Keberkesanan Khidmat Malaysia urus sukarelawan di lapangan

Balasubramaniam A/L Nachiappan
- Advertisement -

SAYA mulakan ucapan dengan dua rangkap pantun.

Petang hari pergi ke pekan;
Pulang membawa sebungkus laksa;
Hidup muhibah perlu diamalkan;
Di negara Malaysia berbilang bangsa.


Cantik bergugus buah papaya;
Masak dipetik satu persatu;
Walaupun berlainan bangsa budaya;
Kerana muhibah hidup bersatu.


Saya telah mengikuti Titah Yang di-Pertuan Agong semasa ia dititahkan pada 28 Februari yang lalu. Saya juga telah meneliti teks ucapan yang telah disampaikan tersebut melalui laman web rasmi Parlimen Malaysia. Saya menyahut sepenuhnya apa yang telah dititahkan kerana di dalamnya terkandung bermacam-macam perkara yang perlu diberikan perhatian dan tindakan oleh semua pihak khususnya oleh pihak kerajaan dalam mendepani cabaran yang sedang kita hadapi bersama ketika ini iaitu peningkatan virus Covid-19 melalui kehadiran varian Omicron di seluruh dunia, dan usaha untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat Covid-19 ini.

- Advertisement -

Negara juga dikejutkan dengan bencana banjir yang berlaku di luar jangkaan. Lebih-lebih lagi yang telah melanda negeri Selangor dengan anggaran kerugian dialami sebanyak RM300 juta. Malah, sejumlah 10,554 buah rumah telah terjejas akibat daripada bencana banjir.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL Business School) dengan izin, Professor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menganggarkan bahawa bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri termasuk di Lembah Klang telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM15 bilion kepada ekonomi negara. Dianggarkan juga bahawa 50,000 Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) di beberapa buah daerah di Selangor terjejas akibat bencana banjir, antara terburuk yang melanda negeri itu. Banjir di Lembah Klang ini merupakan banjir yang paling ketara yang kebiasaannya melanda Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang menyebabkan puluhan ribu orang awam terpaksa dipindahkan.

Sekurang-kurangnya 19 orang terkorban dengan beberapa orang yang hilang. Banjir yang digelar banjir 100 tahun ini disifatkan sebagai antara banjir-banjir terburuk dalam sejarah Malaysia moden. Tahniah kepada Kerajaan Pusat kerana prihatin dengan mangsa banjir dengan penyaluran bantuan bernilai RM1.4 bilion secara terus kepada mereka yang terkesan. Ini membuktikan bahawa kerajaan sangat prihatin terhadap mangsa bencana banjir.

Penyediaan peruntukan kewangan bagi membaikkan infrastruktur dan fasiliti awam berjumlah RM6 bilion sudah tentu meringankan bebanan. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mencadangkan supaya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dibuat semakan dan penelitian semula struktur dan keanggotaannya kerana NADMA menghadapi masalah kakitangan yang sedikit, malah tiada kakitangan di peringkat negeri.

Ini menyukarkan koordinasi dan penyampaian maklumat dua hala secara terus dengan agensi-agensi di lapangan yang menyebabkan kemampuan NADMA terbatas untuk menyelaras tindakan pengurusan bencana di peringkat setempat yang melibatkan pelbagai pihak kerana penubuhan NADMA adalah sebagai penyelaras sahaja.

Saya ingin memberikan contoh badan seperti Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia iaitu Khidmat Malaysia yang berperanan sebagai sebuah organisasi menyelamat tetapi strukturnya dibentuk sehingga ke peringkat Parlimen dan telah membantu mangsa di negeri yang terjejas dengan bencana banjir baru-baru ini. Saya telah turun bersama Khidmat Malaysia di beberapa buah lokasi yang terlibat dengan banjir dan saya melihat bagaimana keberkesanan Khidmat Malaysia menguruskan sukarelawan bertugas di lapangan. Oleh sebab itu, saya mengharapkan agar peranan NADMA perlu diperkasakan.

Perkara kedua yang ingin saya sentuh dalam ucapan saya pada hari ini adalah berkaitan dengan negara yang akan memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022. Ini dilihat sebagai exit strategy, dengan izin, untuk membolehkan negara akan kembali kepada kehidupan hampir normal selepas dua tahun berperang dengan Covid-19.

Titah Yang di-Pertuan Agong telah mengingatkan bahawa walaupun negara kita semakin bersedia untuk beralih ke fasa endemik, Tuanku berharap agar peralihan ini dilaksanakan secara berhati-hati. Saya menyokong keputusan kerajaan yang masih lagi menetapkan bahawa pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu.

Saya turut menyokong pembukaan sempadan negara dengan tujuan untuk merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan, khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik. Pemulihan ekonomi di negara perlu disegerakan agar negara tidak akan ketinggalan.

Ekonomi Malaysia pada tahun 2021 telah berkembang sebanyak 3.1 peratus setelah mengalami penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2020 akibat pandemik Covid-19. Bagi tahun 2022 Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara diunjurkan terus berkembang kukuh antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus. Walau bagaimanapun, perlu diberikan kawalan ketat dengan SOP yang lebih ketat untuk memastikan bahawa mereka yang ingin melepasi sempadan khususnya benar-benar bebas daripada Covid-19. Kawalan yang longgar akan menyebabkan kesan buruk kepada rakyat Malaysia.

Perkara ketiga yang ingin saya sentuh adalah berkaitan dengan kadar pengangguran, kesan dari Covid-19. Seramai 140,608 orang telah hilang pekerjaan akibat Covid-19.

Yang Berhormat Menteri Sumber Manusia dalam jawapan di Parlimen menjelaskan bahawa jumlah ini berdasarkan data perangkaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sejak Mac 2020 hingga 20 Ogos lalu. Tahniah saya ucapkan kepada Kerajaan Pusat atas kejayaan menyediakan sejumlah 558,633 buah penempatan pekerjaan kepada rakyat berbanding dengan sasaran sebanyak 500 ribu bagi tahun 2021.

Manakala bagi tahun 2022, di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia, kerajaan telah menyasarkan penyediaan hampir 600,000 peluang pekerjaan. Ini merupakan sasaran dan jaminan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia yang ingin mewujudkan peluang pekerjaan antara fokus penting kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia.

Saya menggesa supaya peluang pekerjaan ini akan meliputi semua sektor yang ada khususnya yang terjejas teruk ketika awal pandemik. Pemulihan industri pelancongan juga hendaklah segera dilaksanakan bagi mengekalkan kemapanan industri tersebut.

Perkara keempat yang ingin saya sentuh dalam perbahasan Titah Yang di-Pertuan Agong ini adalah berkaitan dengan kelewatan untuk menyiapkan projek kerajaan akibat daripada pandemik Covid-19.

Dalam Titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku ada menyatakan bahawa seruan baginda agar semua program dan projek yang bakal dilaksanakan tersebut hendaklah siap mengikut jadual dan mematuhi kualiti yang ditetapkan agar dapat member manfaat kepada rakyat. Jawatankuasa Khas Pemantauan RMK12 yang melibatkan pelbagai agensi Persekutuan dan negeri akan dapat mengawasi dengan sebaik-baiknya.

Pelaksanaan dan penyampaian RMK12 supaya sasaran, outcome, dengan izin, dapat dicapai dan seterusnya dapat memenuhi keperluan sosioekonomi. Dalam perkara yang sama, saya ingin menyentuh berkaitan dengan penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM). Umumnya kita menyedari bahawa RMM merupakan unit kediaman untuk golongan B40 dan M40. B40 merujuk kepada satu kelompok yang mewakili 40 peratus daripada rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah di bawah RM4,850 sebulan.

Manakala M40 juga mewakili 40 peratus daripada rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah antara RM4,851 hingga RM10,970 sebulan. Saya menggesa supaya kerajaan memaksimumkan projek RMM ke seluruh negara khususnya di Lembah Klang dan kawasan bandar besar seperti di Johor Bahru, Seremban dan Pulau Pinang. Dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, penyediaan RMM perlulah diperluaskan dan diperbanyakkan.

Perkara yang kelima yang ingin saya bahaskan adalah berkaitan dengan kos sara hidup. Tuanku dalam titahnya telah mencadangkan supaya program penstabilan dan penyeragaman harga, program pengedaran barangan serta penguatkuasaan yang berterusan perlu dilaksanakan sebaik-baiknya. Saya ingin mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan Jualan Prihatin Rakyat dengan harga subsidi dan kawalan daripada pihak kerajaan serta memperkenalkan Bakul Makanan yang diagihkan secara berkala kepada keluarga yang memerlukan.

Perkara keenam yang ingin saya bahaskan pada hari ini adalah berkaitan dengan perlindungan dan kelestarian alam sekitar yang mestilah diutamakan. Saya telah turun ke beberapa buah tempat semasa kempen PRN Johor baru-baru ini. Saya tertarik dengan kawasan pantainya, DUN Senggarang yang masih lagi terdapat pokok paya bakau. Namun, sebahagiannya telah hilang akibat daripada hakisan di kawasan pantai yang sering berlaku disebabkan kekurangan pokok bakau di kawasan tersebut.

Saya difahamkan bahawa Yang Berhormat Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man telah turun ke pantai Kampung Seri Pantai di Senggarang dan telah meneliti sendiri kesan hakisan tersebut. Yang di-Pertuan Agong telah menyeru agar kerajaan akan dapat mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara diliputi dengan kawasan berhutan dan pokok-pokok melalui pelaksanaan amalan pengurusan hutan secara berkekalan.

Perkara ketujuh adalah berkaitan dengan Titah Yang di-Pertuan Agong yang menyokong usaha kerajaan memperkenalkan model baharu Pembangunan Belia 2021-2030 dan pelaksanaan Undi 18 Tahun yang diluluskan telah membuka dimensi baharu kepada belia dalam menentukan masa depan dan pimpinan negara. Saya mohon untuk dibentangkan statistik berkaitan dengan keberkesanan pelaksanaan Undi 18 Tahun yang telah dilaksanakan di PRN Johor dan sejauh manakah pengundi muda, khususnya yang berusia 18 hingga 20 tahun telah berjaya melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi. Berapakah jumlah dan peratusan golongan ini yang keluar mengundi perlu dibentangkan di dalam Dewan yang mulia ini?

Perkara kelapan dan terakhir yang ingin saya sentuh dalam perbahasan pada hari ini adalah berkaitan dengan usaha membasmi miskin tegar. Usaha membasmi miskin tegar menjelang tahun 2025 melalui tindakan bersepadu, pelbagai pendekatan perlu dirangka dengan teliti dan berstrategik. Saya mohon supaya kerajaan dapat menjelaskan apakah mekanisme dan pendekatan yang akan dilaksanakan bagi menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya dengan ini menyokong titah yang telah disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong. – 26/3/2022

Petikan ucapan Senator N. Balasubramaniam ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara pada 23 Mac 2022.

- Advertisement -