Umar pastikan pegawai-pegawainya telus

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 36)

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK


DALAM satu kes, Umar pernah membahagikan harta Saad bin Abi Waqqas ketika melantiknya menjadi gabenor di Kufah. Ini kerana Umar meragui sumber perolehannya.

- Advertisement -

Jika diteliti, Saad bin Abi Waqqas bukan sebarangan Sahabat Nabi. Ibn Abbas pernah berkata: Ayat ini dibaca di sisi Nabi SAW

 يا أيها الناس كلوا مما في الأرض حلالا طيبا

‘Wahai manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, perkara yang halal lagi baik.’

Lalu Saad bin Abi Waqas bangun dan berkata:

  يا رسول الله ادع الله أن يجعلني مستجاب الدعوة

‘Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar Dia menjadikan saya orang yang diperkenankan doa’

Nabi SAW menjawab:

‘يا سعد أطب مطعمك تكن مستجاب الدعوة والذي نفس محمد بيده إن العبد ليقذف اللقمة الحرام في جوفه ما يتقبل منه عمل أربعين يوما وأيما عبد نبت لحمه من السحت والربا فالنار أولى به’

“Wahai Saad! Perelokkan makananmu, nescaya engkau akan diperkenankan doa. Demi diri Muhammad yang berada dalam kekuasaanNya! Sesungguhnya ada hamba Allah yang menyuapkan yang haram dalam mulutnya, lalu Allah tidak menerima amalnya selama 40 hari. Sesiapa yang dagingnya tumbuh dari yang haram dan riba, maka nerakalah yang layak buatnya.”

Melihat kepada pesanan Nabi SAW ini, tidak mungkin Saad dengan mudah memakan, menelan dan mengambil apa sahaja, termasuk pendapatan, harta, wang ringgit dan lain-lain dari sumber yang haram. Para sahabat Nabi SAW sangat berhati-hati terhadap sumber yang haram dan kesamaran.

Pada pendapat saya, tindakan Umar al-Khattab tidaklah semestinya bermakna Saad bin Abi Waqqas telah melanggar nasihat dan peringatan Nabi SAW, lalu mengambil peluang dari kedudukannya sebagai gabenor di Kufah mengaut kekayaan buat dirinya tanpa mengira dari mana datangnya.

Ia menggambarkan sensitifnya Umar al-Khattab terhadap apa sahaja perkara yang berlaku di bawah pemerintahannya. Dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara. Ibarat sehelai kain putih yang ada satu titik hitam, sudah dapat dikesan. Berbeza dengan sehelain kain hitam, dipenuhi tompok hitam pun tidak dianggap apa-apa.

Apa yang kita patut fokus ialah yang berkaitan diri kita, selaku pegawai kerajaan, penjawat awam, swasta dan apa sahaja jawatan yang disandang.

Ayat ‘membujur lalu melintang patah’ patut dijadikan renungan. Pendapatan, perolehan, biarlah daripada sumber yang halal lagi baik, agar ‘Saidina Umar al-Khattab’ tidak datang lalu merampas harta kita.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 14/4/2022

- Advertisement -