Menteri Agama agih sumbangan kepada mangsa ribut

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad hari ini menyantuni mangsa ribut di daerah Kinta.

Beliau bersama Yayasan Taqwa-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turun di sekitar Kampung Rapat Jaya, Kampung Rapat Jaya Tambahan, Taman Lapangan Jaya dan Kampung Sungai Rokam bagi menyantuni mangsa yang terkesan.

- Advertisement -

Katanya, sumbangan berjumlah RM10,500 diagihkan kepada mangsa-mangsa terbabit.

“Dalam suasana umat Islam membuat persiapan menyambut bulan Ramadan Al Mubarak, beberapa hari saja lagi, di samping kita gembira dengan kelonggaran untuk beribadah secara jemaah di masjid dan surau, namun ada dalam kalangan saudara kita yang ditimpa musibah akibat hujan lebat dan ribut tempoh hari,” ujarnya menerusi catatan di laman Facebook beliau, hari ini.

Katanya, kejadian itu telah menyebabkan pelbagai kemusnahan harta benda termasuklah kerosakan rumah akibat ditimpa pokok dan sebagainya.

“Sungguh, bagi kita umat Islam, ujian mahupun musibah yang menimpa tanda Allah SWT sayang akan hamba-Nya dan kembali ingat pada-Nya,” katanya lagi.

Tambahnya, apabila ditimpa musibah dianjurkan untuk memohon ampun dan berdoa kepada Allah SWT: إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ
اَللَّه‍ُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْه‍َا

Maksudnya: Sesungguhnya kita milik Allah dan akan kembali kepadaNya. Ya Allah, berikan aku pahala dalam musibahku ini dan gantikan dengan yang lebih baik darinya.

“Semoga Allah turunkan barakah serta rahmat-Nya buat negara kita,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/3/2022

- Advertisement -