Guna masjid kempen rakyat ambil dos penggalak

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan bersama Pejabat Mufti dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan mengambil dos vaksin penggalak.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, usaha itu dilakukan memandangkan jumlah yang menerima dos penggalak di Kedah masih rendah terutama dalam kalangan orang Melayu.

- Advertisement -

Katanya, kebanyakan mereka sudah lengkap dua vaksin namun masih belum mengambil dos penggalak dan ia amat membimbangkan.

Kata beliau tidak dapat ditolak kemungkinan masyarakat terpengaruh dengan maklumat yang kurang tepat berkaitan suntikan dos penggalak yang tular di media sosial.

“Oleh itu masjid akan dijadikan sebagai platform untuk menyampaikan maklumat dan memberi kesedaran mengenai kepentingan mengambil dos penggalak,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Aman semalam.

Menurutnya juga bermula Januari hingga 12 Mac lepas sebanyak 86 peratus iaitu 65 kematian di luar fasiliti hospiral (BID) di Kedah membabitkan individu yang belum menerima dos penggalak.

“Kes BID di negeri ini didapati tinggi dan membimbangkan kerana 90 peratus daripada yang meninggal dunia tidak tahu mereka dijangkiti Covid-19,” ujarnya.

Oleh itu beliau berharap orang ramai tidak ambil mudah dan sekiranya bergejala seperti demam, sakit tekak dan selesema hendaklah segera melakukan ujian saringan Rapid Antigen Test Kits (RTK). – HARAKAHDAILY 17/3/2022

- Advertisement -