Ramadan: BeDaie sasar 100,000 khatam al Quran

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Madrasah pengajian Islam digital pertama di Malaysia, BeDaie menyasarkan 100,000 rakyat Kelantan khatam al Quran sepanjang Ramadan ini.

Pengasas BeDaie, Muhammad Amar Mirza Ab Kadir Jailani berkata, hasrat itu diterjemahkan melalui kempen ‘Ngaji Kitab al Quran Bersijil Nombor Satu di Malaysia’.

Oleh itu kata beliau, pihaknya akan menempatkan 605 banting mengandungi imbasan QR untuk menyertai program atas talian itu di 605 masjid seluruh Kelantan.

- Advertisement -

“Kempen ini diadakan bertujuan untuk menyebarkan ilmu agama dan pengajian kitab secara bertalaqqi di seluruh masjid secara percuma sepanjang bulan Ramadan.

“Pelaksanaan program ini yang merangkumi program tadarus Al- Quran 30 Juzuk dengan bacaan 1 juzuk setiap hari, kelas hukum hakam dan fiqah secara harian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian program berkenaan yang disempurnakan Timbalan Mufti Kelantan, Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Mohamad di Masjid Muhammadi semalam.

Turut hadir Imam Tua Masjid Muhammadi, Khairul Azizi Mokhtar.

Amar Mirza juga berkata, Bedaie memperuntukkan dana sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan kempen tersebut untuk membantu masyarakat mendalami ilmu agama.

“Peruntukan tersebut melibatkan penyediaan 605 bunting, bayaran pemasangan bunting di 605 masjid seluruh Kelantan dan menampung kos para asatizah.

“Kaedah pelaksanaan menggunakan bunting bertujuan untuk memudahkan orang ramai dengan mengimbas QR kod untuk akses secara percuma,” katanya.

Menurut beliau pelaksanaan kempen tersebut turut mendapat sokongan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

BeDaie melibatkan penyertaan ratusan ustaz dan ustazah serta ilmuwan agama dari pelbagai negara untuk menyebarkan ilmu agama secara atas talian.

“Usaha ini diharapkan dapat memberi impak yang positif terhadap pembangunan dan memartabatkan ilmu agama dalam kalangan masyarakat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/4/2022

- Advertisement -