Aliran air tersumbat punca ikan diternak mati

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Ikan siakap dan kerapu hibrik yang diternak di Laguna Kuala Sungai Semerak dieksport ke seluruh negara termasuk hotel-hotel ternama di Kuala Lumpur dan Singapura.

Bagaimanapun 50 penternak ikan dalam sangkar di laguna terbabit berdepan dengan risoko ‘gulung tikar’ disebabkan pencemaran kerana aliran air tersumbat sejak 20 tahun lalu.

- Advertisement -

Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, penternak dianggar mengalami kerugian kira-kira RM10 juta sejak kuala berkenaan tertimbus 20 tahun lalu.

Katanya, kuala tersebut tertimbus akibat hakisan pantai yang berlaku setiap kali musim tengkujuh.

“Sisa-sisa makanan ikan bertukar menjadi toksid kerana tidak dapat mengalir keluar ke laut sehingga menyebabkan banyak ikan yang diternak mati terutama selepas musim tengkujuh.

“Sedangkan ikan-ikan yang diternak di laguna tersebut mendapat permintaan tinggi. Saya berharap kerajaan segera membina terowong bagi membolehkan air di laguna terbabit mengalir ke laut,” katanya selepas meninjau lokasi tersebut semalam.

Menurutnya juga beliau difahamkan peruntukan membina terowong disenaraikan dalam dalam Rancangan Malaysia Ke-12, namun projek itu tidak dapat dilaksanakan kerana proses pengambilan tanah belum selesai.

Sementara itu Setiausaha Persatuan Ikan Dalam Sangkar Sungai Semerak, Budin Awang Teh berkata, penggalian kuala sebagai langkah terbaik bagi mengatasi masalah ikan yang diternak mati.

Katanya, beliau turut mengalami kerugian lebih RM20,000 apabila ikan yang diternak dua tahun lepas banyak mati akibat kekurangan oksigen kerana pencemaran sisa makanan ikan. – HARAKAHDAILY 24/2/2022

- Advertisement -