Rumah penduduk tenggelam sehingga paras bumbung

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

PASIR MAS:
Kelantan kembali dilanda banjir apabila hujan lebat turun berterusan dengan angin kencang sejak Khamis lalu menyebabkan beberapa kampung di Pasir Mas ditenggelami banjir sejak semalam.

Kejadian itu termasuk melibatkan Kampung Serungga, Repek di mana paras air banjir meningkat begitu cepat malah dikatakan melebihi kejadian bah 2014.

Ada kediaman penduduk di kampung berkenaan ditenggelami air sehingga paras bumbung, memusnahkan segala peralatan di rumah mereka.

- Advertisement -

Seorang penduduk Abdul Halim, 59, berkata, paras air banjir pada gelombang kali ini naiki begitu cepat sehingga menenggelamkan kediamannya.

Katanya, banjir yang berlaku turut memusnahkan barangan dalam rumahnya di mana paras di atas rumah kira-kira 2 meter.

“Rumah saya tidak pernah dinaiki air sebelum ini. Namun hari ini, banjir menenggelami rumah sehingga mencecah kira-kira paras 2 meter.

“Malah, paras air kali ini kami tidak menjangka kerana ia datang sekelip mata sehingga memusnahkan harta benda. Kami hanya dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.

Beliau dan keluarga terpaksa berpindah sementara ke rumah saudaranya setelah kediamannya di Kampung Serungga, Repek di sini, dinaiki air sejak jam 3 pagi tadi.

Seorang lagi penduduk, Rohana Ismail turut mengalami perkara sama apabila kediaman turut ditenggelami air sejak semalam.

“Air banjir yang melanda begitu cepat sehingga memasuki kediaman saya mencecah paras yang tidak dijangka seperti sebelum ini,”’ katanya.

Beliau bersama anak, menantu serta cucu berpindah sementara dengan menumpang di rumah saudara bersebelahan sementara menunggu pihak penyelamat datang memberi bantuan.

Penduduk di kawasan berkenaan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang (SKSK).

Sementara MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di seluruh Perlis, Kedah membabitkan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling manakala di Perak meliputi Hulu Perak.

Amaran hujan berterusan tahap waspada pula dikeluarkan untuk Kedah meliputi Kulim dan Bandar Baharu, seluruh Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Dato’ Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim). – HARAKAHDAILY 27/2/2022

- Advertisement -