Adakah ini Ramadan terakhirku?

- Advertisement -

TAK terasa kita sudah berada di penghujung bulan Syaaban. Berdoalah memohon kepada Allah S.W.T agar disampaikan ke bulan Ramadan. (Allahumma balighna Ramadan) dan semoga Allah S.W.T menerima semua amalan-amalan yang kita lakukan di dalamnya. 

- Advertisement -

Pada Ramadan kali ini, adakah ia akan menjadi Ramadan terakhir untuk kita? Tiada siapa yang tahu. Hanya Allah yang tahu.

Modal utama hidup manusia adalah waktu atau umurnya. Dan tujuan utama manusia diciptakan adalah untuk mengabdikan dan memperhambakan diri kepada Allah S.W.T dalam sepanjang waktu yang dia ada:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” 

(Az-zariyat: 56)

Diperjelaskan lagi dengan Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia ialah orang yang diberi panjang umur dan digunakan untuk membuat kebaikan sebanyak-banyaknya dan sejahat-jahat manusia ialah orang yang diberi Tuhan umur panjang, tetapi digunakan untuk melakukan kejahatan dan kerosakan.”” 

(Riwayat Ahmad)

Berkaitan dengan Ramadan, kebanyakan orang sudah maklum mengenai keutamaannya, di mana pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka di tutup dan syaitan dibelenggu. Adakah jiwa-jiwa yang sudah tahu ini, tidak ingin berjumpa dengan Ramadan? Hakikatnya, Allah tidak ingin Ramadan kita tetapi kitalah yang teringinkan anugerah Allah S.W.T di bulan yang mulia ini.

Demikian pula mengenai darjat-darjat yang diraih orang bertaqwa di syurga kelak, berbeza-beza di antara satu dengan yang lainnya, sesuai dengan amalannya ketika di dunia.

Melalui sebuah Hadis dari Ibnu Majah nombor 3915:

Diriwayatkan mengenai tafsir mimpi dari seorang Sahabat Nabi S.A.W dari Quraisy yang bernama Thalhah bin Abdullah bin Usman bin Kaab bin Said atau yang dikenal dengan Thalhah bin Ubaidillah.

Thalhah menceritakan mengenai kisah dua orang pemuda yang pernah bertemu Nabi S.A.W dan menyatakan keislamannya, hingga akhirnya mereka meninggal dunia. Thalhah bin Ubaidillah menceritakan. Ada dua orang dari daerah Baliy datang kepada Rasulullah S.A.W. Keduanya pun masuk Islam. Namun yang pertama lebih bersungguh-sungguh dari yang kedua. Suatu ketika yang pertama ikut sama berperang bersama tentera Islam dan mati syahid, sedangkan yang kedua hidup setelahnya, setahun baru meninggal.

Dan Thalhah berkata, “Lalu aku bermimpi seakan aku berada di sisi pintu syurga. Kedua orang itu ada di sana. Keluarlah seseorang dari syurga. Dia menyuruh yang kedua untuk masuk syurga. Setelah itu yang pertama baru diizinkan masuk syurga.” Lalu dikatakan kepadaku, “Pulanglah, belum waktunya untukmu.”

Di pagi harinya, Thalhah menceritakan mimpinya kepada Sahabat-sahabatnya dan mereka merasa hairan. Hal ini sampai ke pendengaran Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W bersabda, “Mengapa kalian hairan?”

Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah, yang pertama lebih bersungguh-sungguh dan mati syahid, sedangkan yang kedua yang masuk syurga terlebih dahulu?”

Beliau bersabda, “Bukankah dia hidup setelahnya setahun?”

Bukankah dia sempat bersama Ramadan setelah itu dan solat sekian banyak dalam setahun? (Dalam Riwayat Ahmad: 1,800 kali solat)

Mereka berkata, “Benar.”

Beliau bersabda, “Darjat keduanya sejauh langit dan bumi.”

Dari kisah di atas, menginsafkan kita betapa mahalnya nilai umur hidup seorang mukmin. Jadi manfaatkan baki-baki usia yang Allah S.W.T berikan dan jangan ada niat untuk meminta dimatikan sebab kita tidak tahu adakah amalan kita cukup untuk berhadapan dengan persoalan hidup di dalam kubur dan keadilan di mahsyar. 

Bagi kita yang masih hidup ini, niatkan untuk sampai ke bulan Ramadan (Allahumma balighna Ramadan), niat untuk mengkatamkan al-Quran dan terjemahannya, niat untuk iktiqaf 10 malam terakhir Ramadan di masjid, niatkan untuk membantu fakir miskin, niatkan untuk membayar zakat fitrah, dan untuk melakukan pelbagai kebaikan sehinggakan, seandainya kita mati dan sakit, malaikat sudah mencatatkan semua niat-niat itu. Mungkin sebelum ini, kita adalah di antara orang yang mensia-siakan waktu hidup kita.

Allah S.W.T sentiasa membuka peluang untuk kita beribadah untuk menggantikan masa-masa yang sudah kita sia-siakan. Contohnya, berusaha sungguh-sungguh untuk meraih malam Lailatulqadar, mengerjakan umrah Ramadan yang diganjari seperti berhaji bersama Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W di Ramadan terakhir Beliau, dalam Hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah mengatakan yang bermaksud:

“Nabi S.A.W iktikaf di setiap Ramadan sepuluh hari. Pada tahun Beliau wafat, Beliau melakukan iktikaf 20 hari.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Oleh itu, Rasulullah S.A.W mengingatkan kita untuk kembali kepada keimanan dan ketakwaan dan mengingati kematian sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W di bawah yang bermaksud:

“Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Perbanyakkanlah mengingati mati (pemutus kelazatan).””

(Hadis Riwayat An-Nasai)

Jadi, apabila kita sudah diingatkan dengan kematian dan sedar, sendirian di dalam kubur, siap-siapkanlah bekal untuk ke sana.

Saidatina Fatimah az-Zahra R.A binti Rasulullah S.A.W menceritakan mengenai Ramadan terakhir Rasulullah S.A.W.

Nabi S.A.W berbisik suatu rahsia kepada Fatimah, Beliau bersabda yang bermaksud:

“Jibril membaca dan menyemak hafalan bacaan Quranku  setiap tahun satu kali tetapi tahun ini dua kali, sepertinya Aku merasakan ajalku sudah hampir.”

(Hadis Sahih Riwayat Bukhari)

Hal ini benar, sebab pada hari Isnin, 12 Rabiul Awwal tahun 11H tidak lama selepas Beliau berbisik kepada Anakanda kesayangannya, Rasulullah S.A.W wafat. Jangan ada di kalangan kita yang beranggapan, bahawa dia itu Nabi!. Tidak mungkin kita boleh buat macam Nabi buat, seorang manusia sempurna yang sudah diampunkan dosa-dosanya oleh Allah S.W.T. Kita ini siapa? Pendosa!

Dalam satu Hadis Riwayat Imam al-Bukhari menceritakan, suatu hari datang tiga orang Sahabat kepada Saidatina Aisyah R.A, isteri Nabi S.A.W. Mereka semua ingin tahu mengenai  ibadah Nabi S A.W. 

Sebagai orang yang tinggal serumah dengan Nabi S A W, isteri Nabi tentu lebih tahu mengenai aktiviti Nabi seharian, termasuk dalam hal ibadah. Kunjungan tiga sahabat itu tidak diketahui oleh Rasulullah S.A.W.

Setelah mendengar penjelasan mengenai ibadah Nabi S.A.W, mereka berasa hairan, ternyata ibadah Nabi tidak seperti yang mereka bayangkan. Dalam anggapan mereka, ibadah Nabi S.A.W pasti luar biasa, tetapi ternyata biasa-biasa sahaja.

Jadi kefahaman mereka hampir tersesat sebab mereka beranggapan, bahawa mereka kena buat lebih sebab mereka bukan Nabi yang sudah diampunkan dosa-dosanya. Mereka tekad untuk melakukannya.

Yang pertama, berjanji ingin solat sepanjang malam tanpa tidur, yang kedua ingin berpuasa sepanjang siang tanpa berbuka dan yang ketiga ingin membujang selama-lamanya tanpa berkahwin.

Hal ini sampai ke pendengaran Rasulullah S.A.W, lalu Nabi S.A.W memberikan arahan dan bersabda yang bermaksud:

“Demi Allah! Aku adalah orang yang paling bertakwa di antara kalian. Aku solat malam, tetapi Aku juga tidur, Aku berpuasa di siang hari tetapi Aku juga berbuka (Tidak puasa setiap hari). Aku juga bernikah (dan melaksanakan tanggung jawab berkeluarga). Barang siapa yang tidak suka mengikuti sunnahku, bukan dikalanganku, tegas Beliau.

Rasulullah S.A.W naik mimbar dalam memberikan arahan itu dan bukan kepada tiga orang itu sahaja. Sebab sekiranya tidak dibetulkan pemikiran tiga orang ini, jika tersebar boleh menyesatkan orang lain.

Berkaitan hadis di atas, ibadah hendaklah dilakukan dengan sederhana (tidak bermalas-malasan dan tidak juga berlebih-lebihan). Jadi ibadah hendaklah dikerjakan dengan istiqamah dan mengikut Sunnah Rasulullah S.A.W, walaupun sedikit.

Jadi apakah seharusnya dilakukan seandainya inilah Ramadan terakhir kita? 

1. Bertaubat kepada Allah S.W.T. 

Semua manusia melakukan dosa, kita juga tidak terkecuali. Jadi sambutlah Ramadan ini dengan bertaubat. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: 

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘Taubat Nasuha’, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai…”

(At-Tahrim : 8)

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Setiap anak Adam pasti sering melakukan dosa dan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang rajin bertaubat.” 

(Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Dan firman Allah S.W.T lagi yang bermaksud: 

“…SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

(Al-Baqarah: 222)

Ke mana sahaja kita pergi, kita akan meninggalkan dosa-dosa. Jadi bertaubatlah, jangan menangguhkan taubat!. Allah S.W.T akan mengampunkan dosa-dosa kita. Dan jangan terpedaya dan dilalaikan oleh bisikan syaitan:

“Sesungguhnya penerimaan taubat itu hanya diterima oleh Allah bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) Allah menerima taubat mereka dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: “Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini,” (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(An-nisa: 17-18)

Syarat Taubat:

a. Menyesali.

b. Meninggalkan doa-dosa tersebut.

c.  Bertekad untuk tidak mengulanginya.

d. Meminta maaf dan dibayar hutang atau minta dihalalkan dengan manusia, sekiranya berdosa dengan manusia.

2. Dirikan solat dengan sempurna.

Belajar dan memperbaiki solat agar mengikut rukun-rukun dan sunat-sunatnya. Solat diterima dengan dua syarat, ikhlas dan mengikut cara Nabi S.A.W:

Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud: 

“Solatlah kamu sebagaimana kamu lihat saya (Nabi S.A.W) bersolat (mengikut solat Nabi berpandukan hadis Beliau).”

(Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ahmad, dan Baihaqi)

Rasulullah S.A.W mengingatkan mengenai seseorang yang solat selama 60 tahun tapi tak satu pun solatnya diterima. Dalam satu hadis Nabi, Rasulullah bersabda yang bermaksud, 

“Sesungguhnya (ada) seseorang yang solat selama enam puluh tahun namun tidak satu solat pun diterima. Barangkali orang itu menyempurnakan rukuk tetapi tidak menyempurnakan sujud. Atau menyempurnakan sujud namun tidak menyempurnakan rukuknya.”

(Hadis Riwayat Al-Ashbahani dan at-Targhib, Lihat ash Shahihah No. 2535)

Setelah sempurna solat fardu lakukan juga di waktu yang sama, solat sunat. Solat malam solat sunat yang terbaik bukan untuk bulan Ramadan sahaja tetapi setiap malam:

“Daripada Abu Hurairah R.A berkata, bahawa Nabi S.A.W pernah ditanya apakah solat yang terbaik selepas daripada solat fardu. Jawab Baginda S.A.W: “Solat yang paling afdal selepas solat fardu adalah solat di tengah malam.””

[Riwayat Muslim (1163)]

3. Lakukan puasa yang terbaik. 

Belajar mengenai hukum-hakam puasa dan memperbaiki amalan puasa. Jangan berpuasa tetapi sekadar mendapat lapar dan dahaga. Jadi jagalah:

a. Menjaga niat – untuk apa berpuasa.

b. Menjaga dari yang mengurangi pahala puasa.

  • Percakapan atau tutur kata.
  • Berbelanja, jangan sampai membazir.
  • Kurangkan tidur di waktu siang.
  • Jaga tingkah laku.
  • Jangan kedekut – banyakkan sedekah..
  • Jangan sombong atau emosi – banyakkan senyuman dan bersabar.

4. Mengeluarkan zakat-zakat fitrah dan harta. 

Pastikan tiada hak orang lain yang tidak kita berikan di dalam harta kita. Bersihkan sebelum kita mati.

Hikmah zakat yang jelas Allah abadikan dalam Al-Quran adalah sebagaimana yang ada di dalam al-Quran surah At-taubah ayat 103 yang bermaksud:

“Ambillah zakat dari harta mereka, guna membersihkan dan menyucikan mereka.” 

(At-Taubah : 103)

5. Bersedekah.

Nabi S.A.W sangat pemurah di bulan Ramadan. Dalam sebuah Hadis daripada Ibn ‘Abbas R.A, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

 “Adalah Nabi S.A.W, seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Ketika Jibril A.S bertemu dengannya. Jibril A.S bertemu dengan Nabi S.A.W pada setiap malam pada bulan Ramadan untuk mengulangkaji al-Quran dan kemudiannya Rasulullah S.A.W  menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin yang bertiup.” 

(Hadis Riwayat al-Imam al-Bukhari no 3554)

6. Malam Lailatulqadar.

Satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Kita niatkan untuk meraihnya. Jadi kena persiapkan diri, sebagaimana tentera hendak pergi ke medan perang. Nabi S.A.W  akan tingkatkan amalan dan ibadah Baginda. Khususnya apabila tiba 10 malam terakhir. Ini ternyata apabila Umm al-Mukminin Aisyah R.A meriwayatkan perlakuan Nabi S.A.W ketika tiba 10 malam terakhir.

Beliau bersabda yang bermaksud: 

“Nabi S.A.W apabila masuknya hari 10 terakhir Ramadan, Baginda akan mengetatkan kain, menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam).”

[(Riwayat al-Bukhari (2024)]

Ingat! malam ini untuk menebus umur kita yang sia-sia dengan dapatnya meraih Lailatulqadar.

Kesimpulannya 

Moga, akan dapat memotivasikan diri agar lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh di bulan Ramadan kali ini dan mengisi persoalan, adakah ini Ramadan terakhirku:

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”

(Ar-rad : 11)

Wallahu’lam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 1/4/2022

- Advertisement -