Kebersihan mulut lambang ketamadunan

- Advertisement -

Artikel ini diterbitkan bersempena Hari Kesihatan Oral Sedunia yang telah disambut pada 20 Mac 2022.

oleh Dr Nur Ayman Abdul Hayei dan Dr Hazira M Yusof

Memberus gigi merupakan amalan harian yang paling penting dan dapat memperbaiki penampilan kita. Kajian menunjukkan bahawa berus gigi adalah perkara nombor satu yang manusia tidak dapat hidup tanpanya, mengalahkan telefon pintar. Semua orang memberus gigi, bahkan sejarah menunjukkan bahawa membersihkan gigi merupakan amalan golongan bangsawan. Setiap individu memberus gigi dengan cara tersendiri, dan dengan kekerapan yang berbeza-beza. Terdapat juga pelbagai jenis berus gigi dan alat pembersih mulut yang menjadi pilihan pengguna. Tambahan pula, terdapat alatan elektrik yang berfungsi membersihkan gigi seperti berus gigi elektrik dan waterpick. Alatan ini membantu pengguna untuk lebih selesa membersihkan gigi masing-masing.

Tidak ramai yang mengetahui sejarah berus gigi. Amalan memberus gigi telah bermula sejak ratusan tahun dahulu di Mesir, India dan Eropah. Di kalangan bangsa arab, ‘siwak’ digunakan untuk membersihkan gigi. Siwak diperoleh dari pohon Arak di mana kulit batang tersebut dibuang di bahagian hujungnya. Bahagian tersebut dikunyah sehingga menjadi selembut berus. Amalan memberus gigi juga menjadi amalan kelas atasan di kalangan penduduk Eropah suatu masa dahulu. Mereka memiliki pelbagai alatan pembersihan gigi yang diperbuat dari emas dan perak. Tidak kurang juga di India, amalan memberus gigi telah bermula sejak ratusan tahun dahulu.

- Advertisement -

Gigi berlubang adalah masalah yang sinonim dengan kita, tanpa mengira peringkat umur, muda atau tua. Menurut kajian, terdapat empat faktor utama yang memainkan peranan dalam pembentukan gigi berlubang. Faktor-faktor tersebut adalah bakteria, permukaan gigi yang mudah menakung plak seperti di celah-celah gigi, masa untuk penghasilan asid oleh bakteria yang melarutkan gigi dan akhir sekali kehadiran karbohidrat yang boleh digunakan sebagai sumber tenaga bagi bakteria. Berpandukan kepada kajian ini maka kita disarankan untuk memberus gigi agar dapat menghalang plak dan penghasilan asid oleh bakteria di atas permukaan gigi. Pemberusan gigi bukan hanya penting untuk mengelak terjadinya gigi berlubang, malahan ianya juga penting untuk mengelakkan dari berlakunya permasalahan pada gusi dan tulang penyokong gigi.

Seiring dengan perkembangan teknologi dan penyelidikan, beberapa masalah pergigian telah dikenalpasti. Antaranya, masalah periodotitis yang berpunca dari pembersihan gigi yang tidak efektif. Ramai yang tidak sedar bahawa plak gigi boleh terbentuk di mana-mana permukaan di dalam mulut biarpun jika kita berpuasa dan tidak makan apa-apa. Terdapat puluhan permukaan di dalam mulut seperti celah gigi, lidah, lelangit, bawah lidah, dalam pipi, dan semuanya berpotensi mempunyai plak. Kawasan yang paling kerap memerangkap plak adalah celah gigi, dan ini dapat dibersihkan menggunakan dental floss.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa celah gigi perlu dibersihkan setiap hari, kerana gigi adalah kawasan yang paling banyak digunakan untuk mengunyah makanan. Selain itu, interdental brush boleh digunakan bagi celah gigi yang besar. Interdental brush lebih mudah digunakan berbanding dental floss dan doktor pergigian mengesyorkan penggunaan interdental brush dikalangan pesakit masalah gusi.

Majoriti rakyat Malaysia memberus gigi setiap hari, namun statistik menunjukkan bahawa 93.4% rakyat Malaysia mengalami masalah gusi (National Oral Health Survery, 2010). Ini mungkin berpunca dari teknik pemberusan gigi yang salah. Kita disarankan untuk memberus gigi dua kali sehari dan mengambil masa sekurang-kurangnya 2 minit setiap kali memberus gigi. Masa 2 minit adalah cukup untuk memastikan kesuluruhan permukaan gigi telah diberus dengan efektif. Kita juga disarankan untuk memberus pada waktu pagi untuk mengurangkan bau mulut dan juga sekali pada waktu malam sebelum tidur.

Pemberusan gigi di waktu malam adalah penting untuk membersihkan mulut dari sisa-sisa makanan yang tertinggal yang menjadi sumber makanan untuk bakteria terutama pada waktu malam yang mana terdapat pengurangan pengeluaran air liur untuk meneutralkan asid yang dihasilkan oleh bakteria.

Pemberusan hendaklah dilakukan dengan menggunakan kadar berusan yang lembut tanpa menekan berus gigi pada permukaan gigi. Penggunaan berus gigi berbulu keras ditambah pula dengan tekanan yang tinggi pada gigi dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan kerosakan gusi malahan boleh menyebabkan hakisan kepada struktur gigi. Adakalanya, terdapat bahagian gigi yang tidak rata disebabkan kehilangan gigi, tiada ruang untuk gigi bongsu, dan juga kerana memakai pendakap gigi.

Penggunaan berus gigi biasa tidak dapat membersihkan permukaan ini dan memerlukan alatan tambahan seperti single-tufted brush. Berus gigi ini mempunyai berus terkumpul di bahagian hujungnya dan saiznya lebih kecil berbanding berus gigi biasa. Kawasan-kawasan kecil di bahagian gigi seperti kawasan gigi yang telah dicabut, sekitar gigi bongsu dan kawasan-kawasan sempit boleh dibersihkan menggunakan single-tufted brush.

Oleh itu, tidak ada lagi alasan untuk tidak memberus gigi dengan baik dan masalah gusi seharusnya dapat dielakkan. Jikalau memberus gigi diumpamakan semudah ABC, masalah-masalah gigi berlubang dan gusi bengkak tidak sepatutnya terjadi. Pelbagai alatan pergigian yang boleh digunakan di rumah dijual di pasaraya bertujuan membantu meningkatkan keberkesanan membersihkan gigi. Untuk mendapatkan nasihat yang terbaik, sebaiknya berjumpalah dengan doktor gigi untuk mendapatkan teknik memberus gigi yang betul kerana keperluan setiap individu adalah berbeza.

Dr Nur Ayman Abdul Hayei adalah Pensyarah Pergigian dan Pakar Periodontik dan Dr Hazira M Yusof adalah Pensyarah Pergigian dan Pakar Prostodontik, kedua-duanya di Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia.

- Advertisement -