagi rezeki.  

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Edaran Bubur Lambuk anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Kawasan Tambun di Bazar Ramadan Medan Klebang Restu, di sini kelmarin. 

Jelas Hafez, pihaknya turut bersyukur dengan komitmen dan sambutan baik masyarakat sekeliling yang dermawan kerana telah mendokong usaha Muslimat PAS Tambun memberi infak kepada tabung kebajikan muslimat. 

“Jika dilihat, banyak pihak sekarang ini berlumba-lumba membuat program kebajikan di posisi masing-masing (antaranya) NGO, jawatankuasa masjid (dan) surau, badan kerajaan serta lain-lain lagi. Alhamdulillah, sifat kedermawanan dan kepedulian ini semakin mekar di hati kita semua,” ulasnya. 

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Tambun, Khamisah Abd Hamid pula berkata, pihaknya telah berjaya menyediakan 1,000 bungkus bubur lambuk untuk diagihkan di DUN Manjoi dan DUN Hulu Kinta.  

Edaran bubur lambuk percuma anjuran Muslimat PAS Tambun itu juga turut dijalankan di Bazar Ramadan Taman Perpaduan melibatkan kehadiran beberapa pimpinan PAS Tambun. 

Antara yang hadir ialah Timbalan Yang Dipertua, Mohd Aidil Abdul Aziz dan Ketua Muslimat, Yusmaliza Yusof serta Naib Ketua, Ustazah Noraishah Abd Rahim dan Ketua PAS Zon Perpaduan, Eddy Noor Abdul Manan. – HARAKAHDAILY 22/4/2022

- Advertisement -